Patutnya sudah ada akta anti-lompat parti, tiada lagilah katak | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Infiniti - 19 July 2024

 

Patutnya sudah ada akta anti-lompat parti, tiada lagilah katak

 

 

SEJAK dua kali pilihan raya di Malaysia hasrat rakyat ingin melihat wakil rakyat baik di peringkat parlimen mahu pun dewan undangan negeri yang benar-benar bertanggungjawab kepada rakyat, kawasan dan negara semakin tipis.

 

Sudah tiba masanya untuk rakyat melihat semula peranan ahli politik kerajaan mahu pun pembangkang untuk merealisasikan fungsi mereka dilantik rakyat dengan membawa akta ini ke dewan rakyat atau dewan undangan negeri.

 

Perangai atau jati diri ‘katak’ yang ada pada sesetengah ahli politik telah lama menjadi isu utama atau sudah menjadi sebahagian budaya di Malaysia.

 

Ahli politik ini akan melompat dari satu parti ke parti yang lain, kononnya apa yang mereka lakukan itu demi rakyat. Namun rakyat Malaysia bukanlah bodoh, tindakan itu hanyalah sebuah ‘political survivor’ – antara untuk selamatkan periuk nasi sendiri atau mahu selamatkan sendiri.

 

Kerajaan terdahulu mengusahakan undang-undang anti-lompat parti susulan tindakan wakil rakyat melompat parti beramai-ramai dan menumbangkan kerajaan negeri di Sabah satu masa dahulu.

 

 

infiniti

 

 

Artikel tidak berminat untuk membincangkan kronologi lompat parti ini tetapi ingin menyeru kedua-dua pihak, ahli politik dari pihak kerajaan mahu pun pembangkang agar tidak lagi memperolok-olokkan lagi tugasan mereka yang telah diamanahkan rakyat melalui pilihan raya.

 

Tindakan-tindakan mengubah sokongan dan yang berkenaan boleh disifatkan mengelirukan rakyat yang memilih mereka.

 

Maka, langkah mewujudkan akta anti lompat parti diwujudkan bagi mengekalkan integriti dan moral wakil rakyat yang dipilih, seolah-olah masih gagal berfungsi atau tidak berkesan.

 

Jika rakyat benarkan tindakan tindakan mengubah sokongan ini terus berleluasa, kita khuatiri perbuatan lompat parti atau mengubah sokongan ini menjadi trend, seolah-olah mereka yang kalah pada pilihan raya boleh menyertai parti yang menang, seperti mengambil kesempatan dalam kesempitan orang lain, dan akhirnya menghilangkan fokus ahli parlimen dan ahli dewan undangan negeri mentadbir negara mahu pun negeri.

 

Ini telah ditunjukkan oleh ahli ahli parlimen yang asyik fokus untuk menyindir antara satu sama lain di dalam sidang parlimen yang sedang berlansung berbanding membahaskan rang undang-undang yang dibawa ke parlimen.

 

Akhirnya rang undang-undang yang tidak berkualiti akan dilaksana seperti akta anti lompat parti.

 

Antara tiga kriteria yang dianggap sebagai lompat parti adalah apabila ahli parlimen mengumumkan bahawa dia akan meninggalkan parti yang beliau wakili semasa pilihan raya untuk menjadi ahli bebas atau menyertai parti lain.

 

Kedua ialah apabila ahli parlimen dipecat daripada parti politiknya dan menyertai parti lain dan ketiga ialah apabila ahli parlimen bebas menyertai mana-mana parti politik selepas menang dalam pilihan raya.

 

 

upm

 

 

Undang-undang anti lompat parti ini penting dan perlu diperkasa kerana ia akan meningkatkan kepercayaan orang ramai kepada proses demokrasi dan memastikan keputusan yang dibuat pengundi dihormati.

 

Selain itu, ia juga akan meningkatkan kestabilan politik dan menegakkan prinsip penting hak rakyat Malaysia dalam pilihan raya dan hak itu dihormati.

 

Memperkasa undang undang anti lompat parti harus menjadi fokus kerajaan hari ini, dan tidak dipermain mainkan bagi memastikan kehendak pengundi tidak dihalang oleh wakil rakyat yang tidak bertanggungjawab.

 

Jika rang undang-undang itu tidak diperbaiki ia akan sia-sia, dan wakil parti politik yang tidak bermoral boleh terus mengeksploitasi kedudukan mereka untuk kepentingan peribadi, kewangan atau sebaliknya, dengan mengorbankan pengundi mereka. Ia juga membawa kepada ketidakstabilan politik.

 

Wakil rakyat dari kedua-dua pihak, kerajaan dan pembangkang dimohon lebih fokus dalam menjalankan tugasan mereka berbanding mengeksploitasi kelemahan dalam undang-undang anti lompat parti untuk kekal di tempat mereka walaupun tindakan itu melanggar pendirian parti masing-masing dan menyokong pihak yang dilarang atas alasan peruntukan kawasan.

 

Undang-undang yang diluluskan pada Oktober lalu, secara prinsipnya direka untuk mencegah wakil rakyat yang dipilih atas tiket sesebuah parti politik, daripada melompat ke parti politik lain selepas berjaya memperoleh kerusi dipertandingkan itu.

 

Bila undang-undang ini dijalankan barulah dapat dilihat ada kelemahan. Undang-undang itu tidak menghukum wakil rakyat yang hanya menyatakan sokongan tanpa melompat parti.

 

 

infiniti

 

 

Artikel 49A(1)(a) Perlembagaan Persekutuan perlu diperkasakan. Benar undang-undang anti lompat parti menunjukkan undang-undang itu mencegah ahli Parlimen daripada keluar parti yang dinaunginya ketika menang pilihan raya.

 

Bagaimanapun, Artikel 49A(2)(c) menyatakan seseorang wakil rakyat tidak akan berhenti menjadi ahli Parlimen apabila dia dipecat daripada partinya. Ahli Parlimen yang dipecat bebas menyertai parti politik lain. - DagangNews.com

 

Afizan Amer adalah Pensyarah Kanan Pemasaran Digital, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Kampus Rembau , Universiti Teknologi Mara N.Sembilan.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL INFINITI

 

dagangnews

 

Portfolio Tags