Industri vape akan terancam pada 2021? | DagangNews Skip to main content

Industri vape akan terancam pada 2021?

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

Cukai ke atas peranti vape dan peranti rokok elektronik sebanyak 10% serta eksais likuid vape sebanyak RM 0.4/ml dilihat sebagai langkah yang drastik kepada industri vape tempatan.

 

Pelaksanaan cukai ke atas peranti dilihat akan menaikkan kos menggunakan vape manakala cukai ke atas cecair akan mengurangkan permintaan.

 

Namun demikian, cukai ini dilihat satu pengiktirafan kepada alternatif rokok ini. Tetapi dalam masa sama, pengguna dan peniaga vape, kedua-duanya akan sengsara.

 

Ini kerana pengguna vape yang kebanyakan memilih untuk meninggalkan rokok kerana sensitif kepada harga akan mengurangkan penggunaan vape dan mungkin kembali kepada rokok.

 

Pengguna tegar yang mahu dikenali sebagai Syamu, ketika ditanya mengenai perkara ini menyatakan dia lebih rela memilih rokok seludup sebab lebih murah jika harga vape dinaikkan.

 

“Saya tiada pilihan lain selain rokok seludup sebab nak kurangkan vape, kalau harga dah mahal. Kena jimat duit,” katanya yang bekerja sendiri dalam satu tinjauan yang dijalankan DagangNews.com untuk melihat pendapat pengguna mengenai perkara ini.

 

Seorang kakitangan swasta, John Ruz pula berkata, penggunaan vape masih lagi kekal kerana ia mampu mengurangkan jumlah menghisap rokok.

 

“Lagipun harga vape masih lagi mampu milik dan boleh mengurangkan ketagihan merokok.

 

“Tetapi, saya masih lagi kekal merokok kerana kadang-kadang ketagihan itu ada tapi dapat mengurangkan jumlah merokok,” katanya.

 

Bagi John, sekotak rokok kadang-kadang mampu bertahan hingga 3 hari kerana diselang seli dengan Vape.

 

Pengguna lain, Afiq, yang bekerja dalam sektor swasta tetap memilih vape dan tidak kisah jika harganya naik.

 

Ini kerana, dia sudah bernekad untuk tidak merokok lagi sampai bila-bila.

 

“Saya nak berhenti merokok dan sudah tidak berminat lagi. Jadi, saya akan teruskan vape,” katanya.

 

Industri vape tempatan yang rancak mungkin akan terbantut. Apatah lagi industri ini didominasi oleh peniaga-peniaga bumiputera. 

 

Perspektif peniaga

 

Namun, peniaga vape, Rizani Zakaria berkata, sebelum kerajaan mengenakan sebarang cukai ke atas industri tersebut, banyak isu perlu diselesaikan di peringkat bawah terlebih dahulu terutama melibatkan standard pengeluaran cecair dan pelesenan. 

Rizani Zakaria
Rizani Zakaria

Perkara ini, katanya amat penting dan perlu dilihat oleh kerajaan bagi memastikan industri vape di negara ini lebih berdaya saing.

 

Pada 2014, katanya, ketika menjadi Presiden Persatuan E-Vaporizers dan Tembakau Alternatif Malaysia (Mevta), beliau bersama-sama kerajaan merangka garis panduan bagi standard penjualan cecair elektronik sifar nikotin ini tetapi tiada sebarang cukai dikenakan pada waktu itu.

 

“Secara dasarnya, saya memang menyambut baik usaha yang dibuat oleh kerajaan ini (mengenakan cukai) dalam mengawal selia industri vape ini yang sudah bertapak 10 tahun di Malaysia.

 

"Tetapi mengenakan cukai pada Januari ini, dilihat amat tergesa-gesa sedangkan beberapa isu dalam industri ini belum diselesaikan lagi,” katanya kepada DagangNews.com.

 

Jelas beliau, sebagai pengimport vape menerusi syarikatnya, Trilogy Sdn. Bhd., industri tersebut dipelopori oleh 95% pekerja bumiputera dengan lebih 1,500 kedai dibuka di seluruh negara, tidak termasuk yang beroperasi secara dalam talian sahaja.

 

Katanya, sejak kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) Mac lalu dan kemudiannya pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), kebanyakan peniaga mengalami kerugian dan ada juga yang menutup perniagaan.

 

"Mereka baru sahaja kembali memulakan perniagaan dan saya berharap kerajaan memberi sedikit masa untuk melaksanakan cukai ini," katanya.

 

Beliau bagaimanapun berkata, kerajaan boleh mengenakan cukai yang rendah terlebih dahulu sebelum meningkatkannya dari semasa ke semasa sama seperti cukai yang dikenakan ke atas rokok.

 

Bagaimana pula pendapat persatuan?

 

Presiden Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), Syed Azaudin Syed Ahmad berkata, langkah yang dilaksanakan kerajaan ini dapat membanteras lambakan vape haram yang berleluasa dalam pasaran dan tidak mengikut standard industri yang diakui di seluruh dunia.

 

Ini kerana katanya, banyak aduan dibuat mengenai pihak yang menjual produk vape secara tidak bertanggungjawab.

Syed Azaudin Syed Ahmad
Syed Azaudin Syed Ahmad

 

“Langkah selanjutnya, kami berharap kerajaan dapat mengembangkan peraturan yang holistik bagi industri ini agar dapat beroperasi dengan hala tuju yang jelas.

 

“Dalam masa sama, kami juga mahu bekerjasama dengan kerajaan serta pihak terlibat dalam pelaksanaan dan mengembangkan peraturan secara menyeluruh untuk industri ini,” katanya.

 

Mengenai kesan terhadap peraturan percukaian ini terhadap perniagaan, beliau berkata, masih terlalu awal untuk dinilai.

 

Beliau menyifatkan pelaksanaan cukai itu adalah permulaan bagi pengawalan dan kawal selia terhadap industri vape di negara ini.

 

Katanya, untuk penguatkuasaan dan pelaksanaan akan mengambil masa dan perlukan kerjasama di antara pengusaha dengan kerajaan.

 

“Kami sebenarnya sangat gembira apabila Langkah ini dibuat kerana kami telah mendorong kea rah langkah kawal selia ini sejak 5 tahun lalu dan ini adalah langkah pertama yang positif untuk memperkenalkan peraturan bersesuaian dalam industri vape,” katanya.

 

Bagaimanapun beliau berkata, cukai 40 sen adalah lebih tinggi kerana cecair vape 30ml akan dikenakan cukai RM12.

 

“Tetapi, ini adalah permulaan yang baik cuma kami berharap harganya dapat dikurangkan pada masa hadapan,” katanya.

 

Sementara itu, Penganalisis CGS-CIMB, Kamarul Anwar berkata, pelaksanaan cukai 40 sen per mililiter ke atas vape tidak dilihat seteruk cukai yang dikenakan ke atas rokok.

 

“Ini sepatutnya dapat mengelak isu risiko ketidakmampuan yang dialami pengguna. Apatah lagi pasaran vape sangat terpecah-pecah, dengan pelbagai jenis dan variasi.

 

“Kami memberi contoh sistem pod vape Nanostix Innovations Sdn. Bhd. (unlisted) untuk menunjukkan betapa cukai ini sangat rendah,” katanya dalam nota kajian bertarikh 7 November lalu.

 

Katanya, Nanostix mempunyai 1.5ml pod yang mempunyai hasil sama seperti 40 batang rokok atau dua bungkus rokok.

 

Ini menjadikan sesiapa yang membeli pod Nanostix, hanya dikenakan cukai 60 sen manakala dua bungkus rokok pula dikenakan cukai RM16 – perbezaan sehingga 99.96%.

 

Apa kata Kementerian Kesihatan?

 

Dalam satu Kajian Kesihatan dan Morbiditi Nasional Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dijalankan tahun lalu, mendapati 5% atau kira-kira 1 juta daripada rakyat Malaysia adalah pengguna e-rokok.

 

Ketika ini, cadangan cukai cecair e-rokok di Malaysia adalah kurang daripada AS$0.10 per mililiter; sementara produk garam nikotin dikenakan cukai AS$0.76 per mililiter di Filipina.

 

Bagaimanapun, difahamkan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini sedang merangka Akta Kawalan Tembakau bagi  membanteras penggunaan tembakau haram dan mengawal produk tembakau dan rokok elektronik atau e-rokok (dengan nikotin), shisha, vape (jus tiada nikotin).

 

Akta tersebut masih dalam semakan Pejabat Peguam Negara, manakala 3 kementerian iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), KKM serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) adalah bertanggungjawab dalam penyediaan, pengawalan, penjualan, pelabelan dan standard e-rokok.

 

Dalam hal ini, mungkin kerajaan harus mempertimbangkan untuk menanguhkan cukai peranti vape, peranti rokok electronik dan cecair ini sehingga undang-undang yang jelas wujud dan sehingga keadaan ekonomi kembali pulih selepas pasca COVID-19. - DagangNews.com