Jakim siasat sotong ring didakwa diperbuat daripada dubur babi | DagangNews Skip to main content

Jakim siasat sotong ring didakwa diperbuat daripada dubur babi

Jakim memohon semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.

PUTRAJAYA 5 Mac – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) masih menyiasat isu tular di media sosial berhubung gambar gegelang sotong (sotong ring) yang didakwa diperbuat daripada dubur atau usus babi.

 

Timbalan Ketua Pengarahnya (Dasar), Datuk Hakimah Mohd. Yusoff berkata, pihaknya sedia maklum mengenai isu tular berkenaan dan sedang menyiasat lanjut.

 

“Untuk makluman, perkara ini sedang dalam siasatan Jakim bersama beberapa Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) serta Kementerian Perdagangan Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

 

Katanya, Jakim memohon semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengeruhkan lagi keadaan sehingga hasil siasatan dimaklumkan secara rasmi oleh pihak berkuasa berkenaan.

 

Beliau mengulas kekecohan di media sosial susulan gambar tular mengenai gegelang sotong yang didakwa dihasilkan daripada bahagian babi.


 

sotong

 


Dakwa individu itu, produk berkenaan tidak dihasilkan menggunakan sotong sebenar, sebaliknya ia diperbuat daripada bahagian dubur khinzir.

 

BERITA BERKAITAN: Tidak benar sotong ring diperbuat daripada babi, kata peniaga makanan laut

 

Sebelum ini, seorang peniaga makanan laut di Kedah tampil memperjelaskan kekecohan di media sosial berikutan tular kenyataan mendakwa sotong itu dibuat dari usus babi, hanya wajar `setakat boleh dengar sahaja’ kerana tiada kebenarannya.

 

Pemilik Dsemeling Fresh & Frozen Seafood, Muhammad Farid Mohd Ali dari Taman Tasik Indah, Bedong di Kedah memberitahu DagangNews.com, "Setakat cakap kosong tanpa bukti yang kukuh, setakat boleh dengar saja''. - DagangNews.com