Wanita lebih cekap melabur saham berbanding lelaki di Bursa Malaysia? | DagangNews Skip to main content

Wanita lebih cekap melabur saham berbanding lelaki di Bursa Malaysia?

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

 

 

BURSA Malaysia baru-baru ini, mendedahkan bahawa semakin ramai wanita Malaysia melibatkan diri dalam aktiviti pelaburan.

 

Sebanyak 36% daripada akaun Sistem Depositori Pusat (Central Depository System, CDS) yang baru dibuka setakat ini terdiri daripada wanita, meningkat daripada 34% pada 2021 dan 32% pada 2020.

 

Selain itu, hampir 30% daripada jumlah nilai dagangan pada 2021 terdiri daripada pelabur wanita, dengan peningkatan 178.4% dalam jumlah nilai dagangan dan peningkatan 194.1% dalam jumlah nilai dagangan antara 2018 dan 2021.

 

Seratus syarikat awam tersenarai teratas Malaysia semakin menghampiri angka penanda aras 30% untuk perwakilan wanita dalam lembaga pengarah (kedudukan terkini adalah pada 26.5%).

 

Maka, tumpuan kini beralih secara beransur-ansur kepada mendorong kepelbagaian jantina dalam pasaran ekuiti.

 

Di sebalik penemuan yang menggalakkan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, masih banyak usaha yang perlu dilakukan untuk meningkatkan kesedaran kewangan dan penyertaan dalam aktiviti pelaburan dalam kalangan wanita.

 

Bursa Malaysia akan terus memperluas amalan kesamaan jantina untuk merapatkan jurang pelaburan antara lelaki dan wanita.

 

Ini termasuk menyediakan akses yang sama rata kepada peluang pelaburan yang tersedia dalam pasaran ekuiti kepada kedua-dua jantina.

 

 

bursa

 

 

Pelantikan wanita berdasarkan merit

Selama ini lazimnya, pelantikan wanita ke Lembaga Pengarah sesebuah entiti sama ada syarikat milik kerajaan melibatkan pegawai atau bekas pegawai kanan kerajaan, manakala syarikat senaraian awam jika tidak ahli keluarga, ia juga pesara kerajaan atau keluarga diraja.

 

Hari ini pada abad ke-21, kriteria tersebut telah berkembang yang menggunakan kriteria meritokrasi mengikut latar belakang wanita itu secara individu.

 

Contoh terbaharu ialah 7-Eleven Malaysia Holdings yang melantik Dr Mazatul 'Aini Shahar Abdul Malek Shahar sebagai pengarah bebas dan bukan eksekutif berkuat kuasa 12 April 2022.

 

Beliau juga memegang jawatan pengarah dalam TH Heavy Engineering Bhd dan IJN Holdings Sdn Bhd.

 

Dr Mazatul 'Aini mempunyai 26 tahun pengalaman praktikal dalam perbankan dan kewangan Islam, pengumpulan dana, transformasi pengurusan, kewangan korporat dan kerja-kerja nasihat.


 

Dr Mazatul 'Aini Shahar Abdul Malek Shahar
Dr Mazatul 'Aini Shahar Abdul Malek Shahar

 


Beliau juga pernah berkhidmat di Aseabankers Malaysia Bhd dan Bank Pembangunan Malaysia Bhd. setelah memulakan kerjayanya dengan Arthur Anderson & Co pada 1995 selepas menamatkan pengajian dari Universiti Nottingham, UK.

 

Begitu juga syarikat multinasional BAT Malaysia yang Norliza Kamaruddin sebagai pengarah bebas bukan eksekutif syarikat, berkuatkuasa 30 April 2021.

 

Norliza, yang merupakan pakar komunikasi memiliki pengalaman lebih daripada 25 tahun di Malaysia dan negara lain, dianggap bakal memberi kelebihan besar kepada syarikat multinasional itu.

 

Norliza merupakan pengarah urusan FTI Consulting Malaysia Sdn Bhd, sebuah firma perundingan perniagaan global tersenarai awam berpusat di Amerika Syarikat.

 

Selain itu, Norliza juga merupakan profesor adjung bagi komunikasi strategik di Multimedia University Malaysia.


 

Norliza Kamaruddin
                                        Norliza Kamaruddin

 


Mereka berdua hanyalah contoh ringkas tokoh wanita yang kini semakin ramai menduduki kerusi Lembaga Pengarah yang dipilih dan dilantik berdasarkan merit. Pertambahan bilangan pelabur wanita pastinya turut berasa terdorong dengan kewujudan wanita di dalam lembaga pengarah sesebuah entiti senaraian awam. Semua positif.

 

Pulangan pelaburan yang lebih baik dalam kalangan pelabur wanita

Banyak kajian mendapati bahawa pelabur wanita cenderung memperoleh pulangan pelaburan yang lebih baik berbanding pelabur lelaki.

 

Sebagai contoh, Kajian Wanita dan Pelaburan 2021 yang dikelolakan oleh Fidelity Investments mendapati bahawa walaupun mereka kurang keyakinan, portfolio pelaburan wanita lebih menguntungkan berbanding prestasi portfolio pelaburan lelaki.

 

Secara purata, pelabur wanita berjaya memperoleh pulangan yang positif dan mengatasi pulangan pelabur lelaki sebanyak 40 mata asas atau 0.4%, menurut analisis prestasi tahunan ke atas 5.2 juta akaun dari Januari 2011 hingga Disember 2020.

