Jade Marvel beli 51% kepentingan dalam syarikat pinjaman wang berlesen, MYK Capital | DagangNews Skip to main content

Jade Marvel beli 51% kepentingan dalam syarikat pinjaman wang berlesen, MYK Capital

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 4 Okt. - Jade Marvel Group Berhad (JMGB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Total IPCO Sdn. Bhd. (Total IPCO) telah memeterai Perjanjian Jualan Saham (SSA) untuk mengambil alih 51% daripada modal saham berbayar dan diterbitkan dalam MYK Capital Management Sdn. Bhd. (MYK Capital).

 

Kepentingan ekuiti itu bakal diambil alih daripada ‘vendor’ termasuk Datuk Tan Cheng Yam, Tan Eng Hwa dan Pinjam Gadai 916 Sdn. Bhd. bernilai RM1.22 juta.

 

Menurut makluman JMGB, pengambilalihan kepentingan itu dilengkapkan serta merta sekali gus menjadikan MYK Capital anak syarikat kumpulan, berkuatkuasa hari ini. 

 

“Nilai pembelian ini dibuat berdasarkan persetujuan kedua-dua pembeli dan penjual, pada kadar kira-kira 1.2031 kali daripada aset ketara bersih bersesuaian dengan 51% kepentingan ekuiti dalam MYK Capital seperti dinyatakan dalam akaun pengurusannya pada tarikh akhir perakaunan yang dipersetujui pada 30 September 2021, setelah dipertimbangkan faktor seperti prospek masa depan perniagaan syarikat,” kata JMGB dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia. 

 

Sebagai rekod, MYK Capital merupakan syarikat persendirian yang diperbadankan di Malaysia pada 2 Ogos 2019 dan secara dasarnya terlibat dalam perniagaan penyediaan perkhidmatan komuniti kredit berlesen.

 

Secara ringkasnya, MYK Capital telah diiktiraf dengan lesen pemberi pinjaman wang mengikut Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

 

Tambah JMGB, pengambilalihan kepentingan itu membolehkan Total IPCO mengembangkan dan menginovasi model perniagaan pemberian pinjaman wangnya menerusi MYK Capital.

 

“Pengambilalihan ini tidak akan mendatangkan impak material ke atas perolehan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022. 

 

“Namun, prospek hasil daripada MYK Capital dijangka menyumbang secara positif kepada perolehan masa depan kumpulan,” kata JMGB. - DagangNews.com

 

 

TERKINI 11 Oktober 2021: Jade Marvel teroka segmen pemprosesan makanan laut sejuk beku dengan kerjasama YHL Foods