Iskandar Mizal dilantik sebagai Lembaga Pengarah Serantau ACI | DagangNews Skip to main content

Iskandar Mizal dilantik sebagai Lembaga Pengarah Serantau ACI

Datuk Iskandar Mizal Mahmood
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

SINGAPURA 19 Mei - Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI) Asia Pasifik telah melantik Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB), Datuk Iskandar Mizal Mahmood sebagai Lembaga Pengarah Serantau pada Mesyuarat Lembaga Pengarah Serantau ACI ke-17. 

 

Iskandar menyertai tiga lagi Lembaga Pengarah Serantau yang baharu dilantik untuk tempoh tiga tahun bermula Jun 2022. 

 

Lembaga Serantau ACI Asia Pasifik ialah badan pentadbir yang menentukan keseluruhan strategi pembangunan ACI rantau Asia-Pasifik dalam mempromosikan kecemerlangan dalam pengurusan lapangan terbang dan operasi. 

 

Komposisi lembaga pengarah terdiri daripada 27 pemimpin perniagaan penerbangan di seluruh rantau Asia-Pasifik dan Timur Tengah. 

 

Sementara itu, ACI ialah satu-satunya organisasi lapangan terbang global yang menyediakan platform untuk organisasi ahli menangani serta memajukan kepentingan kolektif kira-kira 2,000 lapangan terbang di seluruh dunia.

 

Iskandar berkata, beliau berbesar hati untuk mewakili Malaysia dalam organisasi global itu dan perjalanan udara kembali meningkat kerana banyak negara telah mula membuka sempadan mereka. 

 

"Pengendali lapangan terbang di seluruh dunia, termasuk MAHB sedang bersiap sedia untuk memastikan kami bersedia untuk menyediakan penumpang dengan pengalaman lapangan terbang yang terbaik. 

 

"Saya tidak sabar-sabar untuk menyumbang, bersama-sama rakan pengarah saya, dalam menyokong dasar yang akan mengukuhkan keupayaan kami untuk berkhidmat kepada semua pemegang kepentingan kami dengan lebih baik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Lebih 100 wakil lapangan terbang, rakan perniagaan dunia dan ahli lembaga dari Asia Pasifik dan Timur Tengah telah mengadakan perjumpaan di Singapura untuk membincangkan keputusan penting dan membincangkan arah aliran perniagaan terkini. Ia juga merupakan pertemuan pertama secara peribadi sejak bermulanya wabak itu.

 

Perjumpaan itu juga telah sebulat suara meluluskan resolusi menggesa semua ahli secara sukarela komited untuk membersihkan pelepasan karbon sifar. 

 

MAHB menyokong penuh resolusi itu kerana ia sejajar dengan usaha mereka dalam Pelan Hala Tuju Strategi Alam Sekitar untuk lima tahun. 

 

Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) baru-baru ini dianugerahkan emas untuk kategori lapangan terbang dengan lebih 50 juta penumpang setahun dalam Pengiktirafan Lapangan Terbang Hijau Asia Pasifik ACI 2022. 

 

KLIA juga telah ditauliahkan dengan 'Tahap 3 – Pensijilan' dalam 4- Akreditasi Karbon Lapangan Terbang (ACA) untuk pelan pengurusan karbonnya ke arah pelepasan karbon sifar, sejak 2015. - DagangNews.com