Indonesia Bagus Bagus! | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
WAINUIOMATA - 25 Sep 2020 07:53 AM

Indonesia Bagus Bagus!

 

Deretan kenderaan, terutama bas sepanjang lebuh raya Riyadh ke Makkah melalui Taif menyebabkan kesesakan. Perlahan bergerak. Meriah. Teruja dan ceria. Kenderaan beratur dengan baik dan saujana mata memandang.

Kami bertolak agak lambat kerana bukan mudah juga pihak pengurusan bas memastikan semua jemaah datang pada waktunya. Memastikan semua yang berdaftar sudah membayar dan mempunyai visa haji. Mulanya dijadualkan awal pagi.

Para supir dan pembantu rumah Indonesia dihantar dan dibayar oleh majikan. Boleh dikatakan mereka muda-muda.

Ramai yang menghantar termasuk kawan-kawan. Hari itu, hari kerja. Saya diberi kebenaran oleh majikan untuk naik haji. Lagipun memang cuti panjang di Arab Saudi.

Malah bos mahu membayar semua kos. Kalau saya tahu, saya naik kapal terbang dari Riyadh, tetapi dengan visa dicop atas sekeping kertas, tidak selamat di lapangan terbang. Lebih rela saya menaiki bas sahaja.

Riuh rendah bas kami dengan penumpang. Masing-masing  teruja dan bersembang kerana baru bertemu. Pelbagai loghat Indonesia. Kebetulan saya duduk bersama Abdul Rahman (nama ini ditukar selepas haji, tidak ingat nama asal Jawanya).

Abdul Rahman sebaya dengan saya dan dianggap ketua kumpulan. Dia juga kelihatan lebih matang dari yang lain. Banyak kali terdengar dia menasihati dan memastikan beberapa perkara. Bagai seorang ustaz.

Pertanyaan tentang aktiviti haji menyemarakkan perbualan. Saya mendengar sambil cuba memahami. Tanpa berkursus dan hanya melalui pembacaan.  Tiada kebimbangan kerana saya percaya, mengerjakan haji adalah mudah sebab itu Tuhan mewajibkan kepada mereka yang mampu.

Islam secara keseluruhannya, memudahkan.

Ada teringat juga sewaktu kecil mengikuti kelas yang dibuat  oleh arwah ayah untuk bakal haji di Kuala Rompin. Arwah ayah saya merupakan bekas Kadi dan banyak mengajar. Arwah ayah sepatutnya Kadi Besar Pahang tetapi beliau menolak jawatan itu dan bersara awal.

Dari situ juga saya dapat mendengar pelbagai cerita haji dari arwah yang sudah berpuluh kali mengerjakan haji dan menetap di Makkah semenjak kecil. Beliau pergi ke Makkah sewaktu sembilan tahun  dan balik ketika usia 27 tahun, beliau berkahwin dengan seorang janda dengan lapan anak perempuan.  Anak-anak perempuan itu semuanya warga negara Arab Saudi dan kami mempunyai 14 orang adik beradik dari enam ibu yang diketahui.

Banyak cerita melucukan yang saya boleh ingat. Semuanya menambahkan jangkaan keadaan suasana haji. Ada juga kisah-kisah yang membuatkan terasa sedikit tidak menyenangkan.

Antaranya ada terbaca dalam akhbar, melalui ruangan pertanyaan dengan ustaz mengenai seorang pesara (penjawat awam) yang tiga kali ke Makkah tetapi gagal masuk ke dalam Masjidilharam.

Pesara itu menyedari yang hampir keseluruhan hidupnya dipenuhi rasuah dan penyelewengan. Duit yang dikumpulnya semua tidak bersih. Lantas, bertanya kepada ustaz itu, bagaimanakah dia boleh menyucikan harta dan wangnya untuk membolehkan dia mengerjakan haji dengan sempurna?

Saya tidak ingat jawapan ustaz tersebut, tetapi soalan itu menjadikan saya cukup takut kalau-kalau terlibat dengan rasuah, penyelewengan dan apa sahaja duit haram.
 

masjidilharam


Memang hingar-bingar dalam bas.

Ramai juga warga Indonesia yang bekerja sebagai pembantu rumah dalam bas kami. Tentu ada usik mengusik antara mereka dengan para supir.

Yang saya pasti ramai mereka sudah berkahwin, tetapi pasangan di Indonesia. Yang tidak pasti bagaimana ada pembantu rumah naik haji tanpa mahram.

Kami tiba di sekatan jalan raya pertama. Pihak polis (atau tentera, tidak ingat), naik ke atas bas.

"Indonisi?" Tanyanya kuat.

"Naam!" Sahut kami ramai-ramai. Ramai supir dan pembantu rumah fasih berbahasa Arab.

Polis itu pun meminta tunjukkan pasport dan visa.

Saya berdebaran. Rasa sedikit kegusaran. Berdoa dalam hati. Agar Allah lindungi saya. Saya memilih tempat duduk hampir dibelakang bersama Abdul Rahman.

Terdengar suara Arab di Kementerian Haji Riyadh, "Pergilah TETAMU ALLAH, pergilah, Allah menjaga keselamatan perjalanan kamu!"

Polis itu nampak ceria. 

Satu demi satu penumpang diperiksa pasport. Saya semakin berdebaran kerana sudah menghampiri saya. Tetap berdoa dalam hati.

Polis itu pun menuju kearah saya. Tersenyum. Bertanya dalam bahasa Arab, "Kamu ok?"

Tidak pasti sama ada dia melihat muka saya yang pucat atau badan menggigil.

Saya menjawab, khair.

Polis itu tersenyum, tidak meminta pasport, dan terus berpusing.

"Yalah, khalas!"

Polis itu turun dan saya  lega. Bersyukur kepada Allah.

Abdul Rahman  serta beberapa lain yang tahu situasi saya juga menepuk bahu. Bersyukur.

Perjalanan diteruskan. Ada sedikit kelajuan. Ramai yang tertidur. Kami berhenti solat jamak di sebuah R&R yang tandasnya begitu kotor. Apa nak buat. Arab Saudi tiada R&R yang moden ketika itu.
 

saudi
Polis Arab Saudi di sekatan jalan. - Gambar hiasan


Meneruskan perjalanan. Ada lagi sekatan jalan raya.

Sekali lagi, polis naik ke atas bas dan memeriksa pasport. Aduhai, hati kembali berdebaran. Bersama doa.

Kali ini, polis itu membuat pemeriksaan rambang. Tanpa ikut kerusi. Ke depan ke belakang. Kedua kerusi belakang dan depan, juga sebelah saya dimintanya.

Saya menanti. Sekali lagi, polis itu tidak meminta pasport saya.

Bersyukur.

Perjalanan diteruskan dan sudah masuk maghrib. Kami berhenti untuk urusan buang air, makan dan solat jamak di sebuah restoran. Kemudian menyambung perjalanan.

Ada lagi sekatan jalan raya.

"Indonisi?" Tanya polis itu ditangga bas?

"Naam!"

Polis itu naik dan berjalan ke belakang bas. Seolah-olah ke arah saya. Ya Allah, hati saya berdebaran. Boleh kena serangan jantung.

Sambil berjalan, polis itu berkata, "Indonisi bagus bagus!"

Kami semua ketawa. Kali itu, polis hanya meminta satu pasport dan kemudian turun. Mungkin ada puluhan bas jemaah Indonesia dari Riyadh, dan tidak larat untuk mereka periksa satu per satu. Sesudah dua sekatan jalan raya, apalagi yang mahu diperiksa.

Alhamdulilah. Itulah sekatan jalan raya yang terakhir kami lalui sebelum tiba di Taif untuk Miqat. Dalam kegelapan malam, melihat ke arah luar tingkap bas, terasa sayu dalam kesyukuran. Teringat kepada keluarga, isteri dan anak-anak.

Perjalanan  haji saya yang tidak dirancang itu memang memberi banyak pengajaran. Pengalaman yang menambah keimanan.

Bersendirian walau dalam kemeriahan. Kawan-kawan baru yang begitu membantu dalam keadaan saya tanpa 'visa' segera menjadi mesra.

Kami tiba di Taif selepas waktu isyak. Diberi dalam sejam sahaja.

Penuh sesak dengan manusia. Berebut tandas. Panjang beratur. Saya sempat mandi dan memakai ihram. Kemudian solat di masjid.

Dalam keadaan tergesa-gesa, lupa pula di mana bas diparkir. Malah dengan keadaan bas yang lebih kurang sama, mengelirukan. Sesatlah pula. Bertambah pula bila hampir semua dalam ihram, sukar mahu ingat kawan-kawan satu bas.

Untuk guna telefon pun tidak teringat untuk ambil nombor telefon kawan-kawan.

Alhamdulillah, bagai tahu saya tersesat, Abdul Rahman mencari saya dan kami kembali ke bas yang meneruskan perjalanan ke Makkah. Bas juga telah berubah tempat parkirnya.

Tiada sekatan jalan raya.  Beramai-ramai melaungkan, Labbayka Allahumma labbayk, labbayka laa shareeka laka labbayk. Inna al-hamd wa’l-ni’mata laka wa’l-mulk, laa shareeka lak.

Bas melalui Masjidilharam menuju ke asrama Indonesia berhampiran Mina.

Melihat kerlipan cahaya menyimbah Masjidilharam, sekian kali, air mata bercucuran. Serakan lampu melontar seribu kesyukuran. Saya tiba di Makkah dua hari sebelum wukuf.

Begitulah kehendak Ilahi. Rezeki itu datang dalam pelbagai cara. Yakinlah.

Terus terngiang, "Pergilah TETAMU ALLAH, pergilah, Allah menjaga keselamatan perjalanan kamu!"
 

mina

(bersambung)

 

 

Mohd Fudzail Mohd Nor adalah Karyawan Tamu di UniSZA dan telah aktif menulis di pelbagai medium termasuk sebagai kolumnis portal berita dan memenangi banyak hadiah sastera selama beliau berkelana di luar negara. Kolum Wainuiomata ini adalah bersempena nama bandar universiti beliau di New Zealand. 

 

KOLEKSI WAINUIOMATA

Mengerjakan haji dengan visa instant

Dinafikan Koridor Raya Multimedia, Selamat Datang Dubai Internet City