Isu buruh paksa dibimbangi pengaruhi keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia | DagangNews Skip to main content

Isu buruh paksa dibimbangi pengaruhi keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Dis - Isu buruh paksa dalam sektor pembuatan elektronik sudah lama dikaitkan dengan Malaysia sejak 2009 dan ia dibimbangi akan mempengaruhi keyakinan pelabur asing terhadap pembekalan produk dari negara ini.

 

Baru-baru ini, syarikat pengeluar vakum berteknologi tinggi dari United Kingdom, Dyson dikatakan sudah menamatkan kontrak dengan ATA Industrial (M) Sdn. Bhd. susulan hasil audit berhubung amalan buruh paksa dalam syarikat itu.

 

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, pihaknya menerima maklumat bahawa penamatan kontrak itu dibuat adalah atas persetujuan bersama berikutan berlakunya kekurangan tenaga kerja syarikat ATA Industrial dalam memenuhi permintaan pembekalan produk, komponen dan perkakasan Dyson.

 

"Saya sudah mengarahkan Kementerian Sumber Manusia akan menjalankan siasatan lanjut terhadap syarikat ATA Industrial namun masih belum ada sebarang tindakan dikenakan terhadap mereka.

 

"Secara keseluruhannya, isu buruh paksa yang dikaitkan dengan syarikat tempatan dalam sektor pembuatan elektronik dan sarung tangan getah, serta sektor perladangan kelapa sawit telah memberi imej yang negatif kepada negara dan ini mempengaruhi keyakinan pelabur asing terhadap pembekalan produk dari Malaysia.

 

"Oleh itu, saya menyeru kepada semua pihak terutamanya majikan dan pihak industri agar menjaga hak dan kebajikan pekerja bagi memastikan Malaysia tidak lagi dikaitkan dengan amalan buruh paksa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Saravanan berkata, dalam usaha mengekang gejala buruh paksa itu, pihaknya melancarkan Pelan Tindakan Nasional berhubung Buruh Paksa 2021-2025 yang merangkumi empat matlamat strategik dari aspek kesedaran, penguatkuasaan, migrasi buruh dan akses kepada pemulihan dan perlindungan kepada mangsa. 

 

Beliau berkata, pelan itu merupakan panduan kepada pelaksanaan program dan aktiviti bagi membasmi gejala buruh paksa secara menyeluruh menjelang tahun 2030 selaras dengan komitmen negara dalam mencapai Matlamat Pembangunan Lestari. - DagangNews.com