Skip to main content
DagangNews.com
Kolum DEWI - 18 December 2020

Jangan bawa cita-cita reput, kosong ke tahun 2021

 

 

APA yang perlu disemak semula dan diubah sebelum datangnya tahun baru 2021? Lazimnya di ambang tahun 2021 nanti ramai bakal memikirkan status cita-cita tahun 2020. Adakah sudah tercapai atau tidak.

 

Sudah adakah nama cita-cita baru untuk tahun baru 2021? Atau tidak kisah tentang cita-cita sendiri. Para pelajar adalah antara individu yang selalu diberikan soalan mengenai azam atau cita-cita mereka untuk tahun akan datang.  

 

Adakah setiap individu itu faham mengenai nilai cita-cita, atau penyataan cita-cita hanya dijadikan sebagai bahan lakonan untuk melalui pertukaran hujung tahun kepada tahun yang baharu.

 

Adakah setiap individu faham mengenai olahan bentuk cita-cita sendiri? Perlu diperkatakan pasti ada sebilangan individu di Malaysia yang masih bergoyang kaki tanpa ada cita-cita dan mereka tidak peduli apa itu cita-cita. Mereka mempunyai keinginan untuk menunggu, melihat dan meminta apa yang akan diberi kerana tidak ada cita-cita.

 

Pemahaman mengenai pembentukan cita-cita itu mesti dilakukan  sebelum menceritakan tentang cita-cita sendiri. Rencanakan dan susun semula indikator penting yang dalam diri sendiri sebelum mengukur cita-cita. Rencanakan cita-cita dan tunaikan pencapaian cita-cita tersebut.

 

Cita-cita

Membentuk cita-cita perlu ada pemahaman jelas tentang susun atur perancangan dan pelaksanaan sasaran yang tepat. Cita-cita bakal tercapai apabila individu itu faham mengenai nilai perkembangan peribadi dan perhubungan sosial. Harga diri, pembentukan diri dan sikap menyumbang kepada bagaimana memahami cita-cita sendiri.  Pengetahuan definisi harga diri, pembentukan diri dan sikap diri menjawap setiap penyataan masalah yang berkaitan dengan isi kandung cita-cita tersebut.

 

  1. Harga Diri

Harga diri ini mencoretkan siapakah diri sendiri, betapa sombong individu itu terhadap diri sendiri bila mana tidak mahu mengambil tahu siapakah diri sebenar. Apakah kesinambungan diri dengan panggilan nama sendiri. Dalam membentuk perilaku, adakah kita faham bentuk perilaku sendiri.

 

Harga diri memberi satu landasan pencaturan kepada imej diri di mana ia menggambarkan ketahanan mental. Ini menjadi satu potensi yang telah tersedia di dalam diri individu tersebut. Imej diri terbentuk apabila individu itu melihat diri sendiri dan faham pembentukan jiwa.

 

Pilihan imej diri mempengaruhi orang persekitaran untuk melihat dan menilai imej diri tersebut. Imej diri yang telah dilihat dan dinilai oleh orang persekitaran menghasilkan satu andaian yang tepat atau tidak tepat. Dengan itu harga diri yang tinggi boleh menjadikan individu itu untuk menghadapi cabaran harian dengan bijak, sentiasa positif tentang urusan diri sendiri.

 

Contoh harga diri individu rendah ialah mempunyai tindak balas peribadi yang tidak baik iaitu menyalahkan orang lain atas kelemahan dan kesilapan diri sendiri, seorang ynag tidak kuat bertahan menghadapi permasalahan persekitaran atau permasalahan diri sendiri seperti terlalu cepat merasa kecewa dan sedih, perasaan seolah tidak dihargai, dan menggambarkan keadaan emosi diri sendiri kepada mereka yang lain. Harga diri yang rendah ini telah menjadikan diri individu itu sedih, kesepian, mempunyai perasaan benci dan sentiasa dalam keadaan kegelisahan.

 

  1. Pembangunan diri

Pembangunan diri berkesinambungan rapat dengan keyakinan diri, perhubungan itu jadi satu rantaian yang patuh untuk mencapai kejayaan. Pelaksanaan pembangunan diri lebih berkesan, perlu ada perancangan peningkatan diri dengan menggariskan keutamaan visi untuk masa depan diri, visi merupakan satu sasaran jelas, terperinci dan boleh diukur.

 

Keyakinan diri harus diselenggarakan melalui kehebatan diri dengan menggunakan cara percakapan dan isi kandung bahan yang mahu dibicara secara bersopan dan positif, diri sendiri dijadikan sebagai individu yang sentiasa meningkatkan nilai pengetahuan, kemahiran dan amat patuh dengan situasi belajar daripada kesilapan.

 

Pembangunan diri memerlukan gambaran masa depan yang sudah difikirkan oleh individu. Realisasi diri juga akan terlibat di dalam nilai pembangunan diri kerana realisasi diri ini merupakan satu proses sepanjang hayat, penilaian diri mesti difahami untuk peningkatan nilai diri dan membentuk diri ke arah yang lebih professional.

 

  1. Sikap diri

Pemahaman terperinci terhadap sikap diri sendiri dapat dikesan dengan perkembangan emosi yang sentiasa positif dan sihat. Sikap diri telah dijadikan sebagai satu etika cara amat berguna kepada perkembangan tingkah laku.

 

Tingkah laku ini dapat menggambarkan akan sikap mental individu tersebut. Memang terbukti di mana diri sendiri saja boleh mengawal apa yang difikirkan, tingkah laku itu mempunyai tata cara iaitu berubah mengikut masa atau berubah tidak mengikut masa. Keadaan tingkah laku tersebut memberi kesan kepada persekitaraan dan perhubungan semasa.

 

Kenapa imej amat penting dikaitkan dengan penilaian individu. Penilaian individu mempunyai satu ruang menyatakan bahawa persembahan imej individu itu mempengaruhi refleksi peribadi dan komitmen.

 

Maksud cita-Cita
Faham mengenai maksud cita-cita itu amat penting. Adakah setiap individu itu faham terhadap kesan tidak memahami cita-cita mereka, individu tidak kenal cita-cita sendiri pasti akan membentuk satu cita-cita kosong, cita-cita kosong itu hanya diceritakan tetapi tidak tahu apa isi kandung cita-cita tersebut.

 

Pernahkah rasa bersalah kerana tidak tercapai cita-cita? Atau hanya dibiarkan begitu saja cita-cita yang tidak berjaya tanpa menyemak dengan terperinci kenapa tidak tercapai cita-cita tersebut dan dengan rasa gembira cita-cita baru diumumkan tanpa tahu apakah kesan kepada diri kerana tidak tercapai cita-cita yang lepas.

 

Cita- cita berkaitan dengan penceritaan di dalam minda iaitu satu  keinginan yang selalu difikirkan untuk dicapai. Cita-cita itu menjadi satu titik cerita di dalam keinginan minda individu, maka cita-cita tidak akan tercapai sekiranya individu tidak ada proses terperinci untuk mencapai cita-cita tersebut.

 

Mantapkan diri atau lengkapkan diri dengan pelbagai informasi dan pengetahuan untuk membentuk cita-cita. Terlalu banyak indikator yang perlu difahami namun titik faham mengenai bentuk dan laluan mencapai cita-cita itu mesti bermula melalui pemahaman susun atur perancangan dan pelaksanaan sasaran. Individu mesti faham harga diri sendiri dengan menyoal adakah harga diri sendiri sudah teguh bagi menghadapi pelaksanaan cita-cita sendiri. Pelaksanaan pembangunan diri sudah pasti memudahkan pengurusan peribadi cemerlang.  

 

Matlamat
Jangan keliru dengan maksud matlamat. Matlamat yang telah dipersetujui itu merupakan satu arah sasaran yang akan memberi jawapan kepada tujuan dan bagaimanakah melaksanakannya. Maka untuk mencapai matlamat tersebut tindakan yang perlu iaitu mengadakan pelbagai jenis kempen bagi tujuan mencapai matlamat tersebut.

 

Perancangan juga membawa maksud berbeza. Ia membincangkan proses menyelesaikan masalah terbentuk atau andaian masalah yang bakal terbentuk. Satu perancangan terbaik dan terperinci dihasilkan bagi tujuan menyelesaikan masalah tersebut.

 

Cita- cita setiap individu itu harus ada di dalam minda masing-masing. Walaubagaimanapun, individu perlu faham kemampuan diri sendiri. Matlamat akan dijadikan sebagai satu ukuran tepatkah sasaran yang hendak dicapai. Perancangan terperinci menjadi fungsi kepada keputusan sama ada tercapai atau tidak cita-cita itu.

 

Fahami bentuk cita-cita yang ada di minda sekiranya cita-cita itu dinyatakan hanya untuk mengisi keseronokan perginya tahun 2020 dan datangnya tahun baru 2021.

 

Maka bentuklah semula cita-cita kosong itu kepada cita-cita mempunyai matlamat, tujuan dan perancangan terperinci. Janganlah melangkah dan berjalan ke tahun baru 2021 dengan membawa cita-cita yang reput dan kosong.

 

 

Dr Dewi Tajuddin adalah Pensyarah Kanan Pengurusan, (Pengkhususan Pengurusan Bakat, Pembangunan Sumber Manusia, Pengurusan Sumber Manusia dan Pengurusan Strategik), Fakulti Pengurusan dan Perniagaan di UiTM Sabah. - DagangNews.com

 

 

KOLEKSI DEWI

Golongan belia hamba kepada hutang

Boleh kerja sampingan, tetapi tidak boleh sampai tiga kerja serentak

Pertahankan amalan berbudi bahasa

Betulkah pemimpin itu memang dilahirkan untuk memimpin, atau boleh diasah?

Usahawan wanita perlu peka etika berniaga

BAGAIMANAKAH PRESTASI ANDA BEKERJA DARI RUMAH SEMASA COVID-19 INI?

Kaum hawa semakin tidak beradab?

ADAKAH SAYA FAHAM KEBERKESANAN BAKAT SAYA  DALAM KEHIDUPAN?

Hayati potensi bakat anda : Dari individu kepada institusi

The benefits of knowing your own talent

Understanding `talent' in achieving goals of an organisation

Bakat Kanak-Kanak si penghidu gam kasut

 

 

 

Portfolio Tags