Inisiatif pendigitalan tunjangi pembangunan Rakan Usahawan PUNB | DagangNews Skip to main content

Inisiatif pendigitalan tunjangi pembangunan Rakan Usahawan PUNB

 

KUALA LUMPUR 15 Dis – Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) menyediakan peruntukan lebih daripada setengah juta ringgit menerusi pelbagai inisiatif pendigitalan pada tahun hadapan dalam usaha melonjakkan perniagaan Rakan Usahawan PUNB.

 

Peruntukan dalam bentuk insentif geran padanan dan subsidi untuk mempercepatkan proses adaptasi digital dalam kalangan Rakan Usahawan PUNB berkenaan bermatlamat memastikan usahawan Bumiputera kekal berdaya tahan dan berdaya saing dalam mendepani landskap ekonomi masa kini.

 

Pengerusi PUNB, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, antara inisiatif berkenaan adalah program Rakan Usahawan PUNB @ 100 Go Digital anjuran bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

 

Menerusi program ini kata beliau, Rakan Usahawan PUNB akan dibimbing oleh jurulatih yang dilantik oleh MDEC untuk memberi pendedahan mengenai kepentingan pendigitalan dalam perniagaan.

 

Menurutnya, ia merangkumi analisis data dan pemasaran secara digital, meneroka dan mengenal pasti penyelesaian digital yang dapat membantu dari segi peningkatan jualan, pengurangan kos serta peningkatan produktiviti perniagaan.

 

“Program pendigitalan lain ialah Rakan Usahawan PUNB @Ecommerce Onboarding yang mana Rakan Usahawan yang sudah bertapak atau ingin melakukan jualan di platform e-dagang diberikan subsidi berbentuk baucar dan pakej promosi.

 

“Ini membolehkan pelanggan menikmati pembelian pada harga lebih murah seterusnya menarik lebih ramai pelanggan.

 

‘’Inisiatif ini terbukti membantu Rakan Usahawan PUNB yang menyertai program ini semasa fasa awal PKP yang mana antara lain, sejumlah 6,800 jualan bernilai RM728,000 dihasilkan melalui baucar manakala purata bakul jualan Rakan Usahawan berkaitan meningkat sebanyak 1.4 kali ganda,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


 

Datuk Ahmad Nazlan Idris
                                 Datuk Ahmad Nazlan Idris

 


Ahmad Nazlan berkata, PUNB juga bakal melaksanakan permohonan pembiayaan secara digital untuk kemudahan pemohon di samping mengkaji semula tempoh proses permohonan pembiayaan.  

 

Buat masa ini ujar beliau, PUNB dalam usaha mengemas kini urusan pembiayaan yang mana tempoh pemprosesan adalah antara 35 hingga 65 hari namun tempoh ini mampu dipercepatkan.

 

‘’Misalnya tempoh pemprosesan bagi pinjaman di bawah RM200,000 diharap dapat disingkatkan dalam tempoh dua minggu berbanding 35 hari bagi membantu usahawan memulihkan perniagaan dengan lebih pantas sekali gus meningkatkan pertumbuhan ekonomi perniagaan mereka,” jelasnya.   

 

Menurutnya, pandemik COVID-19 ternyata mengubah landskap perniagaan secara drastik dan tidak terkecuali ia turut menjejaskan Rakan Usahawan PUNB.

 

“Namun mereka masih mampu bersaing sekiranya bijak melihat perubahan sebagai peluang untuk meningkatkan perniagaan terutama dalam memanfaatkan kecanggihan teknologi masa kini.

 

“Alhamdulillah, saya amat bangga apabila ada Rakan Usahawan yang bijak mengambil peluang dalam keadaan semasa misalnya Airaz Technologies Sdn Bhd, pengusaha pakaian sukan muslimah menerusi rekaan pelitup muka jenama Inner Sejuk yang menjadi keperluan utama ketika pandemik ini,” katanya.

 

Beliau berkata, usahawan juga harus melihat kepentingan perniagaan secara dalam talian yang memberi peluang untuk meluaskan pasaran, promosi produk yang mudah dan pantas serta menjimatkan kos.

 

Justeru, PUNB bekerjasama dengan platform e-dagang seperti Shopee dengan menyediakan Geran Promosi untuk memberi peluang Rakan Usahawan bertapak dalam platform berkenaan,” katanya.


 

punb

 


Inisiatif lain termasuk pemberian moratorium pembiayaan peniagaan mulai 1 April 2020 sehingga 31 Disember 2021 dengan nilai kutipan membabitkan RM265 juta. Di samping itu, pengecualian pembayaran sewaan premis perniagaan PUNB mulai April hingga 30 September tahun lalu disusuli dengan diskaun sewaan premis sebanyak 50 peratus bermula Oktober 2020 hingga akhir Jun 2021.

 

Untuk tahun ini, sasaran kelulusan pembiayaan adalah sebanyak RM189 juta membabitkan sasaran 325 syarikat. Sehingga 31 Oktober lalu, sebanyak RM165.8 juta kelulusan pembiayaan sudah diagihkan kepada 457 usahawan membabitkan 316 syarikat.

 

Sejak penubuhan PUNB sehingga 31 Oktober 2021, sebanyak RM3.5 bilion kelulusan pembiayaan perniagaan sudah disalurkan kepada 11,564 usahawan meliputi 8,086 syarikat.

 

Sempena sambutan ulang tahun PUNB ke-30, kempen Maju Bersama berkonsepkan ‘Hero untuk Hero’ meneruskan komitmen PUNB dalam usaha membantu usahawan Bumiputera melalui sokongan pembiayaan dan khidmat korporat serta perkongsian maklumat mengenai ilmu keusahawanan terutama dalam mendepani cabaran perniagaan di era pandemik ini.

 

“Program kemuncak kempen berkenaan ialah Ikon Inspirasi Impian yang disiarkan secara maya pada Selasa, 30 November lalu menerusi platform Ikon Impirasi Impian.

 

“Ia merupakan sebuah program ceramah yang menampilkan Rakan Usahawan PUNB yang berjaya iaitu Pengasas & Pengarah Urusan Les' Copaque Production Sdn. Bhd., Burhanuddin Md Radzi yang menyampaikan topik Pemasaran; Pengarah Urusan Kacamuda Resources Sdn. Bhd., Dato’ Roslee Muhamad Robat yang menyampaikan topik Pengurusan Kewangan dan Pengarah Urusan Showood Sdn Bhd, Abdullah Marzuki Mohamed Shaarani yang menyampaikan topik Kepimpinan.

 

“Program secara percuma berkenaan berjaya menarik kehadiran kira-kira 450 peserta yang meliputi penyertaan daripada kalangan usahawan Bumiputera dan masyarakat umum,” katanya.

 

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web mikro kempen Maju Bersama PUNB www.majubersamapunb.com.my.DagangNews.com

 

 

  •