Kelebihan beramal di bulan Rejab | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 02 Feb 2024 07:00 AM

 

Kelebihan beramal di bulan Rejab

 

 

LAZIMNYA, ketibaan bulan Rejab disambut dan dianjurkan dengan perbanyakkan berdoa antaranya ialah “Ya Allah, berkatilah kepada kami pada bulan Rejab dan Sya’ban dan berkatilah (pertemukan kami dengan bulan Ramadhan) kepada kami pada bulan Ramadhan” (Musnad Imam Ahmad).

 

Kesahihan hadis doa ini adalah sanad berstatus lemah kerana terdapat dua orang perawi yang bermasalah serta dalam masa yang sama tidak boleh disandarkan kepada Nabi SAW.

 

Namun, tiada masalah sekiranya ingin berdoa dengan matan atau teks hadis tersebut kerana dalam berdoa, masyarakat Islam dituntut untuk berdoa dan meminta apa sahaja kepada Allah SWT selagimana perkara yang diminta itu tidak bertentangan dengan syariat Islam.

 

Bulan Rejab adalah satu daripada bulan-bulan Haram (al-Asyhur al-Hurum) dalam Islam yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Turutan susunan bulan Rejab dalam takwim Hijrah adalah bulan yang ketujuh.

 

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa  menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa” (Surah al-Taubah: 36).

 

Seterusnya empat bulan Haram tersebut diperincikan dalam hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram) dan yang keempat adalah Rejab terletak antara Jamadilakhir dan Sya’ban” (Riwayat al-Bukhari: no.4054).

 

Masyarakat Islam perlu jelas dan faham bahawa dalam bulan Rejab tidak terdapat kelebihan yang khusus berkaitan amalan ibadat tertentu seperti yang telah ditegaskan oleh para ulama.


 

irsyad

 


Al-Hafiz Ibn Hajar dalam kitab ‘Tabyin al-‘Ajab’ telah menjelaskan bahawa: “Tidak ada disebut di dalam hadis yang sahih tentang kelebihan bulan Rejab seperti berpuasa iaitu berpuasa disebabkan sesuatu perkara yang tertentu dan solat yang khusus”.

 

Seterusnya Imam al-Syaukani dalam kitab ‘al-Sail al-Jarrar‘ pula menjelaskan: “Tidak ada disebut berkaitan amalan pada bulan Rejab secara khusus di dalam sunnah yang sahih atau hasan atau dhaif (dhaif ringan). Bahkan, kesemua yang diriwayatkan berkaitannya secara khusus adalah palsu, dusta dan sangat dhaif”.

 

Namun, tidak bermakna seseorang dihalang untuk melaksanakan amalan ibadah seperti berpuasa sunat, solat sunat, bersedeqah dan sebagainya dengan syarat tidak beri’tiqad (mempercayai) bahawa amalan tersebut mempunyai kelebihan-kelebihan yang khusus atau tertentu.

 

Secara umum, bulan Rejab termasuk di dalam bulan-bulan Haram yang diketahui kelebihan bulan-bulan haram berbanding bulan-bulan yang lain.

 

Menurut Ibn Kathir, bulan Rejab merupakan bulan yang Haram kerana pada bulan ini diharamkan berperang dan juga disebut bulan yang suci kerana Allah SWT mengharamkan melakukan kezaliman.

 

Setiap kezaliman yang dilakukan dalam bulan ini dosanya adalah lebih besar berbanding di bulan-bulan yang lain. Begitu juga sebaliknya, amal soleh yang dilakukan adalah lebih besar pahalanya berbanding bulan-bulan yang lain.


 

irsyad

 


Antara amalan-amalan soleh yang boleh dibiasakan dan diperbanyakkan di bulan ini ialah berpuasa sunat, melaksanakan solat-solat sunat, bersedekah, membaca al-quran, berzikir dan pelbagai lagi amalan yang baik.  

 

Misalnya, dalam kitab ‘al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah’ menukilkan bahawa jumhur ulama dalam kalangan mazhab Hanafi, Maliki dan Syafie menjelaskan sunat berpuasa pada bulan-bulan Haram berdalilkan dengan hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Sebaik-baik solat selepas daripada solat fardhu adalah solat malam dan sebaik-baik puasa selepas daripada Ramadhan adalah puasa pada bulan Allah al-Muharram” (Riwayat Muslim: no.1163).

 

Amalan yang dilakukan dalam bulan Rejab adalah sebagai persiapan, persediaan dan latihan terbaik untuk membiasakan diri dengan amalan soleh sebelum memasuki bulan Ramadan nanti.

 

Sempena bulan Rejab ini, marilah bersama melazimkan diri memperbaiki mutu amalan ibadah. Semoga Allah SWT sentiasa menerima amalan soleh yang telah dilakukan buat bekalan di hari kemudian. - DagangNews.com

 

PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD
 

 

dagangnews