Inovasi Hospital KPJ Johor bantu tingkat kualiti kehidupan pelanggan - MPC | DagangNews Skip to main content

Inovasi Hospital KPJ Johor bantu tingkat kualiti kehidupan pelanggan - MPC

 

 


KUALA LUMPUR 7 Sept. - Hospital KPJ Johor Specialist meraih manfaat menerusi program intervensi produktiviti dan inovasi oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

 

Kumpulan Hospital KPJ Johor ini menghasilkan alat sokongan yang dinamakan SHOECOEYE yang dapat mengurangkan risiko pesakit dari terjatuh sebanyak 22%. 

 

Selain itu, mereka berjaya meningkatkan jumlah pesakit dirawat sebanyak 6.78% serta meningkatkan kadar kesediaan bilik untuk menerima pesakit baru kepada 6%. 

 

Hasil jumlah pendapatan dan penjimatan kos projek secara keseluruhannya telah menyumbang sebanyak RM243,128 setahun.

 

MPC menyediakan platform kepada industri seperti program Konvensyen Team Excellence untuk mempamerkan projek inovasi yang telah dijalankan di organisasi masing-masing melalui pendekatan kreativiti, inovasi dan penciptaan nilai bagi meningkatkan kemahiran serta daya saing dalam industri. 

 

Menurut Timbalan Ketua Pengarah MPC, Datin Zainon Bakar berkata, penganjuran konvensyen Team Excellence dapat memperkukuhkan budaya inovasi secara berterusan melalui penambahbaikan inovasi dalam proses kerja, kualiti dan produktiviti. 

 

Tahun lalu, katanya, sebanyak 273 kumpulan telah menyertai konvenyen Team Excellence peringkat wilayah (RISTEX) di seluruh Malaysia dan secara keseluruhannya penciptaan nilai yang dihasilkan menerusi projek mereka adalah berjumlah RM368 juta.

 

“Kebanyakan projek-projek inovasi yang dihasilkan menekankan tentang kecekapan sistem, proses dan cara kerja dalam organisasi yang mengambil kira faktor alam sekitar dan kelestarian. 

 

"Pada tahun ini, MPC mengharapkan lebih banyak inovasi dapat dihasilkan untuk dimanfaatkan dalam kehidupan masyarakat seperti yang dipamerkan oleh Hospital KPJ Johor Specialist," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Program RISTEX ini akan dilaksanakan melalui atas talian pada 8 hingga 9 September ini iaitu secara serentak di ibu pejabat bersama pejabat-pejabat wilayah MPC mulai pukul 9 pagi hingga 4 petang. 

 

Gabungan 6 wilayah ini dijangka dapat memberi penjimatan dalam kos dan masa malah meningkatkan kecekapan pentadbiran RISTEX pada kali ini. 

 

Penganjuran RISTEX 2021 ini juga diperkukuhkan lagi dengan transformasi digital, yang mana pengurusan konvensyen bermula dari proses pendaftaran, sehinggalah penjanaan sijil penyertaan, diurus secara dalam talian melalui Sistem TE Go Digital. - DagangNews.com