Skip to main content

Jangan risau, bawang cukup

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 26 Jan. - Kedudukan bekalan dan harga bawang di pasaran kembali stabil sekali gus memberi kelegaan kepada pengguna di negara ini.

 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kestabilan tersebut dijangka akan berterusan hingga Ogos 2021.

 

"Pihak kami dimaklumkan bekalan bawang kini berada dalam keadaan yang stabil dan cukup untuk keperluan pengguna di Malaysia, dijangka sehingga bulan Ogos 2021. 

 

"Ini adalah kerana negara pengimport utama bagi bekalan bawang iaitu India telah pulih daripada masalah
banjir dan telah mula mengeksport bekalan bawang ke luar untuk memenuhi permintaan khususnya di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjalankan satu lawatan kerja dan pemeriksaan perniagaan bawang bagi memastikan keberadaan bekalan bawang mencukupi untuk menampung permintaan pengguna dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2021 yang bakal tiba dalam masa terdekat. 

 

Lawatan kerja tersebut disertai Timbalan Ketua Setiausaha KPDNHEP, Dr. Alauddin Sidal, Pengarah Penguat Kuasa, Azman Adam dan Pegawai Kanan Penguat Kuasa.

 

.

 

Pemeriksaan tersebut memberi fokus kepada keberadaan bekalan dan harga bawang yang dibekalkan oleh salah sebuah premis perniagaan yang berperanan sebagai pengimport dan pemborong yang bertempat Klang, Selangor.
 

 

"Walaupun, sambutan perayaan dijangka disambut secara sederhana disebabkan PKP dan kadar penggunaan bawang dalam masakan tidak banyak seperti sambutan perayaan sebelum ini, namun ia bukanlah perkara yang dipandang ringan oleh kementerian kerana komitmen kami adalah sentiasa memastikan keberadaan bekalan barang keperluan harian seperti bawang stabil dan memenuhi permintaan pengguna dalam apa jua keadaan.

 

Jumlah import bekalan bawang daripada negara luar dari Januari sehingga Disember 2020 adalah sebanyak 489,297 m/t.

 

Malaysia sebelum ini sangat terkesan dengan kemasukan bawang dari negara pengimport susulan arahan larangan eksport ke atas semua jenis bawang. 

 

Larangan tersebut bertujuan untuk menampung keperluan domestik di negara pengimport ekoran bencana banjir yang berlaku sejak bulan Julai 2020. 

 

Hingga kini, bekalan bawang di Malaysia diimport dari 24 buah negara seperti India (31%), Pakistan (24%), China (22%), Belanda (10%), Thailand (6%), New Zealand (3%) dan lain-lain (4%). 

 

.

 

Daripada jumlah itu, India merekodkan jumlah pengeksport bawang terbesar iaitu sebanyak 152,519 m/t. 

 

Terdapat lapan jenis bawang yang diimport ke Malaysia iaitu Bawang Kecil Merah Import (India), Bawang Besar Import (India), Bawang Merah Import (China), Bawang Kecil Merah Import (China), Bawang kecil Merah Rose (Import), Bawang Kecil Merah Import (Myanmar), Bawang Kecil Merah (Thailand) dan Bawang Besar Kuning (Holland). 

 

Tambah beliau lagi, Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP akan terus melakukan pemeriksaan dan pemantauan berhubung
bekalan bawang di semua peringkat termasuk pembekal, pemborong dan peruncit. 

 

"Pihak kementerian tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan jika terbukti ada perlakuan mengaut untung berlebihan (mencatut) di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011," ujarnya. - DagangNews.com