Skip to main content

iStore iSend terima suntikan modal 'Series B' AS$5.5 juta

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 26 Jan. - Syarikat perkhidmatan e-pemenuhan Malaysia, iStore iSend berjaya menerima suntikan modal fasa Series B berjumlah AS$5.5 juta daripada syarikat modal urus niaga serantau, Gobi Partners dan pemain logistik terkemuka, EasyParcel.

 

Dalam satu kenyataan bersama, iStore iSend berkata, modal tersebut akan digunakan untuk meluaskan pasaran sedia ada dan mengembangkan perniagaan ke negara-negara baharu. 

 

Pengerusi dan Rakan Kongsi Pengasas Gobi, Thomas G. Tsao berkata, khidmat lengkap yang ditawarkan iStore iSend kepada klien-kliennya serta pengintegrasian penuh sistemnya dengan laman-laman e-dagang popular adalah satu peluang besar yang tidak wajar dilepaskan oleh pelabur-pelabur.

 

Thomas G. Tsao
Thomas G. Tsao

 

"Lonjakan aktiviti membeli-belah secara dalam talian kerana wabak pada tahun lepas menyebabkan lebih ramai pemain e-dagang berhasrat untuk memperbesarkan pasaran dengan menambahbaik kecekapan dan pergerakan SKU mereka, dan iStore iSend berada pada kedudukan yang kukuh untuk membantu usaha-usaha ini," jelasnya.

 

Ditubuhkan pada 2015, iStore iSend menawarkan perkhidmatan menyeluruh kepada pelanggan yang meliputi khidmat penyimpanan, khidmat kutip dan bungkus, serta khidmat penghantaran sebaik sahaja sesuatu pesanan e-dagang diterima. 

 

Syarikat tersebut juga menawarkan perkhidmatan nilai yang ditambah seperti pengurusan inventori masa nyata dan penjejakan penghantaran. 

 

Pengintegrasian sistem dengan platform e-dagang membolehkan ia menerima dan memenuhi pesanan sebaik sahaja pesanan dilakukan, sekali gus memastikan proses penghantaran berjalan dengan cekap dan pantas. 

 

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif EasyParcel, Clarence Leong berkata, sebagai sebuah syarikat yang pernah melalui proses pencarian dana, giliran pihaknya untuk melabur dalam sebuah syarikat yang semakin mengukuh sebagai tulang belakang kepada industri e-dagang, adalah satu detik yang cukup membanggakan.

 

Clarence Leong
Clarence Leong

 

"iStore iSend telah berkembang dengan jauh sejak ia mula ditubuhkan. Mereka menawarkan penyelesaian yang inovatif dan tepat pada masanya ketika landskap e-dagang di Malaysia sedang berkembang sewaktu kita mengharungi wabak COVID-19. 

 

"Pelaburan strategik ini tentu sekali menambah nilai kepada pelanggan-pelanggan EasyParcel. Mereka juga boleh memanfaatkan perkhidmatan pemboleh dan penyelesaian pemenuhan iStore iSend. Pelaburan ini mengukuhkan moto ‘Delivery Made Easy’ kami.

 

"Khidmat yang ditawarkan kepada pengguna bukan sahaja merangkumi penghantaran kilometer terakhir, tetapi juga meliputi khidmat penggudangan dan khidmat kutip dan bungkus," tambah beliau.

 

EasyParcel dilancarkan pada 2014 dan merupakan pemain industri logistik dan e-dagang yang berpengalaman membantu lebih daripada 700,000 PKS mikro.

 

Tommy Yong dan Joe Khoo.
Tommy Yong dan Joe Khoo.

 

Bagi Pengasas Bersama iStore iSend, Joe Khoo pula, pihaknya percaya terhadap keunikan yang dimiliki melalui dua kekuatan perniagaan iaitu pengurusan kadar pusing ganti inventori dan pemenuhan SKU yang tinggi.

 

Kehadiran pelaburan tersebut dilihat tepat pada masanya bagi seorang lagi Pengasas Bersama iStore iSend, Tommy Yong.

 

Jelasnya,  dalam tempoh yang mencabar kini, kebanyakan perniagaan perlu berurus niaga secara dalam talian untuk terus kekal lama dan iStore iSend akan menawarkan pendigitalan rantaian bekalan e-dagang bagi membantu lebih banyak perniagaan untuk beralih kepada e-dagang.

 

Dengan operasi di China, Indonesia, Malaysia, dan Singapura, iStore iSend bercadang untuk menggunakan sebahagian daripada modal pusingan ini bagi mengembangkan perniagaan ke pasaran yang sedang rancak membangun seperti Filipina, Thailand, dan Vietnam. - DagangNews.com