India turunkan cukai import minyak masak, KLK, IOI, Ta Ann, GENP dalam kedudukan untung | DagangNews Skip to main content

India turunkan cukai import minyak masak, KLK, IOI, Ta Ann, GENP dalam kedudukan untung

INDIA telah menurunkan asas cukai import ke atas minyak sawit, minyak kacang soya dan minyak matahari. - Gambar hiasan oleh Ashwini Chaudhary

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 14 Sept. - Keputusan India untuk menurunkan duti import minyak masak yang boleh dimakan merupakan perkembangan positif buat beberapa buah syarikat perladangan di Malaysia. 

 

Ini termasuk Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK), IOI Corporation Berhad (IOI), Ta Ann Holdings Berhad dan Genting Plantations Berhad (GENP).

 

Bagi CGS-CIMB Research, pemotongan kadar duti tersebut dijangka melonjakkan permintaan minyak sawit mentah (MSM) di India sekali gus positif buat syarikat-syarikat tersebut. 

 

“Namun, ini agak negatif buat pekebun India kerana persaingan yang lebih sengit daripada minyak yang boleh dimakan import serta neutral buat pemain industri minyak sawit bertapis di India.

 

“Kekal penarafan ‘neutral’ ke atas sektor berkenaan, pilihan utama kami di peringkat serantau adalah Wilmar International, First Resources Ltd dan KLK,” jelas firma itu dalam satu nota kajian.

 

Menurut makluman kerajaan India, negara itu telah menurunkan asas cukai import ke atas minyak sawit, kacang soya dan matahari.

 

Asas cukai import MSM telah diturunkan daripada 10% kepada 2.5%, sementara cukai bagi minyak kacang soya mentah dan minyak matahari mentah, telah dikurangkan daripada 7.5% kepada 2.5%.

 

Sementara itu, asas cukai import bagi minyak sawit, kacang soya dan matahari bertapis pula diturunkan daripada 37.5% kepada 32.5%.

 

Selepas pemotongan tersebut, MSM, minyak kacang soya dan matahari mentah akan tertakluk kepada jumlah cukai 24.75%.

 

CGS-CIMB melihat perkembangan ini bukan sesuatu yang amat mengejutkan kerana sebelum ini, kerajaan India sememangnya dilaporkan sedang meneroka potensi untuk menurunkan duti import ke atas minyak masak untuk menjadikannya lebih murah. 

 

“Cukai import yang lebih rendah akan membantu mengurangkan harga minyak yang boleh dimakan menjelang perayaan pada masa akan datang. 

 

“Apa yang mengejutkan adalah India tidak menurunkan duti import ke atas minyak biji sesawi, di mana dikekalkan pada 38.5%,” tambah firma itu lanjut. - DagangNews.com