Istimewanya Dunia Melayu mesti dilawati | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 1 January 2022

ISTIMEWANYA DUNIA MELAYU MESTI DILAWATI

 

 

Disambut tanjak kuning merah
Tapai disaji, air dihidang
Tiang 16 mesra dan ramah
Ke Lenggong kami datang

 

Bersempena tahun baru ini, saya mengimbas sekali lagi impian yang tidak pernah lekang dari hati dan seluruh jiwa raga. Saya impikan kita semua begitu cintakan dan kasih pada budaya Melayu yang melambangkan identiti negara sejak berzaman. Saya impikan di setiap negeri ada pusat budaya Melayu tersohor serata dunia menjadi lambang pelancongan Malaysia. 

 

Di Langkawi, Pangkor, Perak, Terengganu, Pahang dan Sarawak, pusat pelancongan yang meraikan gaya hidup ala kampung menjadi tarikan utama menjanjikan kenangan yang mengasyikkan. Kini, pusat percutian atau ‘resort’ yang bertemakan Kampung Melayu mampu memberikan pengalaman penuh kelainan serta meraih pulangan yang lumayan untuk pengusaha.

 

Keterampilan dan keindahan kampung Melayu ditegakkan kekayaan budaya, adat dan adab, serta keseimbangan duniawi  dan rohani. Ditambah pula persekitaran kampung selalunya berlatarbelakangkan pemandangan begitu indah seperti tepian pantai, gunung ganang dan sungai yang menenangkan fikiran dan jiwa serta sejarah yang begitu mengkagumkan. 

 

Di sinilah sebenarnya tersemat kekuatan tarikan pelancongan Malaysia. Kombinasi cara hidup kampung yang santai, budaya yang tinggi dan pemandangan semulajadi yang begitu anggun memberikan pengalaman unik Malaysia. Seluruh dunia tidak boleh mengatakan budaya Kampung Melayu itu kepunyaan mereka melainkan Nusantara Melayu. 

 

 

Nyiur melambai
Wau dan gasing uri
Santai semulajadi

Angin menderu
Gunung nan merisik
Lautan berbisik

Kayangan bukan impian

 

 

Namun, kekuatan budaya Dunia Alam Melayu semakin merudum jika tidak dipertahankan. Amat diharapkan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian mengenali kekayaan tradisi dalam membentuk pengalaman manis pelancung serta pakej percutian teristimewa untuk memperkenalkan Malaysia sebagai pusat Dunia Alam Melayu tersohor di dunia terutamanya yang dinobatkan tapak warisan UNESCO dunia seperti Gua Mulu, Bandar Bersejarah Melaka dan Pulau Pinang serta Tapak Warisan Lenggong GeoPark.  

 

Di Tapak Warisan Lenggong kami kenali Batu Suevite yang tercipta apabila meteorite jatuh di Lenggong 1.83juta tahun dahulu. Lenggong merupakan satu-satunya tapak di mana Suevite ditemui di Asia, dan antara 27 tempat di dunia. 

 


 

ninot
Meteorite yang jatuh 1.83 juta tahun dulu menyebabkan  Batu Suevite terjadi yang merangkap perubahan zaman di Lenggong, Perak.

 


Pengalaman asli

Penginapan Rumah Kampung

Untuk memberikan satu pengalaman menyeluruh, pengisian yang penuh keaslian amat penting. Dan ini bermula dari tempat penginapan. Ada beberapa rumah persinggahan yang dibina dengan rumah kampung yang diubah suai dari rumah kampung lama.


 

ninot
Rumah Tiang 16, Lenggong, Perak

 


Ada beberapa yang terbaik di sekitar negara buat masa ini, contohnya:

 

- Rumah Tiang 16, Lenggong, Perak
- Kunang-Kunang, Langkawi
- Rumah Penghulu, S’ekar Pinang, Langkawi
- Bon Ton, Langkawi
- Terrapuri, Terengganu
- Kampung Budaya Sarawak


 

ninot
Para penari Kampung Budaya Sarawak.

 

 

ninot
Kunang-Kunang, Langkawi

 


Pengisian pakej perlancongan patut melibatkan aktiviti tradisi seperti persembahan budaya, seni kraf dan aktiviti santai seperti permainan warisan serta spa dan mengenali herba Melayu - kepentingan dari segi kesihatan dan ramuan kecantikan. 

 

Persembahan Tradisi

Teater Melayu seperti Makyung, Mek Mulung dan persembahan bangsawan serta wayang kulit mencerminkan budaya Melayu bertaraf dunia. Persembahan ratusan tahun masih jadi kebanggaan kita dan semakin terserlah juga di persada antarabangsa. 

 

Terdapat juga jenis tarian tempatan lemah gemalai seperti Asyik, Kuda Kepang dan Zapin. Tarian silat contohnya disajikan secara tarian kontemporari yang berasaskan klasik - tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas. 

