Jangan angkat bendera putih dalam urusan harta pusaka | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 5 July 2021
WasiyyahShoppe

JANGAN ANGKAT BENDERA PUTIH DALAM URUSAN HARTA PUSAKA

 

 

SEHARI dua ni kecoh cerita pasal bendera putih. Dianjurkan mereka yang berdepan kesukaran kehidupan akibat pandemik ini mengibarkan bendera putih di depan rumah supaya diketahui jiran bahawa mereka ini dalam kesusahan dan bolehlah jiran membantu setakat mampu.

 

Ramai pihak memberi pelbagai tafsiran kepada cadangan tindakan ini. Saya tak mahu komen hal ini sebab itu hak masing-masing untuk mentafsir dan bertindak. Yang jelasnya membantu jiran dalam kesusahan memang kewajiban kita sebagai orang Islam.

 

Bendera putih sebenarnya sudah lama dikibarkan dalam urusan harta pusaka orang Islam semenjak sekian lama cuma tiada sesiapa yang perasan. RM70 bilion nilai harta pusaka yang tertunggak dan belum diuruskan itu adalah bukti betapa bendera putih memang banyak kali sangat dikibarkan dalam urusan ini. Sebagai masyarakat Islam, kita yang sebenarnya  tak pernah mengambil pusing isu ini.

 

Maksud bendera putih di sini ialah waris ‘surrender’ dari menguruskan harta pusaka arwah ayah dan ibu. Antara sebab bendera putih dikibar ialah apabila urusan harta pusaka menimbulkan perbalahan yang hangat di kalangan waris. Ketika inilah ditimbulkan pelbagai tuntutan dari kalangan waris dan merasakan mereka berhak mendapat bahagian yang lebih dari harta pusaka simati.

 

Antara kisah yang saya sendiri jumpa, ayah ada ‘hutang’ dengan anak untuk ‘renovate’ rumah di kampung semasa nak membuat majlis walimatulurus adik. Selepas ayah mati, anak nak menuntut semula ‘hutang’ itu dari harta pusaka. Ada juga kes anak perempuan nak tuntut kembali barang kemas yang dibelinya dan ‘dipinjamkannya’ kepada ibu.

 

Jika tanpa ilmu berlandaskan hukum dan undang-undang, waris yang ‘volunteer’ nak menguruskan harta pusaka itu akan terkial-kial cuba mendamai dan memuafakatkan waris. Sering berlaku juga perbalahan akan menjadi semakin tegang sehingga tidak boleh didamaikan langsung. Akhirnya waris berkenaan, kibar bendera putih kerana tak tahu apa yang nak dibuat lagi bagi mendamaikan pihak berbalah.

 

Kerana itulah Wasiyyah Shoppe Berhad sejak ditubuhkan pada 2004, mengambil inisiatif memperkenalkan sesi khutbah pusaka untuk waris pelanggan kami. Bila berlaku kematian, kami akan bertemu dengan waris di rumah pada waktu yang difikirkan sesuai untuk menerangkan tentang hukum yang berkaitan dengan harta pusaka, hak waris mengikut hukum faraid dan proses perundangan yang bakal dilalui.

 

Kenapa nak sibuk-sibuk cerita pasal hukum? Cerita sajalah pasal bagaimana nak turun milik nama simati dalam geran rumah itu kepada waris. Nak berkhutbah panjang lebar cerita pasal hukum bagai macam khutbah jumaat kenapa? Orang yang dah kematian ahli keluarga hanya nak tahu bagaimana mereka boleh dapat harta yang ditinggalkan. Itu saja. Ini antara komen yang saya peroleh tentang sesi khutbah pusaka kami.

 

Kepada pihak berkenaan, saya nak jelaskan bahawa sangat penting untuk waris tahu hukum berkaitan harta pusaka kerana sebagai orang Islam yang hidupnya dipandu agama dalam segenap aspek kehidupan, hukum dalam sesuatu perbuatan sentiasa akan mengikat kita kerana ia perintah dari Allah SWT.

 

Pengalaman kami selama 17 tahun menguruskan harta pusaka orang Islam di Malaysia, mendapati apabila diberikan kefahaman yang jelas kepada waris tentang hukum, perbalahan dapat dielakkan. Malah banyak kes yang kami temui, bila waris faham sepenuhnya, mereka akan bekerjasama, bermuafakat dan berkompromi seterusnya mempercepat dan memudahkan proses harta pusaka. Cantik sangat!

 

 

WasiyyahShoppe

 

 

Dalam kes yang ekstrem pula di mana waris yang datang kepada Wasiyyah Shoppe Berhad untuk memohon bantuan menguruskan harta pusaka arwah ibu bapa yang telah meninggal dunia (simati bukan pelanggan kami) , kami berdepan cabaran apabila waris yang tidak faham isu hukum akan berkecenderungan untuk bertindak semberono dan mengikut nafsu.

 

Mereka akan bersungguh-sungguh menuntut apa yang mereka rasakan ‘hak’ mereka yang cuba dinafikan oleh waris lain. Timbullah situasi tidak enak sehingga memaki hamun sesama sendiri, buat laporan polis, ugut-mengugut, bomoh-membomoh dan sebagainya.

 

Adakah anda mahu waris anda bermuafakat dan menguruskan harta pusaka anda mengikut peruntukan hukum Islam atau anda mahukan mereka berbalah bila tidak faham tentang hukum? Tepuk dada tanya iman, Jangan tanya selera sebab selera lebih terdorong oleh nafsu.

     

Kalau pun waris-waris boleh berkompromi dan bermuafakat, waris juga kadang-kadang ‘surrender’ dan kibar bendara putih bila mendapati urusan harta pusaka ini yang disangka mudah dan boleh ‘chill’ saja dalam menguruskannya sebenarnya leceh, memakan masa yang lama dan terkait dengan banyak keperluan perundangan.

 

Waris yang sukarela menawarkan diri untuk menguruskan harta pusaka terpaksa mengambil cuti bagi balik ke kampung untuk mengumpulkan semua dokumen yang diperlukan dalam permohonan bicara kuasa.  

 

Mereka perlu berbelanja untuk pergi ke pejabat tanah di mana harta pusaka itu berada bagi mendapatkan carian rasmi. Mereka juga perlu berurusan dengan organisasi di mana arwah ayah dan ibu mempunyai simpanan atau akaun  seperti Lembaga Tabung Haji, Amanah Saham Nasional Berhad, bank, koperasi, Bursa Malaysia, KWSP dan sebagainya. 

 

Proses ini bukannya boleh disiapkan dalam masa sehari sahaja. Waris kena berulang-alik ke semua pejabat dan agensi berkenaan sebelum memastikan dokumentasi permohonan pusaka dapat dilengkapkan dan seterusnya dapat diserahkan kepada Pejabat Pusaka Kecil (bagi harta pusaka bernilai kurang dari RM2 juta) atau diserahkan melalui peguam yang dilantik ( bagi kes harta pusaka bernilai melebihi RM2 juta).

 

Kegagalan waris untuk memahami semua proses ini dengan baik akan menyebabkan mereka rasa kecewa apabila serahan permohonan pusaka tidak lengkap dan tidak boleh diproses. Boleh ‘chill’ ke jika kita sebagai waris berada didalam keadaan ini?

 

Tambah lagi dalam keadaan PKP pelbagai versi yang sedang berjalan sekarang. Semua kes pusaka ditangguh atau dibicarakan mengikut SOP yang ketat tidak seperti sebelum pandemik dahulu.

 

Kerana Wasiyyah Shoppe Berhad faham proses perundangan ini satu cabaran kepada waris, kami memperkenalkan perkhidmatan ‘Al-Wasitah’. Pelanggan telah membayar bagi mendapatkan perkhidmatan pengurusan pusaka ini ketika hidupnya.

 

 

ariffinsabirin

 

 

Apabila pelanggan meninggal dunia, Wasiyyah Shoppe Berhad akan membuat semua kerja pengumpulan dokumentasi dan serahan permohonan kepada Pejabat Pusaka Kecil atau Mahkamah Tinggi Sivil (panel peguam kami).

 

Waris teruslah kehidupan seperti biasa. Tak perlu ambil cuti dan terkial-kial membuat kerja ini. Kami akan uruskan segalanya. Sampai masanya, waris hadirlah ke bicara kuasa ditemani oleh pegawai-pegawai kami.

 

Semua perkhidmatan khutbah pusaka, proses turun naik pelbagai ejensi untuk mengumpulkan dokumen serahan dibuat di Pejabat Pusaka Kecil atau Mahkamah Tinggi Sivil,  waris TAK PERLU BAYAR apa-apa! Cuma bayar bayaran perintah yang dikenakan Pejabat Pusaka Kecil atau Mahkamah Tinggi Sivil sahaja. Bukankah lebih mudah?

 

Jadi anda fikirkan sendiri, anda mahukan waris anda kibar bendera putih dalam urusan harta pusaka? Jika jawapannya tidak, maka dapatkanlah perkhidmatan Wasiyyah Shoppe Berhad hari ini.

 

 

 

ariffinsabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Berhad.

 

ariffinsabirin

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ANEKDOT MAWARITH

 

 

Portfolio Tags