India beli 1 juta biji benih kelapa sawit FGV | DagangNews Skip to main content

India beli 1 juta biji benih kelapa sawit FGV

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzillah Hassan menunjukkan benih Yangambi ML161 FGV, semasa lawatan beliau ke Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak.

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 4 Nov. - FGV Holdings Bhd. meluaskan pasaran biji benih kelapa sawit ke India dan menyasarkan untuk meningkatkan jualan sehingga 1.5 juta pada tahun hadapan berikutan permintaan tinggi dalam pasaran di negara tersebut.

Setakat kini, FGV memperoleh tempahan untuk 1 juta biji benih kelapa sawit, Yangambi ML161 menerusi syarikat FGV Pre Unique, sebuah syarikat usaha sama antara FGV dan Pre-Unique Pvt Ltd untuk menembusi pasaran produk makanan di India. 

FGV Pre Unique juga berfungsi sebagai perantara bagi FGV untuk mengembangkan pasaran benihnya di India terutama di negeri seperti Andhra Pradesh dan Telangana. 

Sejak September, syarikat ini memperoleh pesanan sebanyak 1 juta biji benih sawit, empat bulan selepas usaha sama itu ditubuhkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, Yangambi ML161 mempunyai ciri-ciri yang berbeza berbanding varieti lain di mana ia memberikan peratusan perahan minyak dan bilangan tandan yang lebih tinggi dengan tandan bersaiz sederhana. 

Katanya, ia sekali gus menjadikannya sebagai salah satu jenis benih sawit paling digemari industri minyak sawit di dalam dan luar negara.

"Saya yakin kehadiran FGV di India adalah langkah tepat untuk pengembangan perniagaan masa depan FGV. 

"Selain  India, Yangambi ML161 juga memenuhi permintaan tinggi di Indonesia dengan 1.5 juta biji terjual, Thailand (560,000), Papua New Guinea (320,000) dan Sri Lanka (250,000) biji terjual hingga kini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Biji benih Yangambi ML161
Biji benih Yangambi ML161.

 

Biji benih Yangambi ML161, bahan tanaman kelapa sawit nombor satu ini mempunyai 43% penguasaan pasaran di Malaysia.

Ia dicipta melalui program pembiakbakaan dan penyelidikan sawit yang meluas di Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak milik FGV di Jengka, Pahang yang merupakan antara pusat penyelidikan kelapa sawit terbesar di Asia Tenggara.

Selain itu, biji benih sawit jenama Yangambi ML161 juga menerima anugerah berturut-turut Best Brand Oil Palm Germinated Seed oleh The BrandLaureate Awards dari 2012 hingga 2016 dan Brand Influencer Award untuk 2018-2019. 

Selain Yangambi ML161, FGV juga menawarkan biji benih Yangambi 3-Way, yang tumbuh menjadi pokok kelapa sawit dengan tetulang pelepah yang lebih pendek, kenaikan ketinggian sederhana dan memberi hasil minyak lebih tinggi berbanding pokok kelapa sawit komersial yang lain. 

Bahan tanaman ini menguntungkan industri dengan kepadatan penanaman lebih tinggi di tanah yang sedikit, dengan ciri-ciri seperti jumlah tandan yang tinggi sambil mengekalkan saiz tandan sederhana.

FGV setakat ini mengeluarkan sebanyak 20 juta biji benih setahun dan telah menjual sebanyak 400 juta sejak dikomersialkan pada 2002. Jumlah itu bersamaan sekitar 2 juta hektar tanah yang ditanam. - DagangNews.com