 

Permainan Tradisi dan Warisan Seni Kraf 

Keunikan permainan Warisan tiada tolok bandingan seperti wau, antara layang layang tercantik di dunia mempunyai ciri ukiran kertas pelbagai bentuk contohnya wau bulan, wau kucing dan wau lang. 

 

Gasing uri pula antara gasing terhebat dunia yang boleh berputar paling lama sehingga 2 jam. Untuk berputar begitu lama, pembuatannya begitu terperinci menggunakan kayu, timah dan tali. 


 

ninot

 


Hasil kraf tradisi amat tinggi keseniannya. Ia bukan saja kraftangan seperti lukisan batik, songket dan bakul rotan. Hasil kraf yang memerlukan kepakaran tinggi seperti tembaga, keris dan ukiran kayu semakin hanyut ditelan zaman. Bayangkan kemahiran membuat keris yang boleh berdiri di hulu atau pada mata keris. Hebat keilmuan besi Dunia Melayu. 

 

Gaya Hidup Santai

Urut Tradisional

Salah satu nikmat gaya hidup Melayu ialah berurut dan bertunku untuk menyihatkan tubuh badan. Biasa diamalkan semasa berpantang (penjagaan selepas bersalin) berurut dan bertunku boleh diamalkan sehingga di hari tua. 

 

Apabila  menikmati spa tradisi Melayu, dendangkanlah lagu gamelan atau lain lain alunan tradisi. Saya pernah didendangkan lagu Jackie Chan OST The Myth. Walaupun ini antara lagu kegemaran saya, ini kurang bersesuaian. Kita patut pastikan spa urut tradisi mendendangkan musik tradisional untuk pengalaman menyeluruh. 

 

Dan hidangkanlah masakan Melayu pada para tetamu dalam bekas tembaga, lengkap dengan bekas air basuh tangan dan duduk bertimpuh atas tikar mengkuang. 

 

Flora dan Fauna Semulajadi

Tahun ini saya dan keluarga sempat melawat satu tapak warisan UNESCO iaitu Lembah Lenggong serta keindahan Kilim Geoforest Park yang  penuh dengan keajaiban sejarah melangkaui zaman hampir 2 juta tahun. Bentuk mukabumi kita menjadi saksi pada perubahan yang berlaku dari zaman paleolitik, neolitik ke zaman logam. 


 

ninot

 


Keindahan flora dan fauna di kawasan hutan bakau di Kilim amat memukau - melihat helang dan monyet liar begitu sinonim dengan habitat. Kami diperkenalkan ‘territory’ monyet membelah sungai. 

 

Di Lenggong pula kami mengenal kabong, rotan, mengkuang dan segala jenis paku pakis dan lumut. Keindahan semulajadi yang kaya dengan rahsia perubatan. 

 

Penambahbaikan


Tentu ada beberapa perkara yang boleh diperbaiki. Pastikan di pusat pelancongan ada papan tanda yang baik, kebersihan terjaga dan kesedaran OKU yang baik. 

 

Namun yang pasti, memperagakan warisan budaya sebagai tarikan pelancongan yang hebat hanya bakal menguntungkan kita semua. 

 


Warisan Kita

Kini tibalah masanya Malaysia mengambil berat melestarikan Dunia Alam Melayu mengembalikan jatidiri dan identiti negara.  Kekayaan Dunia Melayu terserlah melalui: 

   
       
•       Kekayaan muka bumi dan laluan air

•       Senibina rumah kampung Melayu  dan Ukiran Kayu

•       Flora dan Fauna

•       Kesusasteraan dan Karya Sastera 

•       Kebudayaan dan kesenian

•       Seni Mempertahankan diri dan Silat

•       Tekstil seperti songket, batik dan kain tenun

•       Penggunaan Emas, perak dan gangsa

 

Dicadangkan beberapa lagi tempat sesuai untuk  dijadikan pusat pelacungan seperti  Rantau Panjang yang menjadi laluan masuk ke Thailand, Kampung Chenor, Temerloh Pahang untuk mengenali keindahan kehidupan tepi Sungai Pahang dan Sungai Kampung Melayu, Johor yang indah berdekatan hutan bakau. 


 

ninot
Menyusuri Sungai Kampung Melayu di Johor yang menampilkan hutan paya bakau.

 


Kita seharusnya bijak dalam mencari perseimbangan supaya tidak membelakangkan budaya dan warisan bangsa dalam meningkatkan pencapaian ekonomi negara melalui industri pelancongan. 

 

Untuk memasarkan pelancongan melalui budaya dan warisan bersama berteraskan budaya Melayu, pemahaman dasar yang kukuh serta penglibatan rakyat adalah penting melalui asimilasi budaya di seluruh negara dalam semua lapisan masyarakat dan penerimaan masyarakat seluruh negara. 

 

Semoga budaya Melayu dilestarikan selamanya!

 


 

Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Sabtu.   Emel : ninotaziz@gmail.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA

Portfolio Tags