IPO bahagian awam Orgabio terlebih langgan sebanyak 50.86 kali | DagangNews Skip to main content

IPO bahagian awam Orgabio terlebih langgan sebanyak 50.86 kali

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Jun - Pengeluar minuman pracampuran segera, Orgabio Holdings Berhad mengumumkan tawaran awam permulaannya (IPO) untuk orang awam terlebih langgan sebanyak 50.86 kali.

 

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, sejumlah 7,562 permohonan mendapatkan 642.7 juta saham baharu diterima daripada orang awam Malaysia untuk 12.39 juta saham baharu yang disediakan untuk langganan awam.

 

Katanya, bahagian saham awam Bumiputera terlebih langgan sebanyak 45.52 kali, selepas sejumlah 4,674 permohonan untuk 288.3 juta saham diterima. 

 

Sementara itu, sejumlah 2,888 permohonan untuk baki bahagian awam merangkumi 354.4 juta saham telah diterima, mewakili kadar lebihan langganan sebanyak 56.19 kali.

 

Kumpulan itu berkata, 6.2 juta saham baharu yang ditawarkan kepada pengarah dan pekerjanya yang layak juga telah dilanggan sepenuhnya.

 

Timbalan Pengerusi Eksekutif Orgabio, Datuk Ean Yong Tin Sin berkata, maklum balas yang diterima untuk IPO syarikat itu menandakan keyakinan orang ramai terhadap prospek pertumbuhannya.

 

"Kami gembira dengan sokongan daripada pelabur runcit terhadap saham kami. 

 

"Sokongan yang diperolehi adalah petanda yang menggalakkan apabila Orgabio memulakan peringkat pertumbuhan seterusnya sebagai syarikat senaraian awam," katanya.

 

Orgabio ialah pengeluar minuman segera pracampuran ketiga terbesar (untuk pemilik jenama pihak ketiga) di Malaysia dengan rekod cemerlang selama 16 tahun dalam industri.

 

Kumpulan itu dijadualkan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Securities pada 5 Julai 2022.

 

M&A Securities Sdn. Bhd. merupakan penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk pelaksanaan IPO. - DagangNews.com