Isu tular RMT: Bukan makanan untuk pelajar RMT di sekolah - Dr. Radzi | DagangNews Skip to main content

Isu tular RMT: Bukan makanan untuk pelajar RMT di sekolah - Dr. Radzi

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 Jan - Kementerian Pendidikan (KPM) mengesahkan isu tular pelajar di bawah Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) hanya menerima nasi putih dan kuah sebagai makanan, bukan disediakan untuk penerima RMT di sekolah.

 

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, beliau telah menerima maklum balas berhubung perkongsian gambar yang didakwa sebagai makanan untuk murid RMT.

 

"Wakil KPM telah turun ke sekolah terbabit untuk menjalankan siasatan terperinci mengenai dakwaan pemilik Facebook berkenaan. Siasatan mendapati gambar yang ditularkan itu bukan makanan yang disediakan untuk penerima RMT di sekolah.

 

"Makanan bagi semua penerima RMT disediakan pihak kantin untuk murid makan di sekolah sahaja. KPM mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan semua pihak berhubung perkara ini," katanya menerusi Facebook beliau sebentar tadi. 

 

Beliau berkata, KPM sentiasa berusaha menambah baik program RMT, termasuk penyediaan makanan dan bekalan susu untuk penerima RMT. 

 

Katanya, buat masa ini, pemberian susu kepada murid RMT telah ditambah daripada dua kali seminggu kepada setiap hari persekolahan mulai tahun lepas. - DagangNews.com