Industri halal Malaysia jadi rujukan lebih 150 negara, kata PM | DagangNews Skip to main content

Industri halal Malaysia jadi rujukan lebih 150 negara, kata PM

ZUNAIDAH ZAINON
editor@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Okt. – Malaysia mahu memperkukuhkan infrastruktur halal bagi meningkatkan sumbangan segmen tersebut kepada ekonomi negara, yang kini sekitar 7.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekali gus mewujudkan 350,000 peluang pekerjaan kepada rakyat.  

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, negara berhasrat untuk meningkatkan rantaian nilai ke arah teknologi tinggi, berasaskan pengetahuan dan  berintensifkan modal, menggabungkan reka bentuk termasuk aktiviti penyelidikan dan pembangunan.

Lebih membanggakan, jelasnya, Malaysia kini menjadi salah satu rujukan utama lebih 150 negara dalam pelbagai bidang berkaitan tadbir urus dan pembangunan industri halal, serta diiktiraf 84 badan pensijilan antarabangsa di 46 buah negara.

“Daripada kebolehkesanan produk halal hingga kemudahan kewangan islam, Malaysia berupaya menyediakan perkhidmatan halal sepenuhnya.

“Malah, Malaysia menjadi pusat kepada salah satu taman komuniti halal pertama di dunia yang berorientasikan perniagaan yang menyediakan infrastruktur, sokongan perkhidmatan dan insentif cukai,” katanya dalam Persidangan Halal Sedunia kali ke-12 di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Menurut Muhyiddin, kerajaan yang diterajui Perikatan Nasional turut menggariskan beberapa strategi bagi menangani cabaran yang dihadapi dalam ekonomi halal.

“Untuk itu, terdapat 43 inisiatif di bawah 7 teras strategik digariskan bagi menentukan hala tuju yang jelas bagi pematuhan syariah, apabila kita mula memasuki ekonomi digital,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, Malaysia berada di kedudukan terbaik untuk meraih manfaat dan memainkan peranan penting sebagai sebahagian daripada ekonomi internet ASEAN, yang dianggarkan mencecah AS$300 bilion (RM1.25 trilion) menjelang 2025.

Kini terdapat 360 juta pengguna internet merentasi ASEAN, meningkat daripada 260 juta empat tahun lalu manakala pengguna internet di seluruh dunia pula berjumlah 4.4 bilion, meningkat 9 peratus berbanding setahun lalu.

Sehubungan itu, beliau berkata, Malaysia bersedia untuk bekerjasama dengan negara-negara lain terutama ASEAN bagi meningkatkan kemampuan dalam penyediaan makanan halal termasuk dari segi famaseutikal, peralatan perubatan dan juga bahan-bahan mentah.

“Sebagai Pengerusi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC), saya menggesa negara ekonomi APEC supaya bekerjasama dengan Malaysia untuk mengeluarkan lebih banyak produk halal, mampu milik dan berdaya mapan yang boleh digunakan kira-kira 1.8 bilion populasi Muslim di peringkat global,” katanya. – Dagangnews.com