Jade Marvel teroka segmen pemprosesan makanan laut sejuk beku dengan kerjasama YHL Foods | DagangNews Skip to main content

Jade Marvel teroka segmen pemprosesan makanan laut sejuk beku dengan kerjasama YHL Foods

 

 


KUALA LUMPUR 11 Okt. - Jade Marvel Group Bhd (JMG) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan YHL Foods Sdn. Bhd. bagi cadangan usaha sama untuk membina kemudahan pemprosesan makanan laut sejuk beku bersepadu dengan kemudahan penyimpanan sejuk di Bio Desaru, Kota Tinggi, Johor. 

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini, JMG berkata, syarikat dan YHL Foods berhasrat untuk melaksanakan perniagaan usaha sama itu menerusi syarikat baharu yang akan diperbadankan sebagai syarikat usaha sama. 

 

Menerusi syarikat usaha sama itu, katanya, JMG akan memiliki 60% pegangan manakala YHL pula 40%.

 

"MoU ini membolehkan kedua-dua pihak untuk berunding secara eksklusif mengenai terma dan menetapkan pemahaman dan hasrat dalam kerjasama itu menerusi syarikat usaha sama berkenaan," katanya. 

 

Secara dasarnya, MoU tersebut mencerminkan penglibatan JMG dalam perniagaan makanan, yang mana ia sudah mempelbagaikan perniagaan syarikat termasuk pembinaan dan pembangunan hartanah. 

 

Pada masa sama, menurut JMG, kerjasama itu membolehkan JMG memanfaatkan kepakaran dan pengalaman YHL Foods menerusi Low Yuan Heng, yang memiliki 90% kepentingan dalam YHL Foods. 

 

"Ini membolehkan JMG meneroka peluang perniagaan baharu dalam pemprosesan bersepadu dan pengeluaran dalam segmen makanan laut sejuk beku. 

 

"Kedua-dua YHL Foods dan Low Yuan Heng adalah pemilik syarikat yang terlibat dalam perniagaan akuakultur termasuk pemprosesan dan pengeluaran makanan laut," jelasnya.

 

JMG berkata, MoU itu juga tidak akan memberi kesan kepada terbitan modal saham dan pemegangan saham utama JMG. 

 

Malah, ia juga tidak menjejaskan pendapatan sesaham, aset bersih dan gearan JMG bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022. 

 

Setakat 12.15 pagi ini, saham JMG menokok 1.5 sen atau 2.56% kepada 60 sen dengan 2.46 juta saham diniagakan. - DagangNews.com