 

Kajian ini juga sejajar dengan penyelidikan Fidelity yang lalu yang menunjukkan wanita mampu mengatasi lelaki dengan strategi pelaburan beli dan pegang berbanding dagangan yang kerap, yang cenderung membantutkan prestasi pelaburan.

 

Pilihan pelaburan kaum Hawa juga telah melangkaui akaun persaraan dengan dua pertiga kini melaburkan simpanan tambahan mereka di luar dana kecemasan. Kajian menunjukkan terdapat peningkatan 50% sejak 2018.


 

merrepak


 

Dalam tinjauan lain oleh ET Money yang bertarikh Mac 2021, pelabur wanita didapati memperoleh pulangan yang lebih baik daripada pelabur lelaki pada setiap tahun dari 2017 hingga 2020.

 

Malah, sewaktu pandemik pada 2020, mereka mencatatkan pulangan 14% manakala pelabur lelaki hanya memperoleh 11%.

 

Portfolio wanita mengatasi indeks FTSE 100

Sebuah lagi kajian oleh Warwick Business School pada 2018 yang melibatkan 2,800 pelabur mendapati pulangan portfolio pelabur wanita bukan sahaja mengatasi prestasi indeks FTSE 100 sejak tiga tahun lalu tetapi mereka juga mendahului pelabur lelaki dalam lingkungan yang sama.

 

Pulangan pelaburan tahunan untuk pelabur lelaki secara purata hanyalah 0.14% melebihi prestasi FTSE 100, berbanding pulangan tahunan bagi portfolio pelaburan yang dipegang oleh wanita, iaitu 1.94% lebih tinggi.

 

Ini bermakna kadar pulangan bagi pelabur wanita mengatasi kadar pulangan pelabur lelaki sebanyak 1.8%.

 

Dalam satu lagi penyelidikan klasik yang diterbitkan pada tahun 2001 bertajuk “Boys Will Be Boys: Gender, Overconfidence and Common Stock Investment”, dari sudut psikologi, lelaki cenderung bersifat terlalu yakin apabila membuat keputusan pelaburan berbanding wanita dan ini meletakkan mereka pada kedudukan yang tidak menguntungkan.

 

Teori ini mencadangkan bahawa sikap terlalu yakin dalam kepintaran kewangan akan menyebabkan seseorang pelabur melakukan lebih banyak dagangan dan pertukaran pelaburan yang seterusnya membawa kepada pulangan yang lebih rendah.


 

merrepak

 


Kajian juga mendedahkan bahawa pelabur wanita menumpukan kepada matlamat jangka panjang dan yang bukan bersifat kewangan semata-mata dengan mempertimbangkan “gambaran yang lebih besar”.

 

Wanita tidak hanya melihat wang sebagai medium untuk membeli sesuatu tetapi mewakili faktor yang lebih luas iaitu kebebasan dan jaminan kewangan. Selain itu, wanita lebih cenderung mendapatkan bimbingan dan hala tuju, sekali gus membolehkan mereka mengambil pendekatan pelaburan yang lebih terdidik dan seimbang.

 

Kemahiran pelaburan semula jadi

Ciri-ciri, tingkah laku dan psikologi tertentu memberikan wanita kelebihan berbanding lelaki dalam bidang pelaburan. Tidak seperti pelabur lelaki, pelabur wanita kurang gemar mengambil risiko, tidak berdagang dengan kerap, membuat penyelidikan dengan lebih teliti, lebih berdisiplin dan tidak bersifat terlampau yakin.

 

Kesannya juga kurang dirasai kerana mereka membuat keputusan dengan berhati-hati, memilih untuk melabur dalam dana bersama berbanding saham, membuat pelaburan yang konsisten untuk jangka panjang tanpa dagangan dan pertukaran yang kerap serta memperuntukkan aset secara berdisiplin tanpa sebarang keputusan yang impulsif atau reaksi yang mengejutkan.


 

merrepak

 


Dinyatakan bahawa wanita bukan sahaja mengambil pendekatan membuat pelaburan yang berasaskan pulangan tetapi juga mengambil kira pulangan untuk jangka panjang.

 

Tingkah laku ini menggandakan peluang mereka untuk mencapai matlamat di garisan penamat dengan pulangan pelaburan yang terjamin.

 

Tidak seperti kaum Adam, wanita lebih fokus kepada matlamat kewangan dan bukan hanya keseronokan melabur semata-mata. Mereka melabur dengan cara yang membantu mereka mencapai matlamat dalam tempoh yang ditetapkan.

 

“Natijahnya, pemerkasaan kewangan merupakan salah satu sebab paling utama mengapa wanita perlu mula melabur,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti Berhad (MSWG), Devanesan Evanson.

 

‘’Kesedaran dan celik kewangan bukan sahaja membantu menjamin masa depan kewangan mereka malah keluarga mereka juga tanpa perlu merasa kehilangan yang disebabkan kejahilan atau terpaksa bergantung kepada orang lain untuk mendapatkan bantuan kewangan apabila ditimpa musibah,’’ kata beliau.  – DagangNews.com

 

 

MERREPAK adalah ruangan pojok Johardy Ibrahim, Pengarang DagangNews.com yang menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu Woman In Love oleh Barbra Streisand berulang-ulang kali.
 
*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.