Umum dulu, pelaksanaan fikir kemudian: Ciri pentadbiran tidak sihat | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Infiniti - 02 Aug 2024 08:00 AM

Umum Dulu, Pelaksanaan Fikir Kemudian: Ciri Pentadbiran Tidak Sihat

 

 

Malaysia sejak merdeka terkenal sebagai sebuah negara yang hebat dan jitu dari segi perancangannya.

 

Kita tidak dapat menafikan bahawa dasar dasar kerajaaan yang terdahulu, amat hebat sehingga dapat membangun sebuah negara bangsa yang terhormat.

 

Perancangan jangka masa sederhana seperti Rancangan Malaysia dan juga perancangan jangka masa panjang seperti Dasar Ekonomi Baru, Pelan Perindustrian Negara, Dasar Penswastaan dilihat berjaya disepadukan dan digembleng lalu diterjemah dalam bentuk pencapaian.

 

Ini juga dibantu dan disokong oleh perancangan jangka pendek seperti bajet tahunan negara dan kajian separuh penggal rancangan Malaysia.

 

Proses-proses perubahan ini dilihat sebagai satu pendekatan sistematik untuk menguruskan peralihan sumber guna tenaga buruh mengikut perkembangan kerangka ekonomi dan juga perubahan persekitaran daripada keadaan semasa kepada keadaan masa hadapan yang dikehendaki negara.

 

Kita dapat melihat ini diusahakan dengan melibatkan satu proses mapan yang melibatkan proses mengenal pasti, memberi keutamaan dan melaksanakan perubahan untuk meningkatkan prestasi organisasi , meningkatkan kecekapan atau menyesuaikan pentadbiran negara dengan keadaan baharu.

 

Apa yang menyedihkan pencapaian dalam merancana perubahan ini gagal diterjemahkan dalam pentadbiran beberapa siri kepimpinan kerajaan yang silih bertukar ganti kini.Proses perubahan menjadi semakin tidak stabil apabila beberapa perubahan dibuat tanpa perancangan jitu dan nampaknya secara sembrono.

 

Penyakit umum perubahan baru fikirkan proses perlaksanaan semakin menjadi barah dalam pentadbiran kerajaan. Ini telah menyebabkan beberapa agenda penting kerajaan yang diumumkan terpaksa ditarik balik atau ditangguh pelaksanaannya.

 

Keupayaan untuk berubah kini semakin kurang diyakini rakyat kerana usaha perubahan yang membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan teknologi baharu, dinamika pasaran dan jangkaan kerangka ekonomi , memastikan kelangsungan hidup dan pertumbuhan mereka dalam arena perniagaan yang kompetitif seolah-olah dijadikan alasan kenapa perubahan berlaku.

 

Yang paling tekini pengumuman yang akan mempengaruhi perkembangan lanskap alam digital yang dikaitkan dengan ciri positif inovasi dan ciri negatif gangguan yang berterusan.

 

Semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang ketika ini mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini, perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

 

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan memaklumkan langkah itu akan dikuatkuasa bermula 1 Januari 2025, susulan kerangka kawal selia baharu ke atas perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan internet diperkenal bermula 1 Ogos ini.

 

Tanpa proses perubahan yang diurus dengan baik, pengumuman ini boleh mendatangkan implikasi negatif pada dunia perniagaan dan akan berisiko ketinggalan atau gagal memanfaatkan peluang baharu.

 

Mengesan dan melaksanakan perubahan penting seperti pengumuman ini adalah penting untuk suasana persaingan perniagaan dalam pelbagai pasaran. Ini boleh melibatkan penggunaan perisian tercanggih, perlu mengolah semula kaedah operasi yang telah dicuba dan berkesan, atau mengalihkan etos organisasi.

 

Apakah Kepentingan Menentukan  Proses Sebelum Pengumuman Perubahan?

Proses perubahan merujuk kepada urutan tindakan yang dirancang yang diikuti oleh organisasi untuk beralih daripada operasi sedia ada kepada keadaan yang lebih diingini atau optimum.

 

Metodologi ini direka bentuk untuk meningkatkan metrik prestasi, memperkemas kecekapan dan membolehkan penyesuaian kepada keadaan yang berubah.

 

Yang penting kepada proses ini ialah mengenal pasti kawasan yang memerlukan perubahan . Ini boleh termasuk peningkatan teknologi, pengubahsuaian prosedur atau anjakan budaya organisasi. Berikutan pengenalpastian, perubahan ini diberi keutamaan berdasarkan potensi kesan dan kebolehlaksanaannya, memastikan perubahan yang paling bermanfaat dilaksanakan terlebih dahulu.

 

Pelaksanaan perubahan ini dipandu oleh perancangan strategik dan prinsip pengurusan projek. Ia selalunya melibatkan penglibatan pihak berkepentingan, peruntukan sumber, penilaian risiko, dan pemantauan berterusan untuk memastikan objektif perubahan dipenuhi dengan berkesan dan cekap.

 

Proses perubahan juga termasuk mengambil kira mekanisme untuk maklum balas dan pembelajaran khalayak umum. Semakan selepas pelaksanaan perlu dijalankan untuk menilai hasil daripada inisiatif perubahan, belajar daripada pengalaman, dan membuat pelarasan yang diperlukan untuk proses perubahan masa hadapan.

 

Mengapakah Tetapkan Proses Perubahan penting?

Proses perubahan memupuk daya tahan dan kejayaan sesuatu perubahan yang ingin dibawakan pihak kerajaan.

 

Syarikat platform atas talian selalunya telah dilengkapi dengan kaedah atau proses prosedur untuk mengharungi cabaran yang tidak dijangka, dan juga kepada peralihan pasaran yang mendadak.

 

Pendekatan “umum tanpa proses perubahan” akan memerlukan pengstrukturan proses penyampaian yang baru. Ini juga merencatkan pertumbuhan berterusan, yang penting dalam era digital, di mana permintaan pelanggan dan kemajuan teknologi sentiasa berkembang. - DagangNews.com

 

Afizan Amer adalah Pensyarah Kanan Pemasaran Digital, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Kampus Rembau , Universiti Teknologi Mara N.Sembilan.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL INFINITI

 

dagangnews