IPO Haily terlebih langganan 38.81 kali | DagangNews Skip to main content

IPO Haily terlebih langganan 38.81 kali

DARI kiri, Pengarah Eksekutif Haily, See Swee Ling, See Tin Hai dan Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif Haily, Yoong Woei Yeh dalam satu majlis bersempena penyenaraian kumpulan di Pasaran ACE.

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 12 Julai - Haily Group Berhad (Haily) yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd pada 21 Julai ini telah menyaksikan tawaran awam awal (IPO) bagi terbitan saham awamnya terlebih dilanggan sebanyak 38.81 kali.

 

Kumpulan menerima sejumlah 13,367 permohonan bagi 355,099,900 terbitan saham awam baharu, bernilai RM241.47 juta, menurut Tricor Investor & Issuing House Services Sdn Bhd (TIIH) yang mewakili Haily, dalam satu kenyataan.

 

Bagi bahagian bumiputera, kumpulan telah menerima sebanyak 6,185 permohonan untuk terbitan 138,110,700 saham baharu, yang mewakili kadar lebihan langganan sebanyak 29.69 kali.

 

“Bagi bahagian awam, sejumlah 7,182 permohonan untuk terbitan 216,989,200 saham baharu telah diterima, di mana mewakili kadar lebihan langganan sebanyak 48.09 kali.

 

“Sementara itu, sejumlah 10 juta saham terbitan awam baharu yang tersedia untuk permohonan para pengarah dan pekerja kumpulan yang layak dan mereka yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan juga telah dilanggan sepenuhnya,” jelas kenyataan itu.

 

Dalam pada itu, ejen penempatan yang dilantik telah mengesahkan bahawa sebanyak 5,980,000 saham terbitan awam dan 5,300,000 tawaran saham untuk permohonan menerusi kaedah tawaran persendirian buat pelabur terpilih, juga telah ditempatkan sepenuhnya.

 

Berhubung terbitan saham awam dan tawaran saham, masing-masing berjumlah 5.1 juta dan 12.7 juta untuk permohonan pelabur bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), sebanyak 2,159,300 saham daripadanya tidak diambil.

 

Mengikut syarat-syarat yang dinyatakan dalam prospektus IPO kumpulan, saham yang pada awalnya dikhaskan untuk pelabur bumiputera, tetapi tidak dilanggan akan disalurkan semula kepada masyarakat bumiputera melalui proses pengundian.

 

Pengarah Eksekutif Haily, See Tin Hai menyifatkan kesemua langganan saham itu amat menggalakkan seiring langkah kumpulan untuk bergerak ke peringkat pertumbuhan seterusnya sebagai syarikat tersenarai awam.

 

“Kami percaya industri pembinaan akan menunjukkan tanda pemulihan positif memasuki separuh kedua 2021, dipacu oleh program vaksinasi nasional yang sedang berlangsung di dalam negara.

 

“Oleh itu, kami menantikan lebih banyak pembangunan yang akan dihidupkan semula oleh syarikat hartanah di mana menyediakan sektor pembinaan dengan lebih banyak peluang pembidaan projek terutamanya di Johor, di mana Haily sedang beroperasi,” katanya. - DagangNews.com