Dzulfarqeish Zainuddin, pengasas bersama JAZRO
KUALA TERENGGANU 12 Okt – Jazari Robot Resources (JAZRO) telah bekerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk menganjurkan pesta maya #MyDigitalMaker bagi wilayah pantai timur bermula dari 17 hingga 22 Oktober.
#MyDigitalMaker ialah pesta pendidikan yang bertujuan mengajar para peserta pelbagai subjek termasuk robotik, pengekodan, dron, cetakan 3D, penerokaan angkasa, kepintaran buatan dan pembelajaran mesin.
Acara ini terbuka kepada murid sekolah menengah dan rendah, dan menyasarkan untuk menarik penyertaan 5000 peserta dari tiga negeri pantai timur Pahang, Kelantan dan Terengganu. Meskipun, murid dari negeri-negeri lain dijemput mengambil bahagian.
Ketua Pegawai Kerja & Kemahiran Digital MDEC, Dr. Sumitra Nair berkata, digital adalah masa hadapan, masa hadapan adalah sekarang dan sebagai agensi peneraju ekonomi digital Malaysia, MDEC bertanggungjawab memupuk rasa cinta terhadap segalanya yang digital termasuk kemahiran dan pengetahuan generasi masa hadapan bagi memastikan mereka berjaya dan membentuk tulang belakang ekonomi digital.
Beliau berkata, program #MyDigitalMaker sejajar dengan matlamat Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) memastikan penghasilan bakat secara berterusan sambil MDEC mengatur jalan ke arah menjadikan Malaysia Pusat ASEAN Digital.
Sementara itu, Dzulfarqeish Zainuddin, pengasas bersama JAZRO berkata, pihaknya teruja dilantik MDEC sebagai rakan kongsi #MyDigitalMaker Hub bagi wilayah pantai timur.
Menurutnya, pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik atau STEM penting bagi mempersedia anak-anak untuk masa hadapan yang mencabar.
Selain webinar, #MyDigitalMaker Pantai Timur turut menganjurkan beberapa pertandingan seperti Reka Bentuk 3D, Cipta Permainan Sendiri, cabaran dron, Penerokaan Angkasa Misi ke Marikh dan Cabaran Arduino. Hadiah-hadiah menarik menanti para pemenang.
JAZRO bekerjasama dengan pelbagai institusi termasuk universiti, syarikat swasta dan pertubuhan bukan kerajaan dalam penganjuran dan penyampaian bahan-bahan yang disesuaikan untuk para peserta sepanjang pesta enam hari tersebut.
Sementara itu, setiap sekolah yang mengambil bahagian akan diberi Sijil Penyertaan.
Pendaftaran secara dalam talian dibuka sekarang dan penyertaan adalah percuma. Sesiapa yang berminat mengambil bahagian boleh pergi ke pautan pendaftaran #MyDigitalMaker Pantai Timur di www.ezy.la/MDMEC untuk mendaftar.
Gerakan #MyDigitalMaker ialah inisiatif bersama awam-swasta-akademia yang diteraju MDEC dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengubah belia Malaysia daripada pengguna digital kepada pengeluar dalam ekonomi digital. - DagangNews.com