Jentayu, EDSB bangunkan projek kondominium RM78 juta di Sabah | DagangNews Skip to main content

Jentayu, EDSB bangunkan projek kondominium RM78 juta di Sabah

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 19 Mei - Jentayu Sustainables Bhd mengumumkan anak syarikat milik penuhnya, Ipmuda Properties Sdn Bhd (IPSB), memeterai perjanjian usaha sama dengan Encorp Development Sdn Bhd (EDSB), anak syarikat milik penuh Encorp Berhad untuk membangunkan blok kondominium setinggi 10 tingkat di Sabah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM78 juta.

 

Cadangan pembangunan kondominium itu akan dibina di tanah pegangan pajak seluas 1.6 ekar di Bukit Kepayan, Kota Kinabalu.  IPSB adalah pemilik berdaftar tanah itu. 

 

Projek itu akan melibatkan 78 unit jenis A dan 88 unit jenis B dengan kawasan binaan masing-masing seluas 787 kaki persegi dan 530 kaki persegi. Pembangunan dijangka bermula pada Mei 2022 dan siap pada April 2025.

 

IPSB akan bertanggungjawab mendapatkan kelulusan pelan, permit dan lesen yang perlu untuk cadangan pembangunan itu. EDSB terlibat dalam mereka bentuk, merancang, membina, menyiapkan dan mentauliah pelan susun atur yang diluluskan. 

 

Pengerusi Eksekutif Jentayu, Datuk Beroz Nikmal Mirdin berkata, pihaknya berbesar hati untuk memulakan usaha sama ini dengan Encorp Berhad, sebuah syarikat yang mempunyai pengalaman luas dan pemahaman mendalam tentang industri pembangunan hartanah.

 

“Menerusi perkongsian ini, IPSB berhak mendapat sekurang-kurangnya RM10.8 juta atau peratusan daripada GDV tanah sehingga RM11.3 juta. Kami sedar bahawa ini merupakan peluang terbaik untuk  nilai dan potensi tanah kami,” katanya dalam satu kenyataan. 

 

Beliau berkata, usaha sama itu adalah selaras dengan usaha kumpulan ke arah rasionalisasi aset. Akhirnya, tumpuan utama pihaknya adalah bagi usaha niaga tenaga boleh diperbaharui (RE). 

 

 

jentayu
Datuk Beroz Nikmal Mirdin

 

 

"Oleh itu, strategi kumpulan adalah untuk menjana keuntungan daripada set bukan hasil dan menggunakan wang yang dijana itu bagi perniagaan RE kami, bidang yang kami lebih berpengalaman.

 

“Pasukan kami telah bekerja keras dua kali ganda untuk memastikan penyampaian projek RE kami dan kami kekal teguh dalam perjalanan menjadi pemain RE terkemuka di Malaysia,” katanya. - DagangNews.com