Industri perkayuan negara perlu manfaat lonjakan permintaan dari AS dan UK - Zuraida | DagangNews Skip to main content

Industri perkayuan negara perlu manfaat lonjakan permintaan dari AS dan UK - Zuraida

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

PUTRAJAYA 18 Mei - Permintaan untuk produk kayu melebihi bekalan di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) patut disambut baik oleh para pengeluar produk kayu Malaysia, kata Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin.

 

Zuraida berkata, sekatan ke atas produk kayu Rusia akan memaksa pengimport AS untuk mencari sumber alternatif, terutamanya untuk papan lapis.

 

Selain itu katanya, pertikaian perdagangan yang berterusan antara AS dan China telah meletakkan Malaysia dan Indonesia sebagai satu-satunya pilihan sumber kayu untuk ekonomi terbesar dunia ini. 

 

"Namun masa sekarang, kilang papan lapis Malaysia masih belum dapat memenuhi permintaan dari AS. Tidak ramai yang tahu sebenarnya pasaran untuk kayu Malaysia di AS, khususnya bagi kayu Meranti dan Keruing adalah agak tinggi.

 

"Permintaan untuk kayu Meranti telah meningkat sebanyak 9% berbanding tahun lalu, manakala permintaan untuk kayu Keruing telah meningkat sebanyak 467%. Eksport produk kayu dari Malaysia kini agak perlahan kerana kekurangan balak daripada hutan semula jadi dan ini menyebabkan kilang papan sukar memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

 

"Selain itu, antara cabaran yang dihadapi oleh pengeksport kayu-kayan ialah kesesakan di pelabuhan disebabkan kekurangan kontena, ruang dalam kapal dan kekangan logistik yang lain, Namun begitu, “transshipment” telah dikenal pasti sebagai salah satu solusi untuk jangka masa sederhana," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut Zuraida, Persatuan Produk Kayu Antarabangsa (IWPA) yang berpangkalan di AS telah menyatakan hasratnya untuk berbincang dengan ketua-ketua industri kayu-kayan Malaysia tentang cara bagi menangani isu yang dihadapi oleh sektor itu.

 

 

zuraida
Datuk Zuraida Kamaruddin

 

 

Beliau berkata, ia akan melibatkan langkah-langkah untuk melindungi Malaysia daripada menjadi sasaran persatuan kayu-kayan domestik dan pihak berkuasa AS atas isu pengelakan perdagangan, satu rangka kerjasama juga sedang dibangunkan antara pegawai AS dan pihak berkuasa Malaysia seperti Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Jabatan Kastam.

 

"Malaysia juga sedia bekerjasama rapat dengan UK, sama seperti dengan AS,untuk mengatasi kekurangan produk kayu di negara itu. Pada masa yang sama, negara kita juga boleh mencari dan menambah nilai kepada produk kayu dari negara ketiga, terutamanya untuk produk yang disahkan di bawah PEFC (Program untuk Pengesahan Pensijilan Hutan).

 

"UK yang merupakan penyokong terbesar sekatan AS ke atas Rusia dan langkah ini telah teruk menjejaskan pasaran kayu negara itu dan Kesatuan Eropah (EU). Malaysia juga mempunyai kebimbangan dan pendapatnya tersendiri dalam cadangan ENVI (Jawatankuasa Alam Sekitar, Kesihatan Awam dan Keselamatan Makanan). 

 

"Oleh itu, Malaysia perlu mengetahui pendirian UK mengenai cadangan ini dalam usaha mendapatkan konsensus mengenai definisi penebangan hutan dan kemerosotan hutan," katanya.

 

Katanya, walaupun menghadapi gangguan yang agak ketara dalam pasaran produk kayu, jumlah import UK meningkat sebanyak 15% dalam 2021, kenaikan yang terbesar sejak 2008. 

 

"Mulai 1 Januari tahun ini, terdapat perubahan dalam peraturan kastam UK kerana ia akan meninggalkan rangka kerja Kastam Kesatuan Eropah dan Pasaran Tunggal. 

 

"Justeru, industri perkayuan negara kita bakal mendapat manfaat daripada banyak produk yang bebas cukai dan ia juga mengurangkan keperluan untuk menuntut kadar duti khas," katanya. - DagangNews.com