Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Irsyad - 13 May 2022

Jaga Kualiti Puasa Sunat Enam Hari di bulan Syawal

 

 

 

PUASA sunat enam hari di bulan Syawal adalah suatu amalan yang tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia.

 

Namun, perlu diingatkan supaya menjaga kualiti amalan dari tipu daya syaitan yang sentiasa berusaha mewujudkan perasaan bermegah dan riya’ dengan amalan puasa tersebut.

 

Dikhuatiri tindakan ini bakal menghilangkan seluruh pahala puasa sunat Syawal kerana menjadikan seseorang dikuasai perasaan riya’ dan sum’ah (ingin memperdengarkan) amalan kepada orang lain yang sepatutnya di sembunyikan khas untuk Allah SWT.

 

Hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian meneruskan dengan enam hari di Bulan Syawal sepertinya dia berpuasa selama setahun” (Riwayat Muslim).

 

Terdapat beberapa persoalan sering ditimbulkan berkaitan puasa sunat enam Syawal yang boleh diberi perhatian oleh masyarakat Islam sebagai persediaan dan motivasi dalam melaksanakan ibadah sunat ini.

 

1. Kaedah pelaksanaan puasa sunat enam hari di bulan Syawal

Terdapat perselisihan antara mazhab fiqh mengenai kaedah pelaksanaan puasa enam. Ada yang mencadangkan supaya puasa enam dilaksanakan di penghujung bulan Syawal dan ada yang mencadangkan supaya dilakukan secara terpisah dan tidak berturut-turut selama enam hari.

 

Namun, Mazhab Syafie menghukumkan sebagai sunat sepanjang bulan Syawal, samada berturut-turut ataupun terpisah. Imam Nawawi menjelaskan di dalam kitab syarah Hadis Sahih Muslim bahawa:

 

“Ulama Mazhab Syafie menyatakan bahawa paling afdal dalam melaksanakan puasa sunat enam hari di dalam bulan Syawal adalah secara berturut-turut yang dimulakan selepas Aidilfitri, sekiranya tidak berturut-turut (contohnya sehari puasa dua hari tidak, kemudian puasa lagi, asalkan genap enam hari dalam bulan Syawal) atau melewatkannya sehingga ke hujung bulan, maka itu juga turut mendapat ‘fadhilat al-mutaba‘ah’ (puasa yang mengiringi) kerana benar-benar berniat untuk menyambung enam hari di bulan Syawal. Selanjutnya, ulama menjelaskan bahawa amalan ini bersamaan berpuasa selama setahun kerana setiap kebaikan itu akan diganjari 10 kali ganda, maka puasa Ramadan bersamaan 10 bulan, dan 6 hari Syawal bersamaan 2 bulan”.

 

irsyad

 

2. Pertimbangan mendahulukan puasa ‘qadha’ (ganti) atau puasa sunat Syawal

Sekiranya ditanya manakah yang lebih baik di antara puasa sunat Syawal dan puasa qadha. Maka jawapannya adalah puasa qadha kerana terdapat hadis Qudsi yang bermaksud:

 

“…dan tidaklah hampir kepadaku seorang hamba dengan apa juapun, maka yang lebih kusukai adalah mereka melaksanakan amalan fardhu/wajib ke atas mereka, dan sentiasalah mereka ingin menghampirkan diri mereka kepadaku dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah aku kasih kepadanya…” (Riwayat al-Bukhari: no.6021).

 

Hadis di atas adalah sebagai asas keutamaan, namun dari sudut praktikal kesesuaian jawapan adalah mungkin berbeza menurut keadaan diri seseorang.

 

Sekiranya seseorang itu ingin mengambil pandangan yang afdal, perlulah mengutamakan puasa qadha dahulu sekiranya berbuka puasa pada bulan Ramadan tanpa keuzuran.

 

Sekiranya berbuka puasa pada bulan Ramadan disebabkan keuzuran, maka wajar didahulukan puasa enam hari Syawal kerana qadha puasa bagi orang yang berbuka disebabkan keuzuran bersifat muwassa’ (wujud keluasan tempoh waktu yang panjang).

 

Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani menjelaskan di dalam kitab Bughyatut Tullab: “(Dan demikian lagi) orang yang tiada puasa dengan uzur sunat dia berpuasa enam hari sunat Syawal melainkan orang yang berbuka puasa Ramadan dengan tiada uzur maka wajib ke atasnya menyegerakan menqadha Ramadan kerana makruh mengerjakan sunat orang yang ada padanya qadha Ramadan dengan tiada uzur maka wajib menyegerakan qadha dahulu”.

 

Namun perlu diberi perhatian, walaupun waktu qadha puasa adalah panjang, tetapi seseorang tetap tidak pasti adakah sampai ke sesuatu tarikh atau ajal menjelang dahulu.

 

Seseorang yang mati setelah berjaya menggantikan puasanya tetapi tidak sempat berpuasa sunat Syawal, pastinya tidak menanggung hutang untuk qadha puasa, malah mungkin berpeluang mendapatkan pahala puasa sunat Syawal sekali.

 

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “…sesiapa yang berkeinginan melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya, telah dituliskan oleh Allah baginya pahala penuh, maka jika ia berkeinginan dan kemudian melakukannya, maka dituliskan 10 pahala sehingga 700 kali ganda…” (Riwayat al-Bukhari: no.6010).

 

Sewajarnya difahami bahawa keutamaan puasa qadha adalah lebih tinggi dan tanggungjawab menunaikan adalah jauh lebih besar dari puasa sunat Syawal kerana puasa qadha adalah puasa wajib dan merupakan ‘hutang’ ibadah dengan Allah SWT, berbanding puasa sunat Syawal hanyalah sebagai tambahan pahala.

 

irsyad

 

3. Penggabungan niat puasa qadha dengan puasa sunat Syawal

Terdapat pelbagai pandangan ulama berkaitan isu ini, ada yang mengharuskan dan begitu juga sebaliknya tidak membenarkan.

 

Sebaiknya tidak digabungkan kedua-dua niat tersebut bagi seseorang yang mampu (dari sudut kesihatan tubuh dan sebagainya) disebabkan ketiadaan dalil yang khusus membuktikan Nabi SAW pernah melakukannya atau menganjurkan kepada para sahabat untuk menggabungkannya.

 

Apabila Nabi SAW, Sahabat dan salafussoleh tidak melakukannya, maka pastinya itu bukanlah amalan yang terpilih dan terbaik kerana pilihan Nabi SAW dan para Sahabat selamanya adalah yang terbaik.

 

Malah ada pula yang berhujah bahawa amalan sunat tidak boleh ditunaikan sebelum amalan fardu. Demikian menurut Syaikh Abu Raghib al-Asfahani, Syaikh Ihsan Muhammad ‘Aayish al-‘Utaibi dan Dr Yusof al-Qaradawi menjelaskan amalan sunat tidak boleh ditunaikan sebelum amalan fardu berpandukan hadis yang bermaksud:  

 

“Barang siapa telah berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan enam hari dari Syawal maka adalah seperti (pahala) puasa setahun” (Riwayat al-Bukhari: 6502).

 

Hadis tersebut menggunakan lafaz ‘fiel madhi’ iaitu ‘past tense’ bagi lafaz ‘puasa Ramadan’, berkemungkinan boleh membawa makna sesiapa yang belum lengkap puasa Ramadan perlulah melengkapkan dahulu, kemudian barulah layak bagi mendapat peruntukan pahala sunat Syawal.

 

irsyad

 

Seterusnya, amalan wajib (qadha) memerlukan niat yang ‘jazam’ (tepat dan pasti), maka tindakan penggabungan niat puasa sunat mungkin boleh merosakkan kepastian.

 

Justeru, ulama yang mengharuskan penggabungan mencadangkan agar diniat puasa qadha sahaja, manakala niat puasa sunat Syawal itu dipendam sahaja dengan harapan Allah menerimanya.

 

Namun, ulama yang mencadangkan ini jelas menyatakan bahawa tindakan penggabungan niat tetap mengurangkan pahala sunat Syawal kerana tidak diniat dan tidak dilakukan sepenuhnya.

 

Menurut Syaikh al-‘Allamah ‘Abdullah bin Hijazi bin Ibrahim al-Syarqawi yang bermazhab Syafie menjelaskan dalam kitab ‘Hasyiah al-Syarqawi 'ala Syarh al-Tahrir’: “Adalah sah menggabungkan puasa sunat enam Syawal dengan puasa qadha Ramadan tetapi seseorang itu tidak akan mendapat pahala penuh seperti jika seseorang itu berpuasa sunat enam Syawal berasingan dengan puasa qadha”.

 

Demikianlah perbahasan dan ijtihad ulama berkaitan puasa sunat Syawal yang boleh dijadikan panduan dan bimbingan dalam melakukan amalan yang terbaik agar dipandang oleh Allah SWT.

 

Semoga dengan usaha dan kesungguhan berpuasa sunat enam hari di bulan Syawal akan mendekatkan diri kepada Allah SWT dan memperoleh ganjaran pahala puasa setahun sehinggalah bertemu dengan Ramadan pada tahun depan. - DagangNews.com

 

DR. AZRI BHARI adalah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD

Portfolio Tags