INTROP UPM jalinkan kerjasama pelbagai bidang bersama MTIB, Yayasan Rimbun | DagangNews Skip to main content

INTROP UPM jalinkan kerjasama pelbagai bidang bersama MTIB, Yayasan Rimbun

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Nov - Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP), Universiti Putra Malaysia (UPM) menjalinkan kerjasama bersama Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Yayasan Rimbun dalam bidang penyelidikan, pembangunan modal insan, aktiviti akademik, khidmat komuniti dan perkongsian pemindahan ilmu.

 

INTROP UPM dalam satu kenyataan memberitahu, MoU bersama MTIB itu membabitkan penyelidikan dalam bidang perkayuan, perhutanan biokomposit dan lignoselulosa seperti kenaf, biojisim sawit dan gentian nanas.

 

Kerjasama itu juga akan melibatkan pembangunan formulasi produk, teknologi pemprosesan dari gentian asli, biokomposit dan kayu untuk aplikasi dalam bangunan serta komponen pembinaan.

 

"Pembangunan itu juga melibatkan kualiti dan standard penggredan dan pengujian bagi gentian asli dan produk kayu dan biokomposit serta memastikan program baharu berkaitan bidang pembangunan modal insan seperti latihan atau pertukaran kakitangan bagi aktiviti akademik dan penempatan pelajar industri dapat membantu pembangunan industri perkayuan negara serta aktiviti komersial bakal dilaksanakan," katanya.

 

INTROP UPM memberitahu, kerjasama dengan Yayasan Rimbun melibatkan khidmat komuniti dan program pemindahan ilmu bagi kanak-kanak sekolah serta komuniti terutamanya dalam aspek kesedaran dan pemeliharaan hutan dan alam sekitar.

 

INTROP UPM bersama Yayasan Rimbun telah mengadakan aktiviti “Putra Rimba Rimbun” yang juga merupakan program kem eksplorasi hutan bagi kanak-kanak sekolah yang memberi penekanan terhadap kesedaran dan pendidikan pemeliharaan hutan dan alam sekitar. 

 

upm2

 

upm

 

 

Katanya, program itu  bakal diadakan secara tahunan dan turut memperkenalkan adiwira yang dinamakan Putra Rimba sebagai ikon adiwira kanak-kanak bagi program yang memperjuangkan kelestarian hutan dan alam sekitar. 

 

upm3

 

Yayasan Rimbun yang ditubuhkan oleh Rimbun Capital Sdn. Bhd. berfungsi bagi menjalankan kerja CSR serta mempunyai program khusus yang dinamakan Rimbun Education Program (REP) bagi memberi khidmat bantuan kepada beberapa sekolah di sekitar Lembah Klang bagi membantu pelajar untuk mendapat pendidikan tambahan.-Dagangnews.com