Skip to main content

Jangkaan tekanan margin bagi FY22, CGS-CIMB semak turun penarafan Lotte Chemical Titan kepada 'pegang'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 28 Jan - Melihat kepada prospek pasaran minyak bagi 2022 yang tidak menentu, CGS-CIMB menyemak turun penarafan Lotte Chemical Titan Holding Bhd. kepada 'pegang' berbanding 'tambah' sebelum ini. 

 

Malah, harga sasarannya juga disemak lebih rendah kepada RM2.10 daripada RM2.63 sesaham setelah mengurangkan pendapatan teras kumpulan dan menurunkan penilaian Lotte Chemical Amerika Syarikat (AS) daripada 1x P/BV kepada 0.7x P/BV dengan mengambil kira keuntungan Lotte Chemical Titan yang dijangka lebih rendah pada masa akan datang.

 

"Kami sebelum ini memberi penarafan 'tambah' kepada Lotte Chemical Titan dengan jangkaan prestasi kewangan suku keempat berakhir 31 Disember 2021 yang lebih kukuh tetapi harapan kami menjadi sebaliknya. 

 

"Oleh itu, kami menyemak turun penarafan ini kerana dinamik pasaran bagi tahun kewangan 2022 (FY22) dilihat lebih mengerikan berbanding apa yang kami jangkaan pada peringkat awal," jelas penganalisisnya, Raymond Yap dalam nota kajian hari ini.

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, keuntungan bersih teras Lotte Chemical Titan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FY21) sebanyak RM964 juta adalah di bawah jangkaan firma tersebut dengan hanya 87% daripada anggaran (91% daripada konsensus) disebabkan pengurangan harga sebaran yang mengejutkan. 

 

Pada suku keempat berakhir 31 Disember 2021, untung bersih teras pada RM90 juta adalah 42% lebih rendah tahun ke tahun (yoy) manakala harga jualan purata (ASP) meningkat, harga sebaran berbanding naphtha jatuh dengan 88% kenaikan dalam harga naphtha lebih daripada mengimbangi peningkatan 27% yoy dalam hasil unit.

 

Yap juga menyifatkan perolehan sebelum faedah dan cukai (EBIT) juga sangat mengecewakan kerana menjangkakan peningkatan berturutan dalam EBIT, dengan maklumat harga pasaran menunjukkan peningkatan dalam sebaran polimer berbanding kos bahan mentah naphtha dan kadar penggunaan loji meningkat daripada 76% pada suku ketiga kepada 88% pada suku keempat.

 

Menurut beliau, harga minyak sawit mentah telah mencecah AS$90 setong daripada purata AS$70 setong tahun lalu, memandangkan pasaran minyak adalah ketat disebabkan kebimbangan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) meningkatkan pengeluaran dan risiko geopolitik daripada ketegangan antara Rusia-Ukraine. 

 

Dalam pada itu, didapati harga jualan polimer pada suku pertama ini kekal tidak berubah berbanding purata pada tahun lalu. 

 

"Walaupun, ASP mungkin menyaksikan sedikit peningkatan momentum, tetapi ia lazimnya ketinggalan berbanding harga naphtha, menyebabkan harga sebaran jualan yang lebih kecil berbanding naphtha dalam persekitaran kenaikan harga minyak. 

 

"Dalam laporan ini, kami menaikkan unjuran harga minyak mentah Brent kepada AS$80 setong berbanding AS$77 setong bagi FY22 dan mengekalkan anggaran 4.5% yoy penurunan dalam ASP yang mengakibatkan pengurangan lebih daripada separuh bagi ramalan keuntungan bersih teras disebabkan sebaran yang lebih mengecil. 

 

"Oleh itu, anggaran untung bersih teras bagi FY22-FY23 dikurangkan antara 52 hingga 56% memandangkan harga purata Brent dinaikkan kepada AS$80 setong pada FY22 dan FY23 pula daripada AS$75 setong kepada AS$76 setong," katanya.

 

Malah, beliau juga berpendapat, harga jualan mungkin mengalami penurunan apabila loji petrokimia Pengerang beroperasi dan perancangan permulaan loji petrokimia baharu di China dan juga di beberapa tempat. 

 

Setakat 10.02 pagi ini, harga saham Lotte Chemical Titan menokok 2 sen atau 0.89% kepada RM2.27 dengan 1.74 juta saham diniagakan. - DagangNews.com