Kemahiran insaniah dan peluang pekerjaan masa hadapan graduan dalam menstruktur semula ekonomi | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Infiniti - 27 October 2023

Kemahiran insaniah dan peluang pekerjaan masa hadapan graduan dalam menstruktur semula ekonomi

 

 

KITA kini banyak diperlihatkan dengan perkembangan usaha agensi-agensi kerajaan giat menjalankan latihan yang berasaskan 'Deeptech and Futureskills'.

 

Ini bertujuan untuk membentuk dan meningkatkan tenaga kerja mahir dalam industri seterusnya mempromosikan peluang yang lebih baik dan mengembangkan kumpulan bakat tempatan untuk mempercepatkan peralihan negara ke arah Revolusi Perindustrian Keempat (4IR).

 

Latihan-latihan seperti 'Deeptech and Futureskills' merupakan salah satu inisiatif strategik oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di bawah program 'Upskilling for Deep Tech and Future Skills' untuk membantu institusi pengajian tinggi di negara ini agar dapat menyesuaikan kemahiran insaniah bakat tempatan agar lebih kompeten.

 

Program yang memberikan pendedahan kepada bakat tempatan terhadap permintaan industri terkini akan menyokong pembangunan modal insan masa hadapan.

 

Di tengah-tengah persaingan pekerjaan yang begitu kompetitif ini, kemahiran teknikal tidak mencukupi untuk menyokong kerjaya impian bakat-bakat baru ini. Usaha agensi-agensi ini memerlukan sokongan pembangunan kemahiran insaniah yang boleh menjadi modal untuk dapat menonjolkan diri dalam persaingan pekerjaan bebas.

 

Kemahiran insaniah ini termasuk daya berfikir, pengurusan diri dan masa, kawalan emosi, cara berkomunikasi, dan kecekapan lain yang boleh menyokong kualiti diri.

 

Terdapat sekurang-kurangnya lima kemahiran insaniah yang paling dibangunkan dalam diri bakat tempatan untuk membolehkan mereka terus bersaing dalam bidang pekerjaan industri baru yang mula memasuki sektor ekonomi Malaysia yang semakin berubah strukturnya.

 

Kemahiran insaniah ini menjadi elemen keterampilan peribadi penting yang mampu menjadikan interaksi sesama rakan sekerja lebih berkesan dan persekitaran kerja lebih positif.

 

Beberapa elemen kemahiran insaniah turut berkembang kepentingannya seiring dengan perubahan peluang pekerjaan yang terhidang yang boleh meningkatkan kecekapan bakat perlu di berikan tumpuan oleh institusi pengajian tinggi.

 

Komunikasi yang berkesan

Dalam berinteraksi sesama ahli pasukan, bakat pekerjaan tidak dapat dipisahkan daripada dapat menyatakan idea, mendengar secara aktif, dan menyampaikan maklumat dengan berkesan. Lebih baik kemahiran komunikasi lembut mereka, maka lebih yakinlah untuk menyatakan pendapat.

 

Untuk meningkatkan kemahiran komunikasi lembut, para graduan boleh menyertai organisasi pembangunan pengucapan awam atau mengikuti kursus pendek.

 

Kerjasama dan kerja berpasukan

Mengekalkan kerjasama dan kerja berpasukan boleh membolehkan sesebuah organisasi mencapai matlamat bersama. Dalam pasukan dengan latar belakang yang berbeza, perspektif yang berbeza pasti akan dipaparkan.

 

Perkara paling penting yang perlu bakat pekerjaan perhatikan ialah cara menangani pelbagai perbezaan dan mengubahnya menjadi kekuatan pasukan. Mereka boleh mengamalkan toleransi, saling mendengar dan kerja berpasukan dengan mengambil bahagian secara aktif dalam pelbagai projek dan inisiatif berasaskan pasukan.

 

Adaptif dan fleksibel

Era VUCA (volatility, uncertainty, complexity, and ambiguity) yang dinamik mesti dihadapi oleh bakat pekerjaan yang tangkas, mudah menyesuaikan diri dan fleksibel. Pelbagai cabaran dan halangan baharu memerlukan daya tahan yang sangat kuat.

 

Mereka dan organisasi perlu bersepadu mempunyai keberanian untuk keluar dari zon selesa bagi mencari peluang baharu dan meningkatkan kapasiti untuk selaras dengan perubahan. Kemahiran insaniah ini adalah antara yang utama dan paling dicari majikan dalam industri hari ini.

 

Penyelesaian masalah dan pemikiran kritis

Dalam dunia pekerjaan sekarang, tidak semua masalah boleh diselesaikan dengan satu kaedah penyelesaian sahaja. Masalah yang timbul kadangkala begitu kompleks dan memerlukan penyelesaian yang berturutan dan terperinci.

 

Keupayaan untuk menganalisis situasi yang kompleks dan berfikir secara kritis adalah penting. Dengan kemahiran analisis yang kuat dan pemikiran kritis, bakat pekerjaan akan dapat mempunyai pelbagai penyelesaian alternatif yang berkesan.

 

Kemahiran insaniah ini boleh dilatih dengan mengkaji pelbagai senario penyelesaian masalah sambil terus belajar menangani masalah di dunia sebenar. Jatuh dan melakukan kesilapan sudah tentu perkara biasa, tetapi terus belajar adalah perkara wajib yang perlu lakukan.

 

Kepimpinan dan mampu mempengaruhi

Organisasi yang berjaya tidak boleh dipisahkan daripada peranan seorang pemimpin yang memberi inspirasi. Mereka adalah pemimpin yang mampu membina pasukan mereka dan mendorong organisasi ke arah pertumbuhan dan penambahbaikan yang berterusan.

 

Jawatan seorang pemimpin bukan mudah, tanggungjawab yang besar terpikul di bahunya. Walau bagaimanapun, mereka sentiasa boleh memberikan motivasi, membimbing ahli mereka, dan dapat mempengaruhi pasukan mereka untuk bergerak ke arah mencapai matlamat bersama.

 

Kemahiran insaniah mempengaruhi orang ramai dan perundingan adalah penting bagi seorang pemimpin. Dia boleh menggerakkan pasukan tanpa bertanya dan berurusan dengan orang lain dengan begitu bijak.  - DagangNews.com

 

Afizan Amer adalah Pensyarah Kanan Pemasaran Digital, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Kampus Rembau , Universiti Teknologi Mara N.Sembilan

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL INFINITI

 

 

 

dagangnews

 

 

Portfolio Tags