Skip to main content

JCorp beli 49.57% ekuiti Damansara Holdings

 

KUALA LUMPUR 15 Sept - Johor Corporation Bhd (JCorp), menerusi syarikat tujuan khas, Absolute Ambient Sdn Bhd (AASB), bercadang membeli 49.57%
kepentingan ekuiti dalam firma pengurusan kemudahan dan pembangunan hartanah, Damansara Holdings Bhd (DHB) pada RM78.91 juta.

 

Menurut kenyataan DHB kepada Bursa Malaysia pada Selasa, AASB menandatangani perjanjian bersyarat hari ini untuk membeli 157.82 juta saham daripada
pemegang saham terbesar DHB, Seaview Holdings Sdn Bhd, pada 50 sen sesaham.

 

Sementara itu, CIMB Investment Bank dalam kenyataan mewakili AASB menjelaskan, JCorp yang menubuhkan AASB untuk melaksanakan cadangan itu, telah
memiliki pegangan tidak langsung sebanyak 13.81% dalam DHB.

 

Apabila cadangan pembelian itu selesai, pegangan saham terkumpul oleh AASB, JCorp dan individu yang mempunyai tujuan yang sama tertakluk kepada perjanjian
atau persefahaman dengan mereka, dalam DHB akan meningkat kepada kira-kira 63.38%, jelas bank pelaburan itu.

 

Sebaik sahaja perjanjian yang ditandatangani hari ini itu menjadi tanpa syarat, AASB akan membuat tawaran pengambilalihan mandatori bagi baki saham DHB yang
belum dimiliki oleh AASB, JCorp dan individu berkenaan.

 

“JCorp mengenal pasti bahawa perniagaan kumpulan DHB merupakan pelengkap kepada perniagaan yang sedang dijalankannya di bawah segmen hartanah dan
infrastruktur.

 

“Cadangan pembelian itu memberi peluang kepada kumpulan JCorp untuk memperkukuh di samping memperluas kemampuan dan operasi pengurusan hartanah
sedia ada serta perniagaan pengurusan kemudahan,” menurut CIMB Investment, lapor Bernama.

 

JCorp

Saham DHB meningkat sembilan sen kepada 49 sen, dengan 15.25 juta saham bertukar tangan pada penutupan dagangan Bursa Malaysia pada Selasa. - DagangNews.com