BERADAPTASI SUPAYA KEKAL RELEVAN DI KALA PANDEMIK COVID-19
BEBERAPA lalu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan mengumumkan penambahbaikan garis panduan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan membenarkan aktiviti penggambaran luar studio dijalankan di negeri-negeri yang telah beralih ke fasa kedua PPN - dengan pematuhan garis panduan yang ketat.
Ia dilihat berita gembira, serta beberapa syarikat produksi di Lembah Kelang dilihat mula merancang untuk mengalihkan lokasi penggambaran ke negeri-negeri yang kini berada dalam fasa kedua.
Bagaimanapun, kegembiraan itu hanya sementara, setelah prosedur operasi standard (SOP) terperinci diumumkan oleh pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) selaku agensi bertanggungjawab bagi sektor ini, yang ternyata terlalu ketat, dan dilihat para penggiat sebagai tidak selari dan tidak realistik dengan keperluan praktis penggambaran.
Salah satunya adalah ketetapan penggambaran yang boleh dijalankan hanyalah bagi menyelesaikan projek yang telah bermula dan berada dalam pertengahan penggambaran ketika lockdown diumumkan tempoh hari – manakala projek yang baharu mahu bermula masih tidak dibenarkan.
Selain itu, beberapa syarat lain seperti - penggambaran hanya boleh dijalankan di kawasan tanpa penghuni yang berjarak sekurangnya satu kilometer dari kawasan berpenghuni – dan para tenaga produksi hanya boleh bergerak dalam radius 10 kilometer dalam gelembung yang dibenarkan sehinggalah tamat penggambaran.
Ia memberikan isyarat bahawa kebenaran ini hanya bagi membantu produksi yang mempunyai keterdesakan untuk menyelesaikan projek secepat mungkin, dan mempunyai kesediaan untuk berkompromi serta sanggup merombak cerita dan penceritaan – yang sebenarnya amat sukar dilakukan terutama apabila melibatkan segala persediaan telah dibuat berasaskan skrip terdahulu.
Bagi mereka yang tidak tergolong dalam kategori tersebut, sektor penggambaran secara umumnya masih tidak boleh beroperasi – dan perlu menanti peralihan fasa serta pertimbangan Majlis Keselamatan Negara berikutnya – yang sukar diramal tempoh masanya.
Ia pasti memberikan cabaran besar kepada para penerbit dan syarikat penerbitan – terutama berhubung kelangsungan dan survival syarikat masing-masing.
Melihat kepada situasi semasa, dapat dijangkakan bahawa kebenaran bagi sektor penggambaran untuk beroperasi dengan kapasiti yang sesuai masih terlalu jauh. Ketidaktentuan serta ketiadaan jangkaan tempoh masa yang jelas membuatkan situasi ini semakin membimbangkan kepada para penerbit dan syarikat produksi.
Bagaimanapun, sebagai sebuah perniagaan - sepertimana perniagaan dalam apa sahaja bidang – para penerbit dan syarikat produksi tidak harus hanya terus `tunggu dan lihat`. Menjadi resam dalam perniagaan, para penerbit perlu terus proaktif untuk meneroka potensi bagi beradaptasi dengan keadaan ini.
Lebih penting lagi, masa yang ada ini wajar dimanfaatkan sebaiknya bagi apa sahaja tujuan yang dilihat mampu untuk menambah baik syarikat dalam pelbagai aspek.
Sesetengah syarikat penerbit kini dilihat menggunakan sebaiknya waktu dalam lockdown kini bagi menjalankan kerja-kerja pembangunan cerita dan format yang berpotensi untuk digerakkan ketika pasca pandemik nanti.
Namun, tidak kurang juga dilihat produksi yang lebih proaktif dan responsif dengan situasi ini untuk meneroka dunia digital kini, dengan meneroka perniagaan-perniagaan baharu yang dilihat masih tidak jauh berbeza dengan perniagaan teras mereka dalam dunia kandungan dan penerbitan.
Antaranya adalah membangunkan platform strim bagi kandungan-kandungan yang dimiliki oleh mereka.
Tidak kurang juga syarikat produksi yang memiliki kemahiran dan kepakaran dalam kerja produksi tertentu menawarkan program latihan dan bengkel secara dalam talian kepada orang ramai yang berminat untuk mempelajari skil dan kemahiran penerbitan yang tertentu.
Selain itu, terdapat syarikat produksi yang memanfaatkan teknologi dalam talian, bagi menerbitkan kandungan dan program dengan konsep dan format yang sesuai dengan situasi dan garis panduan semasa – yang mana strim secara berseorangan dibenarkan dan tidak menjadi kesalahan.
Oleh kerana itu, bukan sahaja di Malaysia, malah di beberapa negara, konsep dan format kandungan bercirikan `bersiaran dari rumah` ini turut muncul – meskipun ada dalam kalangan negara tersebut tidak mempunyai halangan untuk menjalankan penggambaran secara konvensional.
Mungkin kerana faktor keselamatan, serta mengelak berdepan SOP ketat yang menyulitkan membuatkan mereka selesa memiliki pembangunan kandungan secara dalam talian ini.
Saya berpendapat bahawa para penerbit dan syarikat produksi harus melihat pandemik yang berlaku kini dalam konteks yang lebih positif dengan nada optimis – yang mana ia sebenarnya telah mempercepatkan proses digital disruption – yang secara tidak langsung akan meningkatkan keperluan terhadap kandungan digital selepas ini.
Ini secara tidak langsung akan memperbanyakkan kepelbagaian platform yang memerlukan kandungan untuk mengisi platform mereka – sekaligus bakal meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan dan perniagaan berteraskan kandungan.
Ini termasuklah dalam konteks perkhidmatan penerbitan kandungan digital bagi tujuan pemasaran dalam industri berteraskan produk dan peruncitan.
Pandemik ini boleh dilihat sebagai satu fasa reset kepada industri kreatif – yang mana ia memberikan ruang kita berehat sebentar bagi refleksi diri – berhenti seketika untuk berfikir – sebelum melangkah lebih lancar dengan perancangan dan persiapan yang lebih rapi. Jika kita berjaya memanfaatkan segala situasi yang ada - termasuklah pelbagai bantuan dan sokongan kerajaan – ia mampu menjadi satu peluang dan batu loncatan untuk setiap syarikat produksi lebih maju ke hadapan.
Apa yang penting adalah kesediaan dan kesanggupan untuk terus beradaptasi dalam mengekalkan relevansi perniagaan dari semasa ke semasa.
Ts Azharul Azmir Kamarulzaman merupakan Pengarah Urusan / Penerbit bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd dan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF)
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL INDUSTRI KREATIF