Belanjawan Negara satu perancangan jangka pendek tetapi perlu gambarkan kerangka Ekonomi Madani | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Infiniti - 6 October 2023

Belanjawan Negara satu perancangan jangka pendek tetapi perlu gambarkan kerangka Ekonomi Madani

 

 

 

APABILA kita melangkah masuk ke bulan Oktober pasti seluruh negara akan menumpukan perhatian terhadap proses penyediaan belanjawan atau pembentangan bajet negara. Selalunya masyarakat akan melihat yang belanjawan negara merupakan salah satu bentuk instrumen kewangan.

 

Melalui garapan belanjawan, ia akan mempengaruhi kehidupan sehingga menjadi sandaran kepada harapan dan medium untuk melihat kemungkinan masa hadapan sesebuah negara.

 

Tetapi bagi pihak kerajaan pula, sesuatu belanjawan bukan sahaja perlu disediakan dalam bentuk perancangan berangka yang meliputi tempoh setahun masa hadapan. Ini perlu menjelaskan perkara dan akan dilaksanakan berdasarkan alasan, agenda dan asas tertentu. Asas kali ini sudah tentulah kerangka ekonomi Madani akan diketengahkan.

 

Apabila belanjawan negara dilihat sebagai instrumen untuk memenuhi sesuatu tema atau kempen tertentu, maka ia perlu mengambil kira elemen perubahan struktur sosial, ekonomi dan pelbagai aspek kehidupan rakyat dan negara yang dapat menterjemahkan penghayatan maksud madani itu ke dalam penyusunan belanjawan.

 

 

bajet2024

 

 

Jika kerajaan hanya melihat belanjawan sebagai satu elemen dari sudut kewangan pula, belanjawan mempunyai pelbagai objektif seperti perancangan, kawalan, piawaian operasi, peruntukan sumber dan sasaran penghasilan, serta penyelarasan aktiviti organisasi sepanjang tempoh ditetapkan. Tetapi bagaimana perlaksanaan semua ini dapat dilaksanakan dengan memberikan tiupan semangat dan suntikan madani itu adalah satu perkara yang berbeza.

 

Pada peringkat negara, belanjawan selalunya dilihat berfungsi sebagai alat perancangan tahunan, penstabilan ekonomi, pengagihan kekayaan, menjamin keadilan sosial, penjajaran sektoral, perencanaan strategi dan penetapan dasar pembangunan. Jadi ini merupakan satu peluang terbaik untuk kerajaan untuk menterjemahkan elemen-elemen madani yang berasaskan peningkatan pemikiran keilmuan.

 

Bagi pemegang taruh pula, belanjawan akan memberikan satu gambaran bagaimana negara akan diurus, khususnya dalam konteks ekonomi dan kesan kepada pelbagai pihak.

 

Secara kesimpulan, belanjawan seharusnya memperlihatkan bagaimana hasil negara dijana dan ke mana ia dibelanjakan. Tidak hairan ia menarik perhatian ramai pihak. Paling tidak, ia akan menjadi medium pihak kawan dan lawan menilai kemampuan pemerintah mengurus ekonomi negara.

 

Banyak persoalan yang berlegar:

  • Bagaimana kemampuan kerajaan merencana strategi negara?

  • Adakah kerajaan prihatin terhadap masalah tempatan dan global? Sehebat mana dasar pembangunan dan kelestarian ekonomi dipilih?

  • Sejauh mana daya saing negara dalam kalangan negara serantau dan pemain global?

  • Ampuhkah dasar dipilih dari segi perindustrian, pertanian, pendidikan dan seumpamanya?

 

Ringkasnya, belanjawan tahunan negara seharusnya memperlihatkan hala tuju dan laluan dipilih serta dinilai pelbagai pihak berkepentingan.

 

Para pemain sektor ekonomi, seperti pelabur akan membuat penilaian kebolehsandaran pengurusan negara untuk membuat keputusan berkaitan pelaburan. Segala dasar dan tata kelola berkaitan kebajikan sosial dan mesra rakyat yang sering diuar-uarkan perlu sepertinya sehaluan dengan dasar ekonomi yang bersifat komersial dan mesra industri.

 

Dengan mengambil kira dasar penambahbaikan peluang pekerjaan  dan percukaian yang boleh mengundang kontroversi seperti mengembalikan GST.

irsyad

Di sinilah dinilai akan kebijaksanaan sebuah kerajaan dalam mengimbangi tuntutan bertentangan, tetapi pada masa sama meneruskan agenda pembangunan negara.

 

Selalunya dasar yang ditambat kepada tuntutan komersial mungkin tidak popular di mata kalangan rakyat kebanyakan. Dasar terlampau bersifat kebajikan sosial pula mengurangkan minat pelabur.

 

Dalam pembinaan belanjawan yang mantap mereka yang berpandangan jauh akan melihat belanjawan dari perspektif lebih menyeluruh. Kelestarian dan kemampanan untuk jangka panjang dalam pembangunan negara bangsa seharusnya menjadi tumpuan dan agenda penting.

 

Soal kemakmuran ekonomi berasaskan perkembangan dan kepesatan pembangunan harus diiringi pembentukan generasi Malaysia yang dinamik, dengan nilai agama dan kepatuhan kepada Rukun Negara.

 

Isu kelestarian alam sekitar, teknologi hijau, keharmonian kaum, kekuatan pemikiran generasi muda, kecemerlangan institusi pendidikan serta ketinggian pemikiran pendidik, penggunaan teknologi dan inovasi, pembangunan harta intelek dan kebijaksanaan pengguna sumber asli negara antara pemboleh ubah yang seharunya diberikan penekanan dalam dokumen belanjawan negara untuk menzahirkan roh masyarakat madani itu.

 

Aspek yang mengutamakan pemberat jangka panjang juga penting untuk menjamin aset dan ekuiti negara. Ini termasuklah perkara asas seperti pengukuhan sistem nilai, pembudayaan dasar positif, transformasi minda dan peningkatan kualiti pendidikan sekolah negara.

 

Dalam konteks cabaran menghadapi suasana pasca perubahan selepas pandemik, belanjawan dilihat strategi penampan, pemulihan dan penyusunan semula kuasa ekonomi Malaysia. Tahun ini menghidangkan cabaran berlanjutan sehingga 2025 dan tahun-tahun mendatang. - DagangNews.com

 
Afizan Amer adalah Pensyarah Kanan Pemasaran Digital, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Kampus Rembau , Universiti Teknologi Mara N.Sembilan.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL INFINITI

 

 

dagangnews
Portfolio Tags