Waran: Pelaburan murah pulangan mewah? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
SENsor RINGGIT - 28 October 2020

WARAN: PELABURAN MURAH PULANGAN MEWAH?

 

MINGGU lepas kita berbicara santai antara saham bonus percuma dan saham hak berbayar di Bursa Malaysia. Minggu ini pula kita menyantuni terbitan waran sebagai pelaburan patuh syariah yang kelihatan popular dalam kalangan pelabur runcit.

 

Namun, pasti ramai kelihatan haru-biru kenapa istilah `waran' digunakan di bursa. Pada firasat pembaca setia DagangNews.com, istilah waran mungkin menjurus kepada sesuatu yang mereka cuba elakkan dalam kehidupan mereka. Misalnya, mereka kerap dengar `waran tangkap' dikeluarkan oleh mahkamah kepada polis bagi menangkap ahli politik bermasalah atau ke atas suami yang melarikan diri selepas mendera isteri mereka. Pasti mereka merasa seram-sejuk dan pucat-lesi!

 

Wadah Waran

Waran adalah satu wadah atau kaedah bagi sesebuah firma senaraian awam untuk meningkatkan modal berbayarnya. Macam juga saham hak, pemegang saham diberikan peluang untuk membeli saham baharu pada harga yang diteapkan oleh syarikat. Berbeza dengan saham hak, terbitan waran memerlukan pemegang saham membeli pada harga premium daripada harga pasaran semasa. Haha! Bunyi sesuatu yang negatif juga kepada pemegang saham!

 

Waran dari segi istilah bahasa adalah "surat kebenaran" yang diberikan oleh satu pihak berautoriti tinggi kepada satu pihak berautoriti lebih rendah. Dalam pelaburan saham, waran memberi kebenaran atau membuka peluang kepada pemegang saham untuk membeli saham dengan harga lebih tinggi daripada harga pasaran. Sah istilah waran juga membuatkan pemegang saham cuba elakkan sebab syarikat meminta mereka membeli saham baharu pada harga yang lebih tinggi daripada harga pasaran semasa yang mereka anggap syarikat cuba menindas mereka. “Hilang akal apa?”, celah seorang pemegang saham yang terlajak ramah macam wartawan segera media sosial!

 

Ya mereka risau ada dua sebab yang boleh memungkinkan mereka naik sasau!

 

Pertama, harga lebih tinggi! Kalau harga pasaran adalah RM2.00 sesaham, pasti mereka perlu membayar harga lebih tinggi, katakan RM3.00 sesaham.

 

Kedua, sebagai pemegang saham setia, syarikat sepatutnya mempelawa mereka membeli saham waran pada harga lebih murah daripada harga semasa seperti dalam kes saham hak atau beri sahaja saham percuma macam saham bonus!

 

“Amboi.....!" ejek M. Daud Kilau dengan nada panjang dalam lagu popularnya “Sirih Pinang” pada 1970an dahulu! Teringat di Hostel 4 lelaki ITM Shah Alam, kami sahut-menyahut “Amboi……” beramai-ramai apabila lagu ini berkumandang di radio setiap bilik!

 

Jom kita ambil contoh sebenar yang dipermudahkan bagi firma awam ACME Holdings yang difailkan di Bursa Malaysia:

 

aaa
Info Penting :
Listing Date: 29 November 2019 adalah tarikh waran ACME di senarai di Bursa
Maturity Date: 21 November 2024 adalah tarikh matang waran ACME
Exercise Price: RM0.25 adalah harga laksana untuk tukar waran kepada saham
Conversion Ratio: 1:1 adalah nisbah tukaran 1 waran kepada 1 saham ACME
Underlying Stock: Saham pendasar dirujuk kepada kaunter ACME

 

Berpandukan kepada jadual di atas, ACME menerbitkan waran yang dianggap panjang tempoh kematangannya. Waran ini diterbitkan November 2019 tetapi matang November 2024, menyamai tempoh lima tamat tempoh Pilihan Raya Umum (PRU)! Oleh kerana tempoh yang lama, sudah pasti apa-apa di luar jangkaan pun boleh berlaku. Bukti; PRU14 pada Mei 2018 kerajaan BN tewas buat pertama kali dalam sejarah politik Malaysia. Dan juga buat pertama kali kerajaan baharu PH dibentuk. Namun kerjaan PH telah lumpuh pada Mac 2020 hanya sempat memegang pentadbiran Putrajaya selama dua tahun sahaja; kini di pimpin pula oleh kerajaan PN!

 

Pun begitu, kerajaan PN pula dikatakan goyah ekoran daripada tiada kesepakatan dikalangan BN-UMNO-MCA-MIC serta PAS. Keadaan menjadi lebih rumit apabila kes baharu COVID-19 semakin meningkat kepada empat angka. Justeru bukan sahaja rakyat marhaen malah para pemimpin parti pandai atau memandai-mandai pun kelihatan keliru akan keperluan “darurat politik" atau "darurat kesihatan?!

 

Alhamdulillah Majlis Raja-Raja menitahkan tiada keperluan untuk mengistiyharkan Malaysia sebagai “darurat”. Mencerminkan keyakinan para pelabur, indeks FBM KLCI kelihatan “tenang” dan stabil walaupun MKN mengesahkan PKPB yang sepatutnya tamat pada 28 Oktober 2020 dilanjutkan lagi sehingga 9 Novemver 2020. Malah gesaan kuat datipada ahli-ahli parliament menuntut YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan tidak menjadi kenyatan apabila mesyuarat MT UMNO  memutuskan until terus menyokong kerajaan PN.

 

Mencerminkan kestabilan polotik, indeks FBM KLCI merekodkkan kenaikan pada sesi pagi 27 Oktober 2020 kembali melepasi 1500 mata. Justeru para pelabur insitutusi mengjangka Bajet 2021 yang akan dibentangkan pada 6 November 2020 akan mendapat kelulusan parlimen, sekaligus ia berita positif untuk Bursa Malaysia melepasi paras psikologi 1600 mata menyambut kedatangan tahun baharu 2021!

                              

Risiko Terhad Pulangan Terbuka

Dengan nisbah 1:1, pemegang saham berdaftar ACME ditawarkan membeli pada harga 25 sen sesaham sehingga 21 November 2024. Maknanya, sekiranya kita memiliki 1,000 saham ACME, kita boleh beli 1,000 waran dengan kos belian RM250 (1,000 X RM0.25).

 

Sebagai pelaburan derivatif,  harga waran ACME WA harus dibaca bersama dengan harga saham pendasar ACME. Pada 22 Oktober 2020, harga ACME WA adalah 38 sen manakala saham induk ACME adalah 68 sen. Ini dimaklumi sebab harga ACME WA dipengaruhi oleh harga saham pendasar ACME; ia menunjukkan harga penutup semasa 38 sen lebih tinggi daripada harga laksana 25 sen. Jadi, pemegang waran juga boleh menjual ACME WA di Bursa Malaysia yang kini berharga 38 sen dengan keuntungan 7 sen seunit waran.

 

Pun begitu, sekiranya disimpan, kita boleh menukarkan warannya kepada saham pendasar ACME dalam kes harganya melebihi harga laksana; 25 sen. Dua graf analisis teknikal dibawah jadi rujukan sebagai pelabur berilmu dan berdisiplin!

 

Berpandukan kepada analisis teknikal dan asas dalam dua graf di bawah, dengan kos belian RM250, pada 22 Okober 2020, nilai waran kita sudah naik kepada RM680; iaitu membawa keuntungan atas kertas RM430 hanya dalam masa hampir se tahun sahaja yang membawa pulangan sebanyak 172%!

aaa
Analisis teknikal oleh Trading.view merumuskan ACME telah berdagang condong ke atas yang merupakan petanda baik harganya mencecah 68 sen pada 22 Oktober 2020.

 

Apa makna ini? Oleh sebab waran memberikan kita hak membeli, makna kita jangka harga akan naik melebihi harga semasa; iaitu kita bersifat bulis ke atas ACME dalam masa lima tahun akan datang.Ye dengan melabur RM250 pada November 2019, kita sudah mendapat pulangan RM430 atau 172% dalam masa kurang daripada satu tahun! Wau! Adakah harga saham pendasar ACME akan terus naik melepasi 68 sen?

 

Ooop! Harga waran macam harga saham boleh berubah seperti berikut:

aaa

Harga waran seperti saham-saham juga boleh bergerak naik, turun atau kekal bergantung kepada kuasa pasaran bagi tempoh tertentu.

 

Dalam istilah pelaburan, lima tahun di anggap terlalu lama yang menjurus kepada risiko yang tinggi. Ini bermakna dalam lima tahun, apa-apa boleh berlaku; termasuk di luar jangkaan. Justeru para penganalisis saham akan menggabungkan analisis asas dan teknikal; prospek keuntungan dan dividen syarikat untuk lima tahun akan datang; juga pergerakan volum dan harga dalam membuat keputusan jual-beli saham.

 

Namun sebagai pelabur berilmu, apabila kita sanggup membayar RM250; ia adalah kerugian yang berani kita tanggung apabila harga saham ACME sebaliknya merudum pula. "Jangan panik bro!", seru Cikgu saham.

Kerugian kita hanya terhad kepada harga laksana 25 sen sahaja. Ini membawa erti sekiranya saham ACME merudum di bawah 25 sen, kita tidak akan melaksanakan hak kita untuk membeli saham pendasar ACME dengan bersedia untuk menerima kerugian hanya RM250 sahaja.

 

aaa
Analisis asas mengambil kira rekod prestasi kewangan ACME dari segi prospek 5 tahun akan datang.

 


Namun sekiranya ACME terus diburu oleh para pelabur dengan prospeks kewangan yang cemerlang seperti dipamerkan sehingga Oktober 2020, keuntungan kita turut melonjak; katakan harga saham pendasar ACME naik mencacak kepada RM1 menjelang Bajet 2021. Maknanya nilai waran kita pada harga semasa RM1 adalah RM1,000 iaitu untung RM750!

 

Rumusannya, kerugian kita adalah terhad kepada RM250 sahaja manakala keuntungan kita terbuka luas daripada RM430 kepada RM750! Oh ya ke? Ya itu strategi pelabur berilmu dan berdisiplin!

 

Waran Pelaburan Derivatif

Terbitan waran agak kompeks disebabkan ia adalah satu jenis derivatif sekuriti di mana dagangannya bergantung kepada saham induknya. Ini perlu difahami lebih lanjut sebab ia melibatkan dua sekuriti, satu saham asas (saham induk/pendasar) dan satu lagi saham derivatif (saham waran). Waran dari sudut positif, ia memberi satu kebenaran kepada pemegangnya untuk melaksanakan haknya. Waran amat popular kepada anggota tentera 1980an seperti waran tiket kereta-api atau kapal-terbang.

 

Waran terbahagi kepada dua:

Pertama, waran diterbitkan oleh firman senaraian manakala yang kedua diterbitkan oleh pihak ketiga iaitu bank pelaburan. Waran yang pertama diterbitkan bertujuan untuk meningkat model ekuiti sesebuah firma senaraian; dinamakan waran syarikat. Waran yang ditawarkan oleh bank dikenali sebagai waran berstruktur seperti waran CIMB, Harta-C48, Top Glove-88 dan Bursa-C37 seperti dipamerkan dalam web waran-waran CIMB berstruktur:

 

Fokus kita adalah waran syarikat atas 3 sebab:

1. Ia mematuhi shariah apabila diterbitkan oleh ACME sebagai sebuah firma senaraian patuh syariah. Manakala waran CIMB tidak mematuhi syariah sebab CIMB adalah bank konvensional.

2. Waran syarikat adalah bertujuan untuk meningkatkan modal sahamnya yang dibayar  oleh pemegang sahamnya.

3. Saham waran syarikat adalah bertujuan untuk memberi peluang pemegang sahamnya mengekalkan peratus pemilikannya melalui pembelian saham waran syarikat.

 

Oleh kerana ia memberi hak kepada pemiliknya, waran ada tarikh luputnya. Berbeza dengan saham hak, waran mempunyai jangka hayat yang panjang lazimnya tiga hingga lima tahun, malah ada sehingga 10 tahun. Ia adalah satu strategi syarikat untuk menaikkan harga sahamnya yang tertekan secara berkala di bursa saham untuk beberapa tahun akan datang, bukannya beberapa bulan seperti saham hak.

 

aaa
ACME bermatlamat menjadi penyelesaian satu bumbung dalam pengeluaran produk plastik.

 

Sekiranya anda bukan pemegang saham, anda masih boleh membeli waran di Bursa Malaysia. Perlu diingatkan, waran didagangkan berasingan dari saham induknya, lazimnya diniagakan aktif di bursa saham. Ada kes awal 2020, satu waran berharga 3 sen sesaham bila didagangkan dalam masa dua minggu hargnya naik ketara setiap hari sehingga mencecah 30 sen, bererti naik 30 kali ganda.

 

“Biar betul?”, tanya kumpulan Akar. “Memang betul!”, jawab kumpulan tersebut dalam dua lagu popular akhir 1990an dahulu. Ye, katakan dengan membeli saham waran tersebut 3 sen, untuk 10,000 unit melibatkan kos RM300 sahaja. Jadi, kalu anda menjual pada harga 30 sen menghasilkan RM3,000; untung kasar RM2,700 dalam masa 2 mingu sahaja. Pun begitu, kalau harga waran tersebut menjunam kepada 1 sen, anda hanya rugi RM200 sahaja; satu lagi bukti kerugian waran adalah terhad tetapi untung terbuka!

 

Waran syarikat ada persamaan dengan opsyen panggilan (call option) sebab kedua-duanya memberikan hak bukannya obligasi untuk melaksana kepada pemegang sahamnya. Maknanya kedua-dua waran ini memberi opsyen pemiliknya untuk melaksanakan hak membeli. 

 

aaa
CBOE adalah bursa opsyen terbesar dunia yang mula beroperasi sejak 1973 yang berdagang dengan aktif opsyen syarikat seperti Microsoft dan ExxonMobil.

 

Namun kedua-duanya berbeza atas dua sebab:

Pertama waran syarikat diterbitkan oleh syarikat senaraian yang di sebut-harga di bursa saham manakala opsyen panggilan di niagakan di bursa derivatif.

 

Kedua, waran syarikat ada jangka hayat panjang sekitar purata 3-6 tahun walhal opsyen panggilan jangka hayat pendek sekitar 3-6 bulan sahaja. Untuk makluman, Bursa Malaysia Derivatif belum lagi berdagang instrumen opsyen saham syarikat manakala Chicago Board of Options Exchange (CBOE)  adalah bursa opsyen terbesar dunia ada sebut harga opsyen saham syarikat seperti Microsoft Options dan ExxonMobil Options.

 

Next week we will explore Single Stock Futures (SFF) traded on Bursa Malaysia Derivatives as we have covered CPO Futures last month.

 

DR ROSALAN ALI adalah mantan profesor pelaburan di UiTM sehingga bersara wajib 2016; felo Fulbright, Washington DC sejak Julai 2011 dan felo penyelidik utama di Lamka Advisory sejak Jun 2020.

 

aaa

 

 

 

 

 

 

 

Portfolio Tags