Industri runcit Malaysia buktikan daya tahan ketika pandemik | DagangNews Skip to main content

Industri runcit Malaysia buktikan daya tahan ketika pandemik

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 Jun - Walaupun berdepan pelbagai cabaran akibat pandemik, industri runcit Malaysia telah membuktikan daya tahannya pada 2021, dengan 71 % perniagaan Malaysia merentasi sektor runcit, makanan dan minuman serta sektor hospitaliti meningkatkan pendapatan mereka sebanyak 20%. 

 

Menurut data baharu yang dikeluarkan oleh platform kewangan global pilihan syarikat terkemuka, Adyen, syarikat Malaysia yang mengatasi persaingan adalah mereka yang meraih faedah daripada pelaburan dalam transformasi digital, satu peluang yang kini bernilai RM334 bilIon.

 

Laporan Runcit 2022 Adyen Malaysia, menemuramah lebih 40,000 pengguna di 26 pasaran, termasuk 1,000 dari Malaysia untuk memahami perasaan mereka mengenai keadaan runcit. 

 

Ia turut meninjau 11,500 perniagaan di 23 negara, termasuk 500 dari Malaysia, untuk mengetahui tentang kebimbangan, aspirasi, strategi dan pelaburan mereka bagi 2022 dan seterusnya.

 

Satu penemuan penting daripada laporan itu adalah lebih 1 dalam 4 perniagaan menghubungkan sistem pembayaran ke bahagian lain dalam organisasi, seperti pengurusan inventori dan rantaian bekalan, untuk menambah baik operasi dan memecahkan silo dalam proses bekalang tabir. 

 

Disebabkan itu, 60% perniagaan kini berada dalam keadaan yang lebih baik. Ini adalah 11% di atas purata global dan tertinggi di APAC. 

 

Secara khususnya, syarikat yang menghubungkan sistem pembayaran dengan bahagian lain dalam perniagaan mereka berkembang 18% lebih tinggi daripada yang tidak. 


 
Anjakan itu memberikan pengguna Malaysia pengalaman sebenar terhadap teknologi. 80% pengguna percaya peruncit menggunakan teknologi dengan baik bagi memasarkan produk ketika pandemik. 

 

Majoriti percaya bahawa peruncit harus mengguna pakai fleksibiliti merentas saluran yang sama digunakan ketika pandemik (77%) dan menggunakan teknologi untuk meningkatkan skim ganjaran/ kesetiaan (90%).  Kedua-dua angka ini adalah 16% di atas purata APAC. 

 

Kegagalan mencapai jangkaan pengguna boleh menimbulkan masalah, kerana 81% pengguna tidak akan berbelanja dengan perniagaan yang mempunyai pengalaman membeli-belah yang buruk, sama ada dalam talian atau di kedai, 11% melebihi purata global.

 

Perniagaan berhasrat untuk terus mengharungi gelombang digital, dengan 97% merancang untuk melabur dalam penambahbaikkan perniagaan pada tahun hadapan. 

 

Pecutan transformasi digital akan menyumbang tambahan 5.6% kepada jumlah pertumbuhan sektor runcit Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang. - DagangNews.com