Isa Ishak teroka emosi, kemahiran individu bagi membentuk identiti dalam Pameran Solo pertama di ZHAN Art | Space | DagangNews Skip to main content

Isa Ishak teroka emosi, kemahiran individu bagi membentuk identiti dalam Pameran Solo pertama di ZHAN Art | Space

 

PETALING JAYA 11 Okt – Seniman kontemporari Malaysia, Isa Ishak telah bertahun-tahun bekerja sebagai pekerja buruh sehingga beliau berjaya melakukan perubahan untuk menjadi seorang seniman.

 

Dalam pameran solo pertamanya bertajuk Kisah Isa Ishak di ZHAN Art | Space, beliau mengetengahkan perjalanannya sebagai seorang seniman baharu, ayah muda, anak dan suami penyayang.

 

Sejumlah 26 karya seni dihasilkan oleh Isa Ishak dan dibahagikan kepada dua bahagian iaitu ‘diri’ dan ‘disiplin diri’. Pameran diri” yang terdiri daripada 16 karya seni figuratif abstrak menunjukkan pencariannya untuk perhubungan, penerokaan, pertanyaan dan dokumentasi pencapaian penting dalam kehidupan peribadi Isa.

 

isa ishak

 

 

Sebanyak 10 karya seni yang lain dipamerkan sebagai “disiplin diri”, diilhamkan dari alam semula jadi dan keindahan struktur pokok bonsai. Potret pokok bonsai membayang dan mencerminkan hubungan manusia dengan proses dan pertumbuhan pokok bonsai.

 

Isa Ishak menerokai idea penerimaan dan perjuangan sendiri untuk menyesuaikan diri dalam sebuah masyarakat yang berasa terpolarisasi dan terasing. Pameran ini juga menjemput penonton untuk merenung pandangan dan emosi sendiri bersama.

 

Karya seni ini adalah dialog visual detik-detik yang diambil ketika perjalanan saya  bermula sebagai pekerja buruh di mana saya membina rumah kampung suatu masa dahulu sehingga sebagai seorang seniman. Kisah Isa Ishak ialah kisah peribadi yang amat bermakna dan mencerminkan beberapa peranan saya,” kata Isa Ishak.

 

 

isa ishak

 

 

Desmond Tong, pengasas ZHAN Art | Space berkata, dalam Kisah Isa Ishak, pihaknya ingin menerangkan detik-detik tertentu yang mungkin tidak pernah difahami disebabkan oleh perintah kawalan pergerakan yang agak lama di Malaysia untuk menewaskan pandemik COVID-19.

 

''Pameran ini berharap emosi dan kemahiran Isa ditangkap dalam lukisan dan dapat mendokumentasikan perbezaan dan persamaan perasaan untuk menyatukan semua penonton,” kata beliau.

 

Pameran ini memaparkan 26 karya seni dan harga bermula dari RM570. Pameran Kisah Isa Ishak sedang berlangsung di ZHAN Art | Space, Petaling Jaya bermula dari Oktober 2021. Untuk menempah tempat, hantarkan mesej terus ke  @zhanartspace di Instagram. – DagangNews.com