Jabatan Standard Malaysia bangunkan 'MS 1514:2022 GMP for Food' pastikan rakyat menikmati makanan selamat dan berkualiti | DagangNews Skip to main content

Jabatan Standard Malaysia bangunkan 'MS 1514:2022 GMP for Food' pastikan rakyat menikmati makanan selamat dan berkualiti

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 13 Julai - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melalui Jabatan Standard Malaysia (JSM) berjaya membangunkan MS 1514:2022 Good Manufacturing Practice (GMP) for Food (Second Revision) bagi menyokong usaha menjamin makanan yang dihasilkan dan dipasarkan di negara ini adalah berkualiti serta selamat.

 

JSM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, MS 1514:2022 tersebut merupakan edisi kemas kini kepada edisi MS 1514: 2009. 

 

Menurutnya, MS 1514 menyediakan garis panduan kepada pengeluar makanan bagi menghasilkan produk makanan yang selamat dimakan dengan menggariskan kriteria penting yang perlu dipatuhi semasa pemprosesan makanan, antaranya daripada aspek fasiliti, pengoperasian, kebersihan serta pengangkutan.

 

"MS 1514 juga merupakan rujukan yang boleh diguna pakai pihak pengilang bagi memenuhi keperluan pelaksanaan program jaminan keselamatan makanan yang mana GMP merupakan salah satunya. 

 

"Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan kawalan keselamatan dan kualiti makanan pada peringkat pengeluaran makanan bagi tujuan pasaran tempatan, di samping selari dengan standard antarabangsa," katanya.

 

Menurut JSM, kerajaan sentiasa mengambil berat dan berusaha secara berterusan dalam menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat termasuklah bagi memastikan makann yang dikilangkan adalah selamat dan berkualiti.

 

"Selaras dengan perkembangan pesat industri makanan di negara ini, penghasilan pelbagai produk makanan telah meningkat saban tahun. Ini menjadikan isu berkaitan keselamatan dan kualiti makanan menjadi semakin penting," katanya.

 

Menurutnya, pihak industri memainkan peranan penting bagi memastikan makanan yang dihasilkan selamat dan berkualiti sebagaimana diperuntukkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

 

Katanya, pihak industri perlu memenuhi keperluan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 yang dikuat kuasakan Kementerian Kesihatan (KKM) yang mana ia memperuntukkan semua premis makanan terlibat dalam pengilangan makanan perlu melaksanakan program jaminan keselamatan makanan.

 

Sementara itu, seramai 130 peserta daripada pelbagai pihak berkepentingan seperti agensi kerajaan, badan pensijilan dan pemain industri makanan menyertai seminar anjuran JSM dengan kerjasama Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) KKM.

 

Seminar itu diadakan sempena pelancaran MS 1514:2022 yang baharu diterbitkan bagi memberi penjelasana berkenaan dengan klausa-klausa serta perubagan terkini dan mempromosi penggunaannya kepada umum.

 

"Adalah diharapkan penganjuran ini dapat meningkatkan bilangan syarikat yang menggunapakai standard ini serta disijilkan untuk GMP," katanya. - DagangNews.com