Industri insurans, takaful cari kaedah kurangkan kos perbelanjaan COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Industri insurans, takaful cari kaedah kurangkan kos perbelanjaan COVID-19

 

 

KUALA LUMPUR 18 Jan. - Industri insurans dan takaful akan mencari kaedah bagi mengurangkan perbelanjaan rawatan pesakit COVID-19 khususnya di hospital swasta menerusi kerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan Bank Negara Malaysia (BNM).

 

Ini kerana secara amnya, risiko berkaitan pandemik ini tidak dilindungi di bawah mana-mana pelan insurans dan takaful di seluruh dunia. 

 

Dalam kenyataan bersama, Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan Persatuan Takaful Malaysia (MTA) berkata, COVID-19 adalah pandemik, justeru, ia tidak iinsuranskan/dilindungi di bawah manfaat insurans/takaful perubatan serta kesihatan. 

 

"Pengecualian tersebut berpunca daripada kesukaran menetapkan harga untuk perlindungan berkaitan peristiwa seperti pandemik yang mungkin hanya berlaku sekali seumur hidup termasuk impak dan kos yang tidak dapat diduga. 

 

“Bagaimanapun, sebagai tindak balas kepada keperluan segera negara semasa peringkat awal pandemik pada 2020, majoriti penginsurans hayat dan pengendali takaful telah menyediakan manfaat tambahan seperti pendapatan hospital harian yang akan dibayar kepada pemegang polisi/pemegang sijil yang terjejas,” katanya. 

 

Menurut ketiga-tiga organisasi itu, industri tersebut menyokong perlindungan kepentingan pemegang polisi/pemegang sijil dan menyumbang kepada kejayaan perkongsian swasta serta awam dalam memenangi perjuangan menentang pandemik itu. 

 

"Industri ini telah bertindak pantas dalam usaha melaksanakan pelbagai langkah bantuan bagi membantu pemegang polisi/pemegang sijil menghadapi kesan kewangan daripada pandemik berkenaan," jelasnya.

 

Antara langkah itu termasuklah penangguhan premium polisi/caruman takaful yang telah memberi faedah kepada lebih sejuta pemegang polisi/pemegang sijil membabitkan premium/caruman bernilai lebih RM1.6 bilion. 

 

Dana Ujian COVID-19 (CTF) sebanyak RM8 juta juga telah ditubuhkan pada Mac 2020 bagi membolehkan pemegang polisi insurans perubatan dan kesihatan menjalani ujian saringan COVID-19.

 

"Di samping usaha industri secara menyeluruh, syarikat insurans dan pengendali takaful secara individu juga telah melancarkan pelbagai skim untuk membantu pemegang polisi/pemegang sijil," katanya. - DagangNews.com