Masyarakat Pintar 5.0: Perlu wujudkan Masyarakat Ideal dalam Era Digital
PADA masa kini, perkembangan teknologi dalam masyarakat di Malaysia telah menggalakkan pembentukan era baru iaitu masyarakat 5.0.
Sebagai pencetus konsep masyarakat 5.0, Jepun merupakan negara pertama yang menggunakan konsep 5.0 dalam masyarakatnya, tepatnya pada tahun 2019.
Jepun telah mendefinisikan masyarakat 5.0 sebagai masyarakat yang memberi tumpuan kepada manusia dan dapat mengimbangi pembangunan ekonomi dengan menyelesaikan masalah sosial dengan mengintegrasikan dunia maya dengan dunia nyata.
Maka kerajaan yang terbentuk pasca PRU15 ini seharusnya memberi pertimbangan bersara ke atas asas ini.
Pembentukan masyarakat 5.0 mempunyai matlamat untuk mewujudkan masyarakat yang berteraskan manusia bagi merealisasikan pembangunan ekonomi, menyelesaikan masalah sosial dalam masyarakat, dan menyediakan kualiti hidup yang tinggi kepada masyarakat .
Dalam masyarakat 5.0, industri merupakan sektor yang sangat penting di mana perkembangan teknologi khususnya dalam aspek maklumat dan komunikasi memerlukan masyarakat untuk terus menghasilkan inovasi baharu.
Keadaan ini menuntut agar ekosistem inovasi di negara ini di tambah baik di mana lebih banyak agensi yang bertanggungjawab ke atas inovasi berasaskan pasaran dapat diwujudkan.
Dalam era masyarakat 5.0 yang dibentuk atas dasar revolusi industri 4.0, sistem pendidikan di negara ini juga menghadapi cabaran untuk meningkatkan kualiti pendidikan agar gerakan itu selari dengan apa yang dicita-citakan dan memberi kesan positif kepada masyarakat.
Sistem pendidikan perlu mengutamakan beberapa peningkatan kecekapan iaitu pemikiran kritis, kreativiti dan inovasi, komunikasi, dan kolaborasi.
Dengan kecekapan yang disebut sebagai 4C, ia akan membentuk apa yang dinamakan masyarakat ideal dalam era masyarakat 5.0.
Pemikiran Kritis
Pemikiran kritis ialah kebolehan berfikir secara rasional sesebuah masyarakat tentang sesuatu masalah.
Pemikiran kritis ialah kebolehan berfikir secara berkesan yang mendorong seseorang individu membuat keputusan, menilai dan membuat kesimpulan secara rasional.
Perkara ini amat penting untuk diperkukuhkan kerana keupayaan ini dapat membantu kerajaan mentadbir negara ini apabila rakyatnya mampu menapis segala maklumat yang diterima apabila mereka menerima maklumat terutamanya dalam era digital kini.
Dengan berfikir secara kritis, rakyat akan membangunkan keupayaan untuk menapis maklumat yang diperoleh melalui internet agar mereka sebagai pengguna tidak di hadapkan dengan maklumat tidak berkualiti.
Kreativiti dan Inovasi
Dalam membentuk sebuah masyarakat pintar, kecekapan kreativiti dan inovasi adalah elemen yang sangat penting untuk dibangunkan oleh kerajaan Perdana Menteri ke-10.
Pemikiran yang kreatif ialah merupakan kebolehan masyarakat menjana idea atau menghasilkan sesuatu yang baharu yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat.
Inovatif ialah pelaksanaan sesuatu idea yang dibentuk menjadi alat atau proses baharu yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Pemikiran kreatif di luar kebiasaan boleh membantu ekonomi negara berkembang pesat dengan membantu penciptaan sesuatu yang baharu yang mampu menyokong keluaran dalam negara kasar.
Masyarakat perlu mempunyai kebolehan berfikir secara kreatif untuk menghasilkan inovasi baharu sesuai dengan perkembangan teknologi agar hasil perkembangan teknologi dapat dimanfaatkan dengan baik dan memberi impak positif kepada masyarakat.
Komunikasi
Komunikasi merupakan aspek yang sentiasa perlu diberikan tumpuan khusus oleh kerajaan dalam sesebuah masyarakat.
Komunikasi merangkumi kebolehan mendengar, memahami, dan menyampaikan sesuatu idea.
Kerajaan harus cepat menjawab persoalan yang dilontarkan dengan segera agar ia tidak memburukkan reputasi kerajaan.
Dengan membangunkan kecekapan komunikasi, ia akan membantu orang ramai untuk mengetahui apa yang sebenarnya sedang diusahakan oleh sesebuah kerajaan baru dan mereka juga dapat memberikan panduan apa yang patut dikomunikasikan dan bukan dan membantu orang ramai mengetahui cara menyampaikan mesej dengan berkesan melalui saluran yang betul.
Ini sudah tentu tidak terpakai hanya untuk komunikasi bersemuka tetapi juga untuk komunikasi pengantaraan komputer.
Kerjasama
Kerjasama atau kolaborasi adalah satu bentuk proses interaksi sosial dalam sesebuah masyarakat. Dalam masyarakat 5.0, perkembangan teknologi digital mendorong manusia untuk bekerjasama untuk mencapai kemajuan dan menyelesaikan masalah.
Kerajaan kini seharusnya melihat kerjasama pada peringkat ini sebagai keupayaan masyarakat untuk mengambil bahagian dalam ruang digital dalam memahami dan menjelaskan sesuatu idea kepada orang ramai secara dalam talian.
Salah satu pelaksanaan kecekapan kolaborasi dalam masyarakat 5.0 ialah bekerjasama dengan pihak lain untuk mempelajari teknologi.
Dengan membangunkan kecekapan 4C, celik digital boleh dibina dengan berkesan dalam masyarakat.
Melalui perkembangan ini, masyarakat yang mempunyai kecerdasan tinggi atau dikenali sebagai “Masyarakat Pintar 5.0” akan terbina sebagai masyarakat yang ideal. – DagangNews.com
Afizan Amer adalah Pensyarah Kanan Pemasaran Digital Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Kampus Rembau , Universiti Teknologi Mara N.Sembilan