Muhasabah Amalan Soleh di bulan Syawal | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 12 May 2023

Muhasabah Amalan Soleh di bulan Syawal

 

 

BULAN Ramadan boleh diibaratkan sebagai sebuah pusat latihan yang berfungsi untuk mentarbiah dan mendidik jiwa masyarakat Islam sepanjang tempoh sebulan.

 

Justeru itu, Hari Raya Aidilfitri menjadi simbolik hari graduasi atau kemenangan setelah berjaya mengharungi pelbagai ujian dan cabaran keimanan bagi mencapai darjat ketaqwaan di sisi Allah SWT.

 

Dr Yusuf al-Qaradawi dalam karyanya yang berjudul ‘Rabbaniyyin Laisa Ramadhaniyyin’ berpesan bahawa jadilah hamba yang taat sepanjang masa kerana Allah SWT dan janganlah hanya menjadi ahli ibadah selama sebulan Ramadan sahaja.

 

Ramadan akan berlalu apabila sudah sampai tempohnya, sedangkan Allah SWT tetap kekal dan tidak sekali-kali akan lenyap.

 

Selain itu, terdapat ungkapan hikmah menyatakan bahawa sesiapa yang menyembah Ramadan, maka sesungguhnya Ramadan telah berlalu dan sesiapa yang menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah itu Maha Hidup dan tidak akan mati.

 

Seterusnya, pepatah Arab juga ada menyatakan bahawa bukanlah berhari raya dengan berpakaian serba baru, akan tetapi dengan ketaatan yang bertambah.

 

Fasa selepas Ramadan adalah fasa pembuktian sama ada matlamat latihan atau tarbiah sepanjang bulan telah tercapai sebaiknya atau sebaliknya masih lagi gagal dan bermasalah.

 

Sekiranya, amalan dan tingkah laku yang dizahirkan dalam kehidupan seharian sebagaimana berlaku dalam Ramadan bermakna telah berjaya mencapai matlamat. Jika sebaliknya, maka bermakna termasuk dalam golongan yang rugi.

 

Momentum kebaikan yang dilatih selama sebulan perlu diteruskan dan dikekalkan melalui usaha dengan meminta pertolongan dari Allah SWT seperti di dalam ungkapan doa Nabi SAW. Hanya dengan bantuan serta taufik daripada Allah SWT, seseorang hamba dapat melakukan setiap amalan dengan baik.

 

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir, bersyukur dan beribadah kepadaMu dengan baik.” (Riwayat Abu Daud)

 

Selari dengan makna Aidilfitri iaitu kembali kepada fitrah natijah kehadiran Ramadan, masyarakat Islam perlu konsisten untuk bebas daripada pengaruh syaitan dan hawa nafsu agar terus hidup dalam suci fitrah manusia.

 

Setiap muslim perlu beriltizam dan berazam untuk hidup mengabdikan diri kepada Allah SWT dan mengakhiri kehidupan dengan husnul khatimah (pengakhiran yang baik).

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang menyucikan jiwanya (dari belenggu nafsu).” (Surah as-Syams: 9)

 

Terdapat beberapa pengajaran yang perlu diambil natijah dari muhasabah Ramadan yang dilakukan supaya terus beramal dan meningkatkan ketaqwaan di sisi Allah SWT di bulan Syawal dan seterusnya:

 

Pertama, kemampuan untuk mengawal dan mengemudi nafsu dalam perkara baik serta buruk mengikut neraca Islam. Nafsu bersifat liar yang perlu dikawal dan dididik dengan bijaksana.

 

Masyarakat Islam perlu melakukan muhasabah di bulan Syawal sama ada meletakkan diri terus istiqamah dalam ketaatan atau tersungkur dalam perjuangan melawan hawa nafsu dan godaan syaitan.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan), dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah bersama orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” (Surah al-‘Ankabut: 69)

 

Allah datangkan Ramadan untuk mendidik nafsu makan manusia, walaupun mempunyai banyak juadah makanan dan minuman, namun masih memilih untuk berpuasa sehingga terbenam matahari.

 

Puasa turut melatih manusia untuk mengawal diri dan mengatakan ‘tidak’ kepada sebahagian kehendak nafsu yang berlawanan dengan syariat Islam. Larangan Allah SWT supaya tidak berkata keji dan menahan amarah perlu akur walaupun selepas Ramadan berlalu.

 

Justeru, adakah Ramadan benar-benar mengajar diri mempunyai daya kawalan yang baik untuk terus tidak melakukan perkara-perkara terlarang biarpun selepas bulan Ramadan.

 

Kedua, berusaha menjaga pahala agar tidak berkurangan. Begitu juga selepas Ramadan, masyarakat Islam patut berusaha untuk mengelakkan diri daripada segala bentuk kehilangan pahala sekaligus menyumbang kepada dosa.

 

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Berapa banyak orang berpuasa tetapi tidak mendapat apa-apa manfaat daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga.” (Riwaya Ahmad: no.9685; Ibn Majah: no.1690; al-Nasai: 3249)

 

Bulan Syawal menjadi asas atau titik tolak supaya dosa-dosa dihindari melalui amalan saling berkunjungan sesama masyarakat Islam untuk mengeratkan tali persaudaraan dan menyuburkan kasih sayang. Tidak wajar pertemuan tersebut menjadi medan untuk menghilangkan pahala dengan menjadikan lidah sebagai puncanya.

 

Suatu tanda kejayaan yang besar sekiranya puasa dapat mendidik lidah daripada mengumpat, mengeji, berdusta dan menuduh orang lain. Seterusnya, beristiqamah dalam bulan Syawal dan sepanjang hayat.

 

Nabi SAW pernah memberikan peringatan melalui hadis yang bermaksud: “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis? Jawab mereka: Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta. Sabda baginda SAW: Orang yang muflis dalam kalangan umatku ialah sesiapa yang datang pada hari Kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat, juga dia pernah memaki, menuduh memakan harta, menumpah darah dan memukul seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa-dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke dalam neraka.” (Riwayat Muslim: no.2581)

 

Ketiga, berterusan merintih, mengadu dan bergantung harap pada Allah SWT. Inilah fitrah manusia yang memerlukan Allah SWT sebagai tempat pergantungan dan pengharapan.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Surah al-Baqarah: 186)

 

Munajat dan qiyamullail pada setiap malam Ramadan adalah latihan untuk manusia hanya bergantung kepada Allah SWT apabila berlaku pelbagai ujian dan mehnah dalam hidup.

 

Kelemahan dan kekurangan manusia adalah tidak mampu menjangkakan perkara yang akan berlaku pada keesokan hari walaupun perancangan telah disusun begitu rapi dan teliti.

 

Demikianlah, pengajaran yang boleh diambil hasil muhasabah Ramadan yang telah dilakukan bagi meningkatkan ketaqwaan di sisi Allah SWT. Ramadan yang telah dilalui wajar dijadikan pengajaran dan Syawal yang sedang dirai dilihat sebagai permulaan untuk mengekalkan momentum pelaksanaan amalan soleh. - DagangNews.com

 

 
PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD

Portfolio Tags