Industri automotif ‘kebal’ harungi PKP kali ini - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Industri automotif ‘kebal’ harungi PKP kali ini - Maybank IB

Gambar hiasan. - Perodua.com.my

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Jan. - Industri automotif dijangka berdepan impak lebih kecil akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua jika dibandingkan penguatkuasaan sekatan pergerakan itu pada tahun lalu. 

 

Penganalisis dari Maybank Investment Bank Berhad (Maybank IB), Liaw Thong Jung meramalkan situasi kali ini akan lebih lancar dan meletakkan penarafan ‘positif’ terhadap industri itu. 

 

“Bilik pameran, pusat servis dan bengkel kenderaan boleh beroperasi di bawah prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sepanjang tempoh ini (13 hingga 26 Januari 2021). 

 

“Bagaimanapun, kilang pembuatan dan pemasangan serta aktiviti akan tetap ditutup bagi negeri-negeri Selangor, Pulau Pinang, Melaka, Johor dan Sabah. 

 

“Semasa PKP pertama (Mac hingga Mei 2020), kesemua aktiviti itu ditutup dan kesannya, pengeluaran keseluruhan jatuh kepada 22,657 unit pada Mac, April (275) dan Mei (12,286) berbanding anggaran 40,000 hingga 58,000 unit pada bulan-bulan lain,” jelas Thong Jung dalam nota kajiannya. 

 

Tambah Thong Jung, penutupan sementara operasi kilang terutama di Selangor dan Melaka akan memberi kesan kepada pengeluaran beberapa jenama seperti Perodua, Toyota, Nissan dan Volvo yang menyumbang ⅔ daripada jumlah pengeluaran industri (TIP). 

 

 

Walaupun PKP 2.0 memberi kesan dari segi pengeluaran kenderaan, namun Thong Jung tidak menafikan kemungkinan penarikan semula peraturan itu dalam masa terdekat ini. 

 

Beliau memberi contoh keputusan untuk melarang kilang beroperasi 24 jam setelah membenarkan kemudahan itu beroperasi lebih awal dan dasar lanjutan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ditolak pada 23 Disember 2020 tetapi telah diluluskan pada 29 Disember 2020 (dalam seminggu) .

 

 

Sekiranya peraturan itu kekal, MBM Resources Berhad (pengedar Perodua dan Volvo), UMW Holdings Berhad (pengedar Toyota dan Perodua) dan Tan Chong Motor Holdings Berhad (pengedar Nissan dan Renault) akan terjejas. 

 

Ujar Thong Jung, penurunan 10% penjualan kenderaan akan menjejaskan pendapatan sebanyak 12% kepada UMW, MBM (-13%) dan Tan Chong Motor (-70%).

 

Bermaz Auto Berhad (BAuto) dan Sime Darby Berhad pula tidak akan terjejas pada bahagian pengeluaran kerana kilang mereka terletak di Kulim, Kedah, kata beliau. 

 

“Kami mengekalkan unjuran jumlah keseluruhan industri (TIV) ketika ini berdasarkan jangkaan penjualan kenderaan yang hampir mencapai 600,000 unit pada tahun 2021 (11M20: 455,000 unit),” tambahnya. 

 

Mengulas mengenai lanjutan pengecualian SST melangkaui Jun 2021,  Thong Jung tidak menolak kemungkinan dasar itu sekiranya jualan dan pengeluaran kenderaan terus terjejas akibat PKP 2.0 dan rantaian bekalan yang tergendala. - DagangNews.com