Khurafat berakar umbi sekian lama rosakkan akidah umat Islam | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 14 Jan 2022 08:00 AM

Khurafat berakar umbi sekian lama rosakkan akidah umat Islam

 

 

KEJAHILAN dan kedangkalan segelintir masyarakat Islam terhadap ilmu akidah yang sahih menyebabkan mudah terpengaruh terhadap amalan khurafat yang telah berakar umbi sejak sekian lama.

 

Perkataan khurafat dalam ‘al-Mu‘jam al-Wasit’ telah didefinisikan sebagai cerita-cerita yang mempersonakan serta dicampuradukkan dengan perkara dusta.

 

Kamus Dewan Edisi Keempat (2007) pula telah mendefinisikan khurafat sebagai kepercayaan yang karut, dongeng dan tahyul.

 

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada tanggal 9 Ogos 1996 telah mengeluarkan Garis Panduan Khurafat dan Azimat Menurut Perspektif Islam untuk diterima pakai di peringkat negeri-negeri di Malaysia dan dijadikan rujukan dalam mengeluarkan fatwa berkaitan pengharaman sesuatu ajaran yang terdapat unsur khurafat.

 

Jabatan Mufti Negeri Melaka pada tahun 2011 telah mewartakan fatwa bahawa khurafat ialah semua cerita sama ada rekaan atau khayalan, ajaran-ajaran, pantang larang, adat istiadat, ramalan-ramalan, pemujaan atau kepercayaan yang menyimpang dari ajaran Islam. Khurafat juga merangkumi cerita dan perbuatan yang direka dan bersifat karut atau dusta.

 

Larangan amalan khurafat boleh dilihat dalam firman Allah SWT yang bermaksud “Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyembah atau memuja yang lain dari Allah, yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudharat kepadamu. Oleh itu, sekiranya engkau mengerjakan yang demikian, maka pada saat itu menjadilah engkau dari orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu)” (Surah Yunus: 106).

 

Selanjutnya Nabi SAW telah memberi amaran dalam hadis yang bermaksud: “Sesiapa yang mengada-adakan dalam agama kami sesuatu yang tidak ada di dalamnya, maka yang dikerjakannya itu adalah tertolak” (Riwayat Muslim).

 

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa mengerjakan sesuatu pekerjaan yang tiada dalam agama kami, maka yang dikerjakannya itu tertolak” (Riwayat Muslim).

 


 

irsyad

 

 

Terdapat pelbagai ciri dan kriteria khurafat, antaranya ialah:

a)    Tidak didasarkan pada nas-nas syarak sama ada al-Quran atau Hadis

 

b)    Cerita-cerita rekaan, dongeng, khayalan atau kepercayaan karut

 

c)    Bersumberkan kepada kepercayaan-kepercayaan lama dan adat yang bercanggah dengan Islam

 

d)    Berbentuk pemujaan dan permohonan kepada mahkluk halus untuk tujuan yang memudharatkan dan menyeleweng dari akidah Islam

 

e)    Menggunakan objek-objek tertentu seperti kubur, pokok dan sebagainya untuk tujuan yang tertentu

 

f)      Mempunyai unsur-unsur negatif pada akidah dan syariat Islam

 

 

irsyad

 

 

Seterusnya, bentuk-bentuk khurafat yang berlaku dalam masyarakat ialah:

a)    Kepercayaan kepada keramat seperti kubur, pokok kayu, telaga keramat, batu, bukit, tongkat dan sebagainya

 

b)    Kepercayaan kepada sial majal seperti adat mandi safar, adat mandi membuang sial dan sebagainya

 

c)    Kepercayaan kepada jin dan memohon pertolongan darinya seperti adat memuja kampung, adat merenjis tepung tawar, adat memuja pantai dan sebagainya

 

d)    Kepercayaan kepada bertambah dan berkurangnya rezeki seperti adat memuja semangat padi yang dilakukan oleh petani-petani seperti bersemah (memuja semangat padi) dan membuang ancak di sungai dan laut serta bermain pantai

 

e)    Kepercayaan kepada petanda-petanda dan pantang larang seperti tidak boleh melihatkan bayi di muka cermin kerana kelak ia akan mati di dalam air, tidak boleh keluar rumah ketika gagak berbunyi takut mendapat sial atau bala dan sebagainya

 

f)      Percaya kepada ramalan-ramalan bintang, angka-angka atau rajah-rajah tertentu

 

g)    Memuja objek-objek tertentu, roh nenek moyang, kubur-kubur yang dianggap wali dan sebagainya.

 

 

irsyad

 

 

Demikianlah, Islam adalah agama yang sangat mementingkan kesejahteraan akidah yang benar dan tegas terhadap perkara yang boleh merosakkan dan membatalkan akidah.

 

Oleh itu, pengiktirafan sesuatu amalan yang benar adalah bergantung kepada cara atau kaedah pelaksanaan yang selari dengan kehendak syarak dan tidak bertentangan dengan prinsip akidah Islam.

 

Perlu ditegaskan bahawa segala bentuk khurafat samada amalan atau kepercayaan yang boleh membawa kepada syirik adalah ditolak dan dianggap bercanggah dengan ajaran Islam. - DagangNews.com

 

 

DR. AZRI BHARI adalah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD