India naikkan duti import minyak sawit, jejas permintaan | DagangNews Skip to main content

India naikkan duti import minyak sawit, jejas permintaan

 

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 3 Feb. - Tindakan India menaikkan duti import minyak sawit mentah sebanyak 5.5% kepada 35.75% mulai 2 Februari 2021, dijangka memberi kesan kepada permintaan minyak sawit.  

 

Penganalisis CGS-CIMB, Ivy Ng Lee Fang menyifatkan langkah itu dilihat negatif memandangkan ia akan mengurangkan daya saing dengan minyak boleh dimakan lain di India manakala duti yang tinggi boleh meningkatkan harga minyak masak.

 

"Kami menganggarkan semakan ini akan mengurangkankan kelebihan minyak sawit mentah dari segi jurang duti berbanding minyak boleh dimakan yang lain seperti minyak kacang soya, daripada 8.25% kepada 2.75%," katanya dalam nota kajian hari ini.  

 

Dalam Belanjawan 2021, India mengurangkan duti import minyak sawit daripada 27.5% kepada 15% mulai 2 Februari 2021.

 

Pada masa sama, duti import bagi minyak kacang soya dan bunga matahari juga direndahkan daripada 35% kepada 15%. 

 

Bagaimanapun, kerajaan mengumumkan pelaksanaan baharu sebanyak 17.5% bagi infrastruktur pertanian dan pembangunan (AID) ke atas minyak sawit manakala 20% AID bagi minyak kacang soya dan bunga matahari.   

 

Secara keseluruhan, CGS-CIMB mengunjurkan semakan itu akan menyebabkan duti import minyak sawit akan meningkat kepada 35.75% berbanding 30.25%. 

 

"Namun, tiada perubahan bagi duti import yang berkuat kuasa untuk minyak kacang soya dan bunga matahari yang kekal pada 38.5%," katanya.  

 

Jelas Lee Fang, harga rujukan minyak sawit mentah untuk mengira duti import di India ditetapkan pada AS$1,049 satu tan metrik mulai 15 Januari 2021. 

 

"Peningkatan dalam duti import ini akan menyaksikan tambahan cukai sekitar AS$57.7 satu tan metrik, yang akan dilepaskan kepada pelanggan," ujar beliau.

 

Beliau berkata, duti import yang tinggi akan meningkatkan harga minyak masak di India dan menjejaskan permintaan bagi minyak sawit. 

 

"Ini adalah negatif bagi tempoh terdekat untuk harga minyak sawit di India memandangkan negara itu merupakan pengimport terbesar pada 2019, merangkumi 19% daripada jumlah import minyak sawit. 

 

"Selepas pengenalan tambahan ini, perbezaan cukai antara minyak sawit dan bertapis akan menyusut kepada 13.75% daripada 19.25% sebelum ini," katanya. 

 

Situasi ini, menurut beliau, adalah negatif kepada industri minyak sawit bertapis di India dan menyebabkan kecenderungan kepada minyak berproses berbanding minyak sawit mentah ke negara tersebut. 

 

Katanya, perkara yang sama berlaku di Indonesia apabila cukai eksport yang tinggi menjadikan minyak sawit bertapis di negara itu lebih kompetitif. 

 

"Bagaimanapun, kami berpandangan perkembangan ini sedikit negatif kepada syarikat perladangan huluan dan syarikat penapisan di India. 

 

"Tetapi, ia adalah positif kepada syarikat penapisan minyak sawit di Malaysia dan Indonesia serta peladang di India (berikutan pelan untuk membina infrastruktur pertanian domestik)," katanya. - DagangNews.com