Skip to main content
Kolum Anekdot Mawarith - 28 June 2021

WasiyyahShoppe

JAWATANKUASA FATWA SELANGOR SAHKAN HARTA BERCAGAR BOLEH DIHIBAHKAN

 

HIBAH harta bercagar ialah satu topik yang saya tidak akan pernah jemu mengulasnya walaupun telah berulang kali saya ceritakan di dalam penulisan saya dan di pelbagai platform lain. Kenapa? Kerana ia topik penting yang masih tidak difahami oleh majoriti rakyat Malaysia.

 

Ramai di antara kita tidak faham betapa signifikannya kesan ke atas harta dan hubungan keluarga jika hibah harta bercagar tidak dibuat. Masih ramai beranggapan harta yang telah dicagar kepada bank bagi menjamin pinjaman tidak boleh dihibahkan. 

 

Wasiyyah Shoppe Berhad mula memperkenalkan hibah untuk harta yang bercagar (masih mempunyai pinjaman institusi kewangan) pada 2015 hasil ijtihad dari Panel Syariah kami.

 

Kami syarikat amanah pertama yang memperkenalkan hibah harta bercagar kepada rakyat Malaysia.  Pada 2017 kami menjalankan kerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk menjalankan penyelidikan ilmiah mengenai hibah harta bercagar untuk memperkemaskan lagi perkhidmatan kami.  

 

Dapatan penyelidikan kami menunjukkan bahawa hibah harta bercagar adalah sah dari segi hukum syarak tertakluk kepada syarat-syarat tertentu. Syarat-syarat inilah yang telah kami temui dari penyelidikan kami.

 

Sejak 2017 itu, kami telah secara aktif mendidik masyarakat tentang bagaimana hibah harta bercagar yang dibuat mengikut panduan yang tepat dapat membantu mereka.

 

Ramai di antara kita membeli rumah secara pinjaman. Atas sebab tersendiri, tidak ramai orang yang membeli rumah secara tunai walaupun dia memiliki wang yang banyak. Apabila kita membeli rumah pastinya di dalam fikiran kita, rumah itu dibeli untuk pasangan dan anak-anak.

 

Saya tahu kerana itulah perasaan saya. Bila saya mati kelak, saya mahukan pasangan dan anak-anak saya ada bumbung tempat mereka berteduh. Kenapa? Kerana menyediakan tempat perlindungan itu ialah tanggungjawab saya sebagai ketua keluarga.

 

Sekiranya kita tidak membuat hibah untuk rumah itu, apabila kita mati, ia menjadi harta pusaka dan akan diagihkan kepada waris mengikut hukum faraid. Dalam banyak keadaan, waris mengikut hukum faraid kita bukanlah terdiri dari pasangan dan anak-anak sahaja tetapi juga terdiri dari orang-orang lain. Saya pernah berjumpa kes, bila berlaku kematian, rumah yang dibeli turut dimiliki oleh datuk, nenek, adik-beradik malah anak saudara si mati.

 

 

WasiyyahShoppe

 

 

Cuba bayangkan apakah cabaran yang bakal dilalui oleh pasangan dan anak-anak simati untuk berurusan dengan orang-orang ini yang sebenarnya tidakpun mereka kenali secara rapat. Sudikah pasangan dan anak-anak  kita berkongsi hak ke atas rumah itu dengan orang-orang ini? Bolehkah pula orang-orang ini berkompromi dengan pasangan dan anak-anak kita? Mahukah mereka secara sukarela melepaskan bahagian mereka kepada pasangan dan anak-anak kita?

 

Anda boleh menilai sendiri jawapan kepada soalan-soalan yang saya kemukakan ini dengan melihat perhubungan kekeluargaan anda dan perwatakan golongan-golongan yang disebut di atas ketika anda masih hidup sekarang. Jika dalam keadaan sekarang pun penilaian anda tidak berapa cantik, bayangkan apakah yang pasangan dan anak-anak anda bakal lalui selepas kematian anda.

 

Inilah penyelesaian yang Wasiyyah Shoppe Berhad tawarkan. Rumah yang masih dalam pinjaman itu boleh dihibahkan kepada orang-orang tersayang seperti pasangan dan anak-anak. Harta yang telah sah dihibahkan tidak akan menjadi harta pusaka dan tidak diagih kepada waris mengikut hukum faraid. Sekaligus menghindari pasangan dan anak-anak anda dari pelbagai masalah selepas kematian anda.

 

Ada orang tanya saya kenapa beria-ria nak memperkenalkan hibah harta bercagar dengan menongkah arus pemikiran bila majoriti pemain industri menganggapnya tidak sah? Tidakkah Wasiyyah Shoppe Berhad berdepan dengan pelbagai tohmahan dan kritikan bila mengambil pendirian begini?

 

Jawapan saya, isu ini bukanlah isu Wasiyyah Shoppe Berhad sesuka hati menongkah arus. Isu ini terkait dengan maslahah kepada pasangan dan anak-anak simati yang semakin kronik kebelakangan ini.

 

Bila berlaku kematian dan rumah itu masih berhutang kepada pembiaya (walaupun ada perlindungan takaful), yang biasanya akan bertungkus-lumus menyelesaikan baki pinjaman itu ialah pasangan atau anak-anak. Kenapa? Kerana merekalah yang tinggal di rumah itu. Jika pinjaman tidak dibayar, rumah itu akan dilelong dan mereka hilang tempat berteduh.

 

Tetapi banyak kes yang saya jumpa, bila pinjaman itu sudah diselesaikan, sekonyong-konyong timbullah pelbagai waris lain menuntut pula bahagian mereka. Ketika proses membayar hutang, waris-waris ini tidak pula membantu. Tentu menyedihkan bagi pasangan dan anak-anak anda betul tak?

 

 

WasiyyahShoppe

 

 

Pada peringkat permulaan 2015 apabila kami mula memperkenalkan hibah harta bercagar, kami telah ditohmah dengan sangat teruk. Ada pihak menuduh Panel Syariah kami sebagai Panel Syariah 25% sebab kononnya mendapat bayaran yang banyak supaya meluluskan hibah harta bercagar yang menurut mereka tidak patuh hukum syarak.

 

Ada juga yang menuduh kami tidak faham proses selepas kematian untuk harta yang masih bercagar kerana menurut mereka ia tidak boleh diturun milik dan macam-macam lagi tohmahan yang lain.

 

Wasiyyah Shoppe Berhad istiqomah dan terus berjuang membantu masyarakat yang membeli rumah secara pinjaman untuk membuat hibah rumah mereka kepada orang-orang tersayang. Kami juga semakin bersemangat apabila kes untuk hibah harta bercagar ini semakin banyak diluluskan oleh Mahkamah Syariah yang membuktikan bahawa pandangan kami selama ini adalah benar.

 

Akhirnya yang ditunggu-tunggu telah tiba. Selepas mengharungi pelbagai badai dan ujian dalam mempertahankan pandangan kami, pada bulan Mei 2021, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah memfatwakan bahawa hibah untuk harta yang masih bercagar (dalam pinjaman pembiaya) BOLEH DIHIBAHKAN dengan syarat mempunyai perlindungan takaful atau telah mendapat keizinan dari pembiaya.

 

Inilah juga merupakan ijtihad yang dibuat oleh Panel Syariah Wasiyyah Shoppe Berhad pada 2015 apabila kami memperkenalkan hibah harta bercagar kepada masyarakat. Ini jugalah dapatan penyelidikan yang kami temui pada 2017.

 

Pewartaan fatwa oleh Negeri Selangor ini adalah ‘ground breaking’ dan kami percaya akan mulai diikuti oleh negeri-negeri yang lain. Fatwa yang diwartakan oleh negeri adalah mengikat (binding) dan boleh dijadikan panduan oleh Mahkamah Syariah dalam meluluskan hibah untuk harta yang bercagar.

 

Boleh dikatakan kesemua pinjaman perumahan yang dibuat, pembiaya akan mewajibkan ia dilindungi takaful. Jadi, pewartaan fatwa ini memberi makna sesiapa sahaja yang membeli rumah secara pinjaman  boleh menghibahkan rumah mereka kepada orang tersayang.

 

Wasiyyah Shoppe Berhad sebagai pelopor kepada pengenalan hibah harta bercagar di Malaysia ialah syarikat amanah paling berpengalaman di Malaysia di dalam urusan ini.

 

Secara peribadi saya merasa sangat bersyukur kerana fatwa tersebut telah mengesahkan pandangan kami. Terasa berbaloi semua pengorbanan dan perjuangan selama ini. Fatwa Negeri Selangor ini membuka lembaran baru di dalam industri perancangan harta secara Syariah. Semoga Allah SWT mempermudahkan lagi urusan Wasiyyah Shoppe Berhad pada masa hadapan.

 

 

ariffinsabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin merupakan Pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Berhad

 

ariffinsabirin

 

KOLEKSI ANEKDOT MAWARITH
 

 

 

Portfolio Tags