Jendela: Pemain industri telco berprestasi baik | DagangNews Skip to main content

Jendela: Pemain industri telco berprestasi baik

Jendela

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 8 April - Pemain industri dalam sektor telekomunikasi atau telco menunjukkan prestasi kemajuan yang baik dalam mencapai sasaran Jalinan Digital Negara (Jendela) tanpa sebarang masalah besar.

 

CGS-CIMB Research berkata, bagaimanapun sektor berkenaan perlu memberi perhatian kepada dua perkembangan utama bagi tempoh enam hingga 12 bulan akan datang.

 

"Perkembangan utama yang harus diperhatikan dalam tempoh enam hingga 12 bulan nanti ialah berkaitan Senarai Akses/Standard Mandatory on Access Pricing (MSAP) pada separuh kedua 2021 atau separuh pertama 2022 (2H21/1H22).

 

"Keduanya berkaitan dengan pengumuman pemenang bagi tender Jendela 1 yang bakal menarik minat pelabur terhadap kontraktor telco," jelas CGS-CIMB Research.

 

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang bertindak sebagai pengendali taklimat bagi suku kedua berkongsi maklumat semasa mengenai kemajuan Jendela Fasa 1, semalam.

 

Dalam taklimat berkenaan, SKMM tidak menyatakan sebarang perubahan terhadap sasaran Fasa 1 (akhir 2022) kecuali berkaitan pelancaran 5G yang diawalkan setahun.

 

Selain itu, projek-projek yang dirancang bagi 2021 turut merangkumi penyeragaman 1.25 juta premis, menaik taraf menara 12.5k 2G/3G kepada 4G dan penambahan 193 laman web 4G baharu.

 

Bagi projek Penyediaan Perkhidmatan Sejagat (USP), SKMM telah menutup tender untuk 1,661 laman web yang akan dilancarkan pada 2021-2022 dengan nilai RM4.6 bilion pada akhir Mac.

 

Pemanang berkenaan akan diumumkan pada akhir suku kedua 2021.

 

CGS-CIMB Research, pemain industri sektor berkenaan berada di landasan yang baik untuk memenuhi sasaran Jendela Fasa 1 dalam aspek liputan 4G, premis gentian dan jaringan 3G.

 

Sehubungan itu, SKMM menjangkakan kelajuan jalur lebar mudah alih akan bertambah baik hasil daripada perluasan liputan oleh pengendali.

 

Dalam aspek syarikat telco pula, CGS-CIMB Research memberitahu, TM menunjukkan prestasi yang baik dalam perancangan pelancaran gentian yang mana bakal dilancarakan 41% lebih awal berbanding sasaran suku pertama 2021. - DagangNews.com