Jade Marvel meterai MoU dengan BHealthy Wellness teroka industri kesejahteraan | DagangNews Skip to main content

Jade Marvel meterai MoU dengan BHealthy Wellness teroka industri kesejahteraan

KUALA LUMPUR 16 Okt - Jade Marvel Group Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk menjalin kolaborasi dengan sebuah syarikat swasta tempatan untuk menguruskan perniagaan berkaitan industri kesejahteraan menerusi sistem kawalan teknologi maklumat sehenti.

 

Dalam pemberitahuan kepada Bursa Malaysia pada Jumaat, Jade Marvel menyatakan syarikat itu memeterai MoU dengan BHealthy Wellness Sdn Bhd, yang mana pemilik dan pengarahnya iaitu Chua Kian Leong dan Goh Chee Siang memiliki pengalaman luas di dalam industri tersebut, termasuk perkhidmatan spa, refleksologi dan kepakaran kecantikan.

 

Menerusi MoU itu, kedua-dua pihak bersetuju dengan aturan usaha sama 51:59, dengan Jade Marvel memegang 51% kepentingan.

 

Perjanjian awal tersebut akan membuka laluan bagi kedua-dua pihak untuk secara eksklusif membincangkan terma usaha sama mereka, dan memeterai perjanjian muktamad berasaskan terma-terma yang dipersetujui kelak.

 

Jade Marvel memberitahu MoU itu akan membolehkannya meraih manfaat daripada kepakaran dan pengalaman para pemegang saham dan pengarah BHealthy Wellness dan membolehkannya meneroka peluang perniagaan baharu menerusi usaha sama berkenaan.

 

BHealthy Wellness ditubuhkan pada 7 Oktober lalu, khusus sebagai syarikat pegangan pelaburan untuk menguruskan perniagaan berkaitan industri kesejahteraan seperti pusat-pusat spa, refleksologi dan pakar kecantikan.

 

Semasa pasaran ditutup petang Jumaat, saham Jade Marvel berada pada paras 61 sen, 0.83% lebih tinggi dan memberikan nilai pasarannya sebanyak RM170.14 juta. - DagangNews.com