IRIS Corporation raih kontrak Sistem Imigresen Bersepadu Nasional bernilai RM1.12 bilion | DagangNews Skip to main content

IRIS Corporation raih kontrak Sistem Imigresen Bersepadu Nasional bernilai RM1.12 bilion

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Mei - IRIS Corporation Berhad menerusi anak syarikatnya, IRIS Information Technology Systems Sdn. Bhd. (IITS) dianugerahkan kontrak Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) bermula 25 Mei 2022 daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan nilai kontrak RM1.12 bilion.

 

Dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, IITS berkata, pihaknya menerima surat lantikan (LOA) kali pertama untuk projek NIISe daripada KDN pada 29 Januari 2021 bagi kontrak selama 54 bulan bermula 1 Mac 2021 hingga 31 Ogos 2025.

 

"Projek itu melibatkan pembangunan, penyampaian dan integrasi keseluruhan NIISe untuk Jabatan Imigresen Malaysia.

 

"IITS berbangga kerana dinugerahkan projek itu kerana ia mencerminkan keupayaan syarikat dan kepakaran kami," katanya.

 

NIISe akan memodenkan Jabatan Imigresen Malaysia melalui pelaksanaan aplikasi digital terkini dan termaju. 

 

IITS kini bekerjasama rapat dengan KDN untuk membangunkan dan menyampaikan projek NIISe dengan berkesan.

 

Selepas menjadi syarikat pertama membangunkan e-Pasport pada 1998, IRIS meneruskan perkembangannya ke 34 negara di seluruh dunia dan dengan kemahiran yang dimiliki kumpulan mereka yakin mampu melaksanakan projek itu dengan cemerlang. - DagangNews.com