Jemaah Menteri terima 3 cadangan tangani isu Felda | DagangNews Skip to main content

Jemaah Menteri terima 3 cadangan tangani isu Felda

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com


 

KUALA LUMPUR 28 Okt. - Pasukan petugas khas Felda telah membentangkan laporan yang bertujuan menangani isu dihadapi institusi itu dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 Oktober 2020.

Antara tiga cadangan yang diterima Jemaah Menteri termasuk:

i. Penstrukturan semula hutang dengan institusi kewangan. 

ii. Meningkatkan pendapatan teras dari tanah ladang FELDA dengan menamatkan perjanjian pajakan tanah (LLA). 

iii. Meningkatkan daya berdikari peneroka. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed mendedahkan antara masalah utama yang dihadapi Felda ialah struktur modal yang tidak mampan dan bebanan hutang tinggi berjumlah RM10.6 bilion.

 

Mustapa Mohamed
Mustapa Mohamed

 

“Keadaan ini juga berpunca daripada sumber pendapatan yang berkurangan terutamanya penerimaan bayaran pajakan bagi 351,000 hektar tanah ladang dan perkongsian keuntungan yang rendah berbanding jangkaan di bawah LLA. 

“Kelemahan tadbir urus dan pengurusan kewangan turut menyumbang kepada masalah yang dihadapi oleh Felda,” kata Mustapa dalam satu kenyataan hari ini.  

Sebelum ini, kerajaan telah menubuhkan sebuah pasukan petugas khas Felda untuk mengenalpasti isu dihadapi institusi berkenaan.

Pasukan yang dipengerusikan oleh Pengerusi Bursa Malaysia,Tan Sri Abdul Wahid Omar dan turut disertai Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh itu merupakan kesinambungan Kertas Putih ‘Ke Arah Kelestarian Felda’ yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 April 2019. 

Tambah Mustapa, Jemaah Menteri juga telah meluluskan cadangan penerbitan sukuk oleh Felda bernilai RM9.9 bilion dengan jaminan kerajaan bagi melaksanakan pelan pemulihan FELDA yang dikemukakan. 

Jelasnya, kedudukan kewangan Felda dijangka mencatatkan aliran positif bermula tahun 2023 dengan pelaksanaan inisiatif-inisiatif tersebut. 

“Felda akan kembali ke landasannya sebagai sebuah badan yang dihormati dan berdaya maju. Penyelesaian isu-isu yang dihadapi oleh Felda tidak akan lengkap tanpa pengukuhan tadbir urus serta kecekapan dalam menguruskan ladang. 

“Sehubungan itu, Lembaga Pengarah serta pengurusan Felda hendaklah komited meningkatkan kecekapan pengurusan dan menambah baik tadbir urus,” katanya.

Pelaksanaan cadangan-cadangan oleh Felda itu akan dipantau secara terperinci oleh sebuah jawatankuasa pemantauan yang akan melapor kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - DagangNews.com