Individu bukan warganera perlu bayar caj penuh kuarantin RM4,700 bermula hari ini | DagangNews Skip to main content

Individu bukan warganera perlu bayar caj penuh kuarantin RM4,700 bermula hari ini

Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR 24 Sept. - Mana-mana individu bukan warganegara yang masuk ke negara ini melalui semua pintu masuk antarabangsa negara perlu membayar caj penuh kuarantin tanpa subsidi berjumlah RM4,700.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kadar bayaran tersebut mula berkuat kuasa pada 24 September 2020.

"Jumlah RM4,700 itu merangkumi RM2,600 caj tetap pengoperasian dan RM2,100 kos penginapan.

"Bagi individu kedua dan ketiga yang berkongsi bilik dengan individu pertama, kos penginapan adalah separuh iaitu RM700.

"Manakala bagi anak yang berumur di bawah enam tahun, kos penginapan adalah percuma," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menyentuh kadar bayaran bagi rakyat Malaysia, beliau memberitahu, subsidi kos kuarantin masih dikekalkan.

"Rakyat Malaysia hanya perlu membayar kos penginapan sebanyak RM2,100 seperti yang diputuskan dan dilaksanakan sebelum ini.

"Manakala kos pengoperasian sebanyak RM2,600 adalah kekal ditanggung oleh kerajaan," ujar beliau.

Terdahulu, kerajaan memutuskan bahawa caj kuarantin bagi semua individu yang memasuki pintu masuk negara adalah di bawah tanggungan sendiri.

Arahan berkenaan dimulakan dengan pungutan caj kepada anak kapal (seafarers) bukan warganegara sahaja. - DagangNews